Kisah Kertas Kerjanya Tentang Lagu Melayu Dikritik Tetapi Jawapan P Ramlee Ini Buat Pengkritiknya Terduduk
Siapa je yang tidak kenal dengan seniman tanah air yang pernah mewarnai dunia perfileman kita. Merupakan seorang lagenda, nama P.Ramlee pastinya tidak asing lagi pada kita semua yang bergelar rakyat Malaysia.
Filem-filemnya yang banyak memberi pengajaran serta menghiburkan sehingga kini tidak lapuk ditelan zaman. Ada juga diantara kita yang pastinya ingat satu dua babak menarik yang tidak boleh dilupakan dalam filem beliau.
Filemnya yang lazimnya mempunyai maksud tersirat telah membuatkan ianya menjadi lebih berkualiti untuk ditonton. Namun tahukah anda bahawa selain bergiat dalam bidang seni, beliau juga turut memperjuangkan hak-hak industri seni Malaysia pada suatu ketika dahulu.
Menerui penulisan yang ditulis oleh Hidir Ali Razali, beliau ada berkongsikan kisah tersebut. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, ikuti penulisannya seperti berikut:
KERTAS KERJA P.RAMLEE DIKRITIK
Pada tahun 1971, YAB Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu, Tun Abdul Razak telah merasmikan Kongres Kebudayaan Kebangsaan di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya.
Kongres lima hari anjuran Kementerian Kebudayaan Belia Dan Sukan ini telah dihadiri seramai 1000 orang tetamu termasuk Menteri-menteri Kabinet, Ketua-ketua Perwakilan asing dan tokoh-tokoh budaya. Kongres telah membincangkan kira-kira 60 buah kertas kerja yang meliputi pelbagai aspek kebudayaan.
Lagu asli tradisional & bersifat kebangsaan perlu lebih diketengahkan
P.Ramlee salah seorang yang membentangkan kertas kerjanya dalam kongres berkenaan. P.Ramlee menekankan 8 usul dalam kertas kerjanya antaranya, menyarankan agar stesen radio tempatan memainkan dengan lebih kerap lagu-lagu yang berirama asli tradisional dan lagu yang bersifat kebangsaan perlu lebih banyak diketengahkan.
Beliau juga menekankan muzik asli dan tradisional perlu dimasukkan dalam silibus mata pelajaran di sekolah. P.Ramlee juga meminta lagu-lagu asli dan tradisional ini dimainkan di hotel-hotel, lapangan terbang dan di tempat tumpuan umum agar secara tidak langsung ianya dapat memperkenalkan budaya bangsa Melayu kepada para pelancong luar negara.
Perlu kawal kemasukan filem asing
P.Ramlee ada menyatakan kegusarannya tentang industri filem di tanah air pada ketika itu. Beliau menyarankan agar kemasukkan filem asing dikawal kemasukkannya dalam negara ini. Kaedah ini katanya dapat memberi ruang yang lebih kepada karya-karya tempatan untuk lebih diutamakan.
Selama satu jam setengah P.Ramlee bercakap membentangkan kertas kerjanya walaupun kertas kerjanya paling pendek sekali dalam kalangan semua pembentang hanya satu setengah muka surat tetapi semua hadirin yang hadir mahu P.Ramlee terus bercakap.
Irama lagu-lagu asli & tradisional buat pendengar jadi malas
Cuma ada seorang dalam kalangan yang hadir telah membidas dan mengkritik dengan penuh semangat kertas kerja P.Ramlee dengan mengatakan lagu-lagu asli dan tradisional ini iramanya perlahan dan sentimental lebih banyak mendorong orang yang mendengar menjadi malas. Lebih baik memperbanyakkan gubahan lagu-lagu yang penuh semangat agar yang mendengarnya menjadi rajin.
P.Ramlee bangun dengan penuh yakin dan mudah mematahkan hujah dari individu berkenaan. Kata P.Ramlee, “jadi saudara mahu lagu-lagu begitu dimainkan ketika waktu tidur?” Sambungnya lagi, “waktu tidur juga saudara mahu bekerja?”. Individu berkenaan tunduk lalu duduk di kerusinya.
P.Ramlee menyambung lagi, katanya lagu-lagu asli dan tradisional ada yang berirama perlahan ada juga yang rancak. Irama sentimental ini kadang-kadang mampu membantu orang yang mendengarnya tidur dengan lebih nyenyak agar tidurnya itu berkualiti supaya boleh kembali bekerja pada keesokkan harinya kerana telah mendapat tidur yang cukup”.
Sumber: Hidir Ali Razali, Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik
The post Kisah Kertas Kerjanya Tentang Lagu Melayu Dikritik, Tetapi Jawapan P. Ramlee Ini Buat Pengkritiknya Terduduk appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2020/02/08/kisah-kertas-kerjanya-tentang-lagu-melayu-dikritik-tetapi-jawapan-p-ramlee-ini-buat-pengkritiknya-terduduk/