Kenapa Komando Berlatih Gunakan Peluru Hidup Ini Jawabnya
“Allahyarham (Mejar Mohd Zahir Armaya) antara pegawai terbaik pernah saya jumpa sepanjang berkhidmat dalam Grup Gerak Khas (GGK). Pemergian arwah adalah satu kehilangan besar khusus buat Rejimen 11 GGK.
“Boleh diibaratkan GGK kehilangan sebutir permata,” kata mantan Rejimen Sarjan Mejar (RSM) 11 GGK Pegawai Waran I (B) Rothman Ahmad.
Beliau yang menamatkan perkhidmatan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 2014 berkata, Allahyarham Mohd Zahir adalah individu yang disenangi semua warga 11 GGK meskipun berpangkat Mejar.
“Dalam komando pangkat tidak membataskan kami, jadi memudahkan kami untuk bekerja sebagai satu pasukan kecuali dalam majlis rasmi kerana perlu mengikut protokol.
“Allahyarham bukan saja mahir menembak, malah dia juga kerap menjadi pengacara majlis ketika penganjuran majlis rasmi pasukan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Rothman berkata, kepakaran dan kemahiran Allahyarham menembak tidak boleh dipertikaikan dan tidak ramai anggota tentera berbakat sepertinya.
“Allahyarham mampu menyerap tekanan, rasa gugup dan gementar ketika berlatih serta melakukan pertunjukan menggunakan peluru hidup.
“Tidak semua anggota tentera mampu menembak dalam pelbagai posisi sukar seperti Allahyarham yang pastinya akan memberikan tekanan kepada penembak terbabit,” katanya yang kini menetap di Bukit Rambai, Melaka.
Mengulas mengenai teknik latihan komando, beliau berkata, menembak menggunakan peluru hidup adalah perkara biasa bagi pegawai dan anggota pasukan elit itu.
“Boleh kata menembak guna peluru hidup macam ‘makanan’ kami. Bukan mahu berlagak tetapi inilah rutin kami, setiap minggu pasti ada latihan menembak. Tetapi sebelum memulakan latihan kami sangat menekankan aspek keselamatan bukan boleh terus tembak.
“Kalau pertunjukan, kami berlatih berulang kali bagi mengelakkan berlaku kecuaian hingga boleh membahayakan nyawa dan pasukan perubatan mesti ada.
“Malah, kami tidak akan babitkan anggota yang dilihat tidak mampu, kurang yakin atau teragak-agak untuk terbabit dalam pertunjukan menggunakan peluru hidup,” katanya.
Kemahiran Allahyarham di lapang sasar turut diiktiraf pasukan tentera asing apabila pernah dijemput untuk bersama-sama menyertai Eksesais Aman Youyi, tahun lalu.
Menerusi dokumentari dihasilkan oleh media China, Allahyarham dilihat melatih tentera negara itu di sebuah lapang sasar.
Anggota tentera negara itu yang ditemubual media tempatan menyatakan rasa kagum dengan keberanian Allahyarham yang berdiri berhampiran dengan sasaran ketika latihan menembak peluru hidup dilakukan lapor MyMetro
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://darisungaiderhaka.blogspot.com/2019/09/kenapa-komando-berlatih-gunakan-peluru.html