Kementerian Panggil Tnb Beri Penjelasan Isu Kenaikan Bil Elektrik

Kementerian  Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) telah memanggil Tenaga Nasional Berhad  (TNB) untuk memberi penjelasan berhubung kenaikan bil elektrik sejak  pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sehingga menimbulkan  rungutan rakyat. 
Menterinya, Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata  KeTSA dan Suruhanjaya Tenaga (ST) telah memanggil pengurusan tertinggi  TNB yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutifnya Amir Hamzah Azizan pada  hari ini, yang akan disusuli dengan satu lagi mesyuarat esok. 
"Pengurusan  tertinggi TNB diminta untuk membentangkan apa yang telah mereka  laksanakan sepanjang tempoh ini bagi kita melihat isu yang dibangkitkan  secara menyeluruh. Kita juga memberi peluang kepada  mereka selepas  mendengar rungutan dan kritikan rakyat. 
"Saya difahamkan pada  ketika ini, mereka (TNB) sedang memperhalusi semua perbincangan yang  diadakan pagi tadi sebelum kita teliti lagi dengan lebih terperinci pada  mesyuarat esok untuk mencari keputusan terbaik," katanya. 
Shamsul  Anuar berkata demikian pada sidang media selepas melawat Pusat  Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang di sini yang  turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan  Taman Negara (Perhilitan) Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.
Beliau  juga tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa perkara akan dibawa ke  peringkat atasan hasil daripada pertemuan itu dan berharap rakyat  bersabar kerana kerajaan komited menyelesaikan isu itu dengan keutamaan  kepada rakyat, selain memastikan TNB kekal memberikan perkhidmatan  terbaik. 
Ditanya jika TNB bakal dikenakan tindakan sekiranya  melakukan kesilapan dalam pengiraan, Shamsul Anuar berkata: "TNB tidak  boleh membuat sebarang kiraan dengan sewenang-wenangnya. Apa juga  perkara yang hendak dilakukannya mesti mendapat persetujuan daripada ST  sebagai badan penyelia dan pengawal kepada industri tenaga. 
"Oleh  itu, kita berkeyakinan bahawa ST dapat memastikan perkara ini  diselesaikan dengan baik dan kita respons pada semua isu yang  dibangkitkan. Saya faham ramai mahu keputusan segera, tetapi ini perkara  penting yang perlu diteliti sepenuhnya," katanya.
Pada  perkembangan berasingan, Shamsul Anuar berkata sembilan lokasi  ekopelancongan di bawah seliaan Perhilitan telah mula dibuka semula  kepada pelancong dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mulai  hari ini, selepas ditutup kepada umum sejak Perintah Kawalan Pergerakan  (PKP) berkuat kuasa pada 18 Mac lepas. 
Selain PKGK Kuala Gandah,  antara lokasi itu ialah Taman Negara Kuala Tahan dan Sungai Relau di  Pahang, Taman Negara di Kuala Koh, Kelantan; Taman Negara Tanjong  Mentong, Terengganu dan Paya Indah Wetlands di Dengkil, Selangor. 
"Kerajaan  boleh menetapkan SOP bagaimanapun kita amat memerlukan kerjasama rakyat  untuk sama-sama mematuhi bagi memastikan Covid-19 dapat dibendung dan  tiada penularan berlaku di kawasan ini," katanya. 
Shamsul Anuar  juga memaklumkan pembangunan Perak Elephant Sanctuary (PES) di kawasan  seluas lebih 80 hektar berhampiran Hutan Simpan Amanjaya dan Royal Belum  dijadualkan bermula awal tahun depan dengan menggunakan model PKGK  Kuala Gandah. 
- Bernama 
 Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram  https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt


  ............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected] 
   
  


 
 ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini  untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://mindarakyat.blogspot.com/2020/06/kementerian-panggil-tnb-beri-penjelasan.html