Kerajaan Teliti Semula Penjualan Aset Th Plantations
azrulhakimie
Tidak menolak kemungkinan untuk batal penjualan aset syarikat									  	 	   

		  			 			KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk membatalkan penjualan aset  syarikat TH Plantations Bhd (THP) berikutan banyak perkara berkaitan  yang perlu diteliti semula, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana  Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary.
Malah, beliau menegaskan bahawa  penjualan aset THP tidak akan menyelesaikan jumlah hutang yang  membebankan syarikat terbabit yang sebaliknya memerlukan penstrukturan  semula bagi tujuan menguruskan aliran tunai.
“Sebanyak 75 peratus hutang TH Plantations Bhd adalah daripada Tabung Haji sendiri.
“Soalan penting di sini adalah mengapa  terlalu tergesa-gesa menjual (anak syarikat THP) sedangkan harga  komoditi yang merupakan instrumen utama kepada TH Plantations, sedang  pulih,” katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat, hari  ini.
Beliau berkata demikian semasa menjawab  soalan Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) yang mahu mengetahui  justifikasi atau kewajaran penjualan aset ladang oleh THP serta keluasan  dan jumlah ladang yang telah dijual.
Ahmad Marzuk berkata keputusan untuk  menjual 14 anak syarikat THP yang memiliki ladang berkeluasan sebanyak  76,957 hektar iaitu bersamaan 76.2 peratus daripada jumlah keseluruhan  ladang milik anak syarikat THP, telah dibuat semasa pentadbiran Pakatan  Harapan pada Ogos 2019.
Penjualan itu juga menyebabkan keluasan  ladang milik THP sebanyak 100,976 hektar telah berkurangan sebanyak 76.2  peratus kepada 24,000 hektar sahaja.
Semakan Jabatan Perdana Menteri (Hal  Ehwal Agama) menunjukkan daripada 14 anak syarikat terbabit, empat  daripadanya mencatatkan keuntungan iaitu THP Ibok, THP Pelita Sadong,  THP Pelita Gedong dan Hydroflow, kata beliau.
Ahmad Marzuk berkata, keputusan menjual  ladang-ladang ini telah dibuat semasa harga minyak sawit mentah  mengalami kejatuhan serius yang menyebabkan anak-anak syarikat THP  mengalami kerugian.
“Kejatuhan harga minyak sawit mentah itu  adalah disebabkan oleh tindakan Pakatan Harapan yang tidak menjaga  hubungan dagangan dengan China dan India yang akhirnya menyebabkan  eksport sawit negara jatuh mendadak,” katanya.
Selain itu, Ahmad Marzuk berkata  pelupusan 70 peratus kepentingan ekuiti dalam THP-YT Plantation Sdn Bhd  kepada TDM Berhad (anak syarikat kerajaan Negeri Terengganu) sedang  dimuktamadkan dan penjualan tersebut adalah berdasarkan harga pasaran  merangkumi keluasan ladang THP-YT sebanyak 2,594 hektar.
“Manakala pelupusan Bumi Suria Ventures  Sdn Bhd dan Maju Warisan Mas Sdn Bhd yang melibatkan keluasan sebanyak  6,514 hektar kepada syarikat bukan Bumiputera iaitu Tamaco Plantation  Sdn Bhd juga sedang dimuktamadkan,” katanya.
Bagaimanapun, tegasnya, pada masa ini  kelulusan terhadap penjualan syarikat-syarikat itu masih di peringkat  pertimbangan Unit Perancangan Ekonomi (EPU) bagi mendapatkan perkara  sebenar kerana sebarang penjualan kepada syarikat bukan Bumiputera mesti  diluluskan oleh EPU.
Penjualan Bumi Suria Ventures dan Maju  Warisan Mas juga sedang menunggu kelulusan EPU sama ada harga jualan  tersebut adalah pada harga pasaran atau sebaliknya serta sekiranya  pelupusan tersebut akan memberi impak kepada perancangan jangka panjang  dan keuntungan THP.
Dalam pada itu, Ahmad Marzuk berkata  selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih pemerintahan  negara, keyakinan pelabur juga semakin meningkat dan harga minyak sawit  mentah kian pulih berikutan hubungan dagangan antarabangsa yang terjalin  semula. – Bernama
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/07/kerajaan-teliti-semula-penjualan-aset.html