Keluarga Adib Tuntut Peguam Negara Mohon Maaf Atas Dakwaan Hina Mahkamah Kata Peguam
  Faiz Zainudin

Mohamed Haniff Khatri Abdulla (2 dari kanan) bersama barisan peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim. SHAH ALAM: Keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim menuntut Peguam Negara,  Tommy Thomas memohon maaf atas dakwaan beliau menghina mahkamah  berhubung punca kematian anggota bomba itu.
 Peguam yang mewakili keluarga Adib, Mohamed Haniff Khatri Abdulla  berkata anak guamnya tidak meminta mahkamah memerintahkan Thomas  dipenjarakan.
 “Apa yang penting, sekiranya mahkamah mendapati beliau melakukan  penghinaan mahkamah, kami cuma minta beliau sebagai peguam negara, minta  maaf kepada mahkamah dan keluarga Adib, dan buat aku janji perkara  seperti ini tak akan berulang,” katanya selepas pendengaran awal  prosiding komital terhadap Thomas di Mahkamah Koroner Shah Alam hari  ini.
 Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan, S Narkunavathy yang mewakili  Thomas ketika berhujah berkata, perintah komital adalah serius kerana  hukuman yang boleh dikenakan terhadap perbuatan menghina mahkamah adalah  pemenjaraan.
Pada 16 Julai lalu, Kassim memfailkan permohonan ex-parte (sebelah  pihak) untuk memulakan prosiding komital terhadap Thomas berhubung punca  kematian anaknya.
 Ia susulan afidavit yang difailkan Jabatan Peguam Negara pada 3 April  lalu menyatakan Adib meninggal dunia bukan disebabkan kecederaan akibat  serangan.
 Koroner, Rofiah Mohamad menetapkan 21 Ogos ini untuk mendengar  permohonan ex-parte itu bagi mendapatkan kebenaran merujuk Thomas kepada  prosiding komital.
 Beliau turut membenarkan peguam kanan persekutuan hadir dan berhujah dalam pendengaran permohonan perintah komital itu.
 Bagaimanapun, katanya, peguam kanan persekutuan hanya boleh berhujah  dari segi undang-undang membabitkan permohonan yang akan didengar secara  “opposed ex-parte” itu.
 Katanya, mahkamah tidak akan menerima 2 afidavit yang difailkan  Thomas dan bekas pegawai pengendali inkues Adib, Hamdan Hamzah, sebelum  ini.
 Adib, 24, yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan  dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan  di luar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November  tahun lepas.
 Beliau meninggal dunia pada 17 Disember lalu, 3 minggu selepas dirawat di Institut Jantung Negara.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/08/keluarga-adib-tuntut-peguam-negara.html