Kita Lupakan Sajalah Insiden Ini Najib Terima Permohonan Maaf Kumpulan Puteh
Oleh Mohd Ridzwan Md. Iman
NAJIB Tun Razak ditemui Kumpulan Puteh dengan bantuan Shahrol Shiro di Melaka, malam tadi. - Tangkap layar video di FB Najib WALAUPUN ramai mengecam lawak Kumpulan Puteh yang melakukan parodi Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam persembahan di Maharaja Lawak Mega baru-baru ini tetapi bekas Perdana Menteri sedia melupakan mengenai perkara tersebut dan memaafkan mereka.
Najib yang ditemui Vicha, Ali dan Mamak di Klebang, Melaka malam tadi menggangap kumpulan tersebut tidak mempunyai niat untuk menghina dirinya atau isteri, sebaliknya hanya bertujuan sebagai hiburan semata-mata.
“Difahamkan reaksi orang ramai tidak berpuas hati dengan persembahan tersebut, saya harap ia jadi satu pengahjaran. Kita banyak bahan-bahan lain.. Itulah, jika pemimpin dijadikan bahan ketawa, makan tafsirannya akan berbeza.
“Kali ini saya maafkan, saya terima..Kita lupakan sajalah insiden ini, kita lihat ke hadapan,” katanya yang dipetik dalam satu video yang dimuat naik oleh Najib di Facebook miliknya hari ini.
Sementara itu, Vicha berkata, dia lega selepas bekas Perdana Menteri itu menyambut baik pertemuan mereka dan menganggap isu berkenaan sudah selesai.
“Alhamdulillah syukur, atas bantuan Shahrol Shiro dan akhirnya Puteh dapat bersemuka dan membuat permohonan maaf dengan Datuk Seri Najib di Melaka. Lebih kurang 15 minit kami dapat bertemu dengan beliau.
“Syukur pertemuan kami ini dipermudahkan. Beliau sangat baik, tak ada marah pun… sejujurnya awal-awal tu takut juga nak jumpa tapi Alhamdulillah dia tenang dan hanya tersenyum.
“Lega dapat minta maaf depan-depan… beliau pun sudah memaafkan kami dan anggap isu sudah selesai. Sejujurnya kami memang tak ada niat buruk dalam persembahan itu,” katanya memetik laporan mStar.
Sejak Jumaat lalu, tular di media sosial apabila penonton mengecam persembahan Puteh di pentas Maharaja Lawak Mega 2021 (MLM2021) selepas mereka menjadikan Najib dan Rosmah sebagai bahan lawak.
Menerusi persembahan itu, Ali Puteh membawa watak sebagai Najib dan Vicha membawa karakter Rosmah Mansur sedang membeli-belah.
Ekoran daripada kecaman tersebut menyebabkan Sharol mencadangkan kepada ahli kumpulan Puteh untuk berjumpa Najib dan memohon maaf secara terbuka.
“Alhamdulillah ini menjadi asbab kami dapat bertentang mata secara langsung. Satu pertemuan yang cukup bermakna buat saya dan ahli kumpulan Puteh,” kata Vicha.
“Apa-apa pun kami mengakui salah, memang salah. Betul kata orang, banyak lagi lawak kami boleh buat. Mungkin di Indonesia atau di negara lain tak ada masalah parodi berbentuk sedemikian, memainkan sesuatu watak atau isu sebagai hiburan adalah perkara biasa di sana.
“Tetapi dalam hal ini saya sebagai orang luar sepatutnya lebih sensitif dan tak patut lakukan hal sama di Malaysia. Ini salah satu pengajaran yang saya dapat.
“Selepas ini kami akan lebih berhati-hati, kami akan cuba elakkan bawa watak ahli politik. Kalau watak parodi artis mungkin tak ada masalah tapi saya akan minta izin dahulu,” ujarnya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/11/kita-lupakan-sajalah-insiden-ini-najib.html