Kerajaan Negeri Pahang Masuk Campur Isu Pemberhentian Pekerja Alliance Steel Selesai
KUANTAN - Isu pemberhentian pekerja kilang Alliance Steel (M) Sdn Bhd (ASSB) di Gebeng di sini selesai, selepas kedua-dua pihak mencapai kata putus, bersetuju dengan dua pilihan yang ditawarkan syarikat itu
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Pahang Datuk Seri Mohd Johari Hussain berkata keputusan itu dicapai pada dua mesyuarat selama hampir empat jam bersama wakil pekerja terlibat dan pengurusan tertinggi ASSB.
Katanya pihak ASSB bersetuju dengan permintaan pekerja supaya dibayar pampasan kepada mereka yang bersetuju diberhentikan manakala pilihan kedua ialah pekerja yang ingin kembali berkhidmat di kilang itu dibenarkan berbuat demikian.
"Pengurusan ASSB juga memberi komitmen bahawa mereka akan menerima dan melayan pekerja yang ingin kembali dengan adil dan saksama, namun mengharapkan pekerja terlibat juga mengambil inisiatif berhenti menularkan perkara yang tidak benar tentang pengurusan kilang.
"Berhubung soal pampasan kepada pekerja yang diberhentikan, ASSB bersetuju membuat pengiraan berdasarkan peruntukan Akta Kerja 1955 dan mungkin mendapatkan bantuan daripada agensi kerajaan yang terlibat bagi tujuan itu selain dipantau oleh kerajaan negeri," katanya.
Mohd Johari berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat itu di Wisma Sri Pahang di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Teknologi ASSB Steve Hu, Pengarah Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Pahang Pezman Che Hussin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah Andansura Rabu.
Berdasarkan maklumat diberikan ASSB, Mohd Johari berkata seramai 380 orang pekerja warga tempatan diberhentikan kerja selepas didakwa enggan menerima tawaran untuk tinggal di asrama jika mahu terus bekerja atau mengambil cuti tanpa gaji, namun 182 orang daripada jumlah itu setuju untuk kembali bekerja.
"Kita juga sudah meminta ASSB untuk mengkaji semula syarat yang mewajibkan pekerja tinggal di asrama jika mahu bekerja kerana kita faham mereka bimbang berlaku COVID-19 dalam kilang, namun perlu ada kaedah saringan keluar masuk yang lebih baik. Untuk itu, kita mencadangkan mereka meminta bantuan agensi berkaitan seperti Jabatan Kesihatan.
"Selain itu, kita juga mencadangkan supaya pengurusan ASSB membenarkan penubuhan kesatuan pekerja supaya apa juga isu yang timbul dapat dibincangkan dengan baik sebelum pihak pengurusan membuat keputusan agar ia tidak menimbulkan keresahan kepada pihak terlibat," katanya.
Selain 2,938 pekerja warga tempatan, ASSB yang merupakan pelabur terbesar Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) itu juga mempunyai 1,849 pekerja warga China dengan 314 orang daripadanya telah ditamatkan kerja atau berhenti secara sukarela. #sumberhttp://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://pahangdaily.blogspot.com/2020/06/kerajaan-negeri-pahang-masuk-campur-isu.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+blogspot%2FLWFdy+%28Pahang+Daily+Online%29