Kerajaan Baharu Perlu Jaga Teras Utama Negara Pembina
ainulillia Pembentukan pentadbiran harus diselesai secara berhati-hati, bijaksana
BANGI – Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) meminta supaya teras utama negara – Perlembagaan, institusi diraja, Melayu dan Islam yang dahulunya sering kali dicabul, untuk terus dijaga serta dipertahankan oleh kerajaan baharu.
Ini kerana, kata Presiden Pembina, Wafiq Azman, penjagaan terhadap prinsip utama ini merupakan asas kepada keharmonian dan kesejahteraan negara.
“Pembina meletakkan keyakinan kepada kerajaan yang akan memimpin nanti untuk menjaga prinsip-prinsip tersebut agar keharmonian yang telah dibina oleh generasi-generasi terdahulu dapat dikekalkan untuk generasi mendatang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, dalam keadaan negara yang mencabar hari ini, Wafiq berkata, pihaknya berharap agar kepimpinan di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat menjalankan tanggungjawab sebagai perdana menteri secara jujur, telus, cekap dan profesional tanpa dipengaruhi kepentingan pihak tertentu demi rakyat serta negara.
Katanya, pembentukan pentadbiran kerajaan yang baharu dan ekonomi negara adalah cabaran pertama yang perlu diselesaikan secara berhati-hati dan bijaksana.
“Kami menyokong penuh cadangan Tan Sri untuk melantik anggota jemaah menteri dari kalangan individu yang bersih, berintegriti dan berkaliber. Perkara ini penting bagi mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada kerajaan.“Akhir kata, kami mendoakan semoga Allah memberikan kekuatan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pasukannya nanti untuk membawa negara ke arah yang lebih sejahtera,” katanya.
Walaupun pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-8 dianggap sebagai penamat kemelut politik negara, Ahli Parlimen Pagoh itu pada hakikatnya sedang menggalas cabaran besar untuk ditangani segera.
Tidak hanya perlu mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada pemerintah, beliau turut perlu menjadi tunggak utama pengukuhan perpaduan antara parti di bawah Perikatan Nasional.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/03/kerajaan-baharu-perlu-jaga-teras-utama.html