Keropok Lekor Bayu Kg Merang Terengganu
Orang lain mungkin dah lama tahu berkenaan kedai Keropok Lekor Bayu ni. Saya dan encik suami pula baru saja tahu keenakan keropok lekor di sini selepas adik ipar bawa balik ke kampung semasa hari raya
Jadinya semasa ke Terengganu tempohari, kami tak melepaskan peluang untuk ke kedai Keropok Lekor Bayu yang terletak di Kg. Merang.

Kedai Keropok Lekor Bayu terletak di tepi jalan bersebelahan dengan Stesen Petronas Merang. Dari jauh dah nampak deretan kenderaan memenuhi bahu jalan. Juga barisan panjang orang ramai di hadapan kedai. Kami ikut masuk barisan

Keropok keping ikan tamban berharga RM17/pek 500 gram

Keropok segera baby (baby sebab saiz kecil), berharga RM15/pek 500 gram. Kami suka makan keropok segera ni, jadinya lebih 10 pek kami beli untuk stok makan sendiri dan beri keluarga/kawan. Keropok segera ni sedap rasanya dan rangup. Kalau makan dengan sos pencicah, memang lagi susah mulut nak berhenti mengunyah

Suasana kesibukan di kedai ini. Masing-masing pantas bekerja. Sambil beratur kita boleh melihat proses kerja mereka. Ada yang sedang menguli, selesai dibentuk keropok lekor terus direbus dengan menggunakan kayu api. Berasap-asap panas di sini. Siap direbus, ada yang dibungkus untuk dijual sebagai keropok lekor rebus dan ada yang digoreng untuk dijual sebagai keropok lekor goreng

Leka saya memerhatikan pekerja yang sedang membuat keropok lekor di balik cermin kaca. Ada 3 orang di situ. Pantas dan mahir tangan mereka menguli dan membentuk keropok lekor. Siap dibentuk, terus ditolak ke bawah, masuk ke dalam bekas merebus. Menarik juga kita dapat melihat proses menghasilkan keropok lekor begini
Selain membeli keropok segera, kami beli keropok lekor yang sudah dipek vacuum untuk dibawa balik ke PP. Harganya RM10/pek ada 40 batang keropok lekor. Kami beli juga keropok lekor goreng untuk dimakan segera, harganya RM5/25 batang
Saya lupa pula nak merakam foto keropok lekor goreng yang sedap tu - saiz kecil mudah dimakan, rangup di luar dan lembut di dalam. Digandingkan pula dengan sos pencicahnya yang agak pekat, memang makan sambil tersenyum bahagia tau. Kalau dah sejuk pun masih lembut dan sedap dimakan
Jadinya berapa lama kami beratur tadi? Dari mula masuk barisan sehinggalah siap membayar, mengambil masa kira-kira 40 minit! Sebenarnya kami bukanlah jenis sanggup beratur demi makanan. Tapi yang ni terkecuali sebab dah lama menyimpan keinginan sejak pertama kali merasa. Datang dari jauh pula tu, gigihkan diri beratur lepas tu kita belilah banyak
Menurut cerita, ada yang perlu beratur sehingga 2 jam. Jadinya cerita kami beratur 40 minit tadi tidaklah begitu lama. Tapi tetaplah saya rasa 40 minit tu sudah cukup lama. Tak apalah, sesekali melayan keinginan tekak kan…
——————————————————————————————-KEROPOK LEKOR BAYU ENTERPRISEKg. Baru Merang, Chalok,Terengganu
019-936 8257
Waktu operasi :9 pagi - 6 petangTutup hari Selasa
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ujieothman.blogspot.com/2022/09/keropok-lekor-bayu-kg-merang-terengganu.html