Kelakarlah Berbuka Puasa Di Gurdwara Sahib Ridhuan Tee
  Oleh Athirah Huda Zalhe Pelik bila orang bukan Islam jadi tuan rumah majlis iftar muslim

BANGI – Pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah menyelar tindakan Ahli  Parlimen Johor Bahru mengadakan majlis berbuka puasa di Gurdwara Sahib,  di bandar raya itu semalam.
Beliau  hairan kenapa sesetengah pihak obsesi menjemput atau menerima jemputan  berbuka puasa daripada orang bukan Islam, sedangkan mereka tidak  berpuasa.
Katanya,  menjemput orang bukan Islam dalam program perayaan umat Islam adalah  idea baik, namun beliau berpendapat majlis membabitkan bulan puasa  kurang sesuai diadakan.
“Lagi  kelakar, ada seorang wakil rakyat di Johor Bahru berbuka puasa di dalam  rumah ibadat bukan Islam di Gurdwara Sahib. Kenapa buat majlis iftar di  Gurdwara?
“Tak ada  tempat lain yang lebih sesuai? Siapa yang berpuasa? Orang Islam ke atau  orang Sikh,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net
Tindakan  Akmal Nasrullah Mohd Nasir memenuhi jemputan berbuka puasa di Gurdwara  Sahib semalam, mengundang rasa tidak senang dan kritikan orang ramai  terutama umat Islam yang membantah dengan penganjuran itu.
Walaupun  dibantah, Akmal tetap mempertahankan tindakannya dan menolak dakwaan  bahawa penganjuran itu boleh menggugat akidah umat Islam kerana  masing-masing sudah mempunyai kepercayaan dan anutan sendiri.
Beliau  yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan berkata, usaha memupuk perpaduan  perlu diteruskan dan kedatangannya ke rumah ibadat itu adalah atas  jemputan kali kedua untuk berbuka puasa.
Mengulas  lanjut, Ridhuan Tee berkata, beliau tidak merasakan bahawa mesej dakwah  sampai melalui penganjuran seperti itu, apatah lagi bagi tujuan  mengeratkan perpaduan.
“Apa  tujuan jemputan itu? Atas muhibah, atas dasar dakwah atau mahu  menyampaikan Islam atau apa? Sekian lama kita buat majlis itu, makin  eratkah perpaduan? Tidak juga. Semakin ramai yang memeluk Islam? Tidak  juga.
“Saya  masih boleh terima jika mereka menjadi jemputan kita, tetapi apabila  yang muslim menjadi jemputan mereka, mereka jadi tuan rumah, saya fikir  ini agak pelik,” katanya.
Beliau  berkata, orang bukan Islam yang turut serta dalam majlis berbuka puasa  akan ditinggalkan apabila muslim menunaikan solat Maghrib, sebelum  menyambung semula makan.
“Mereka  menjadi tidak selesa kerana ditinggalkan. Saya tidak fikir mesej dakwah  kesampaian jika dibuat sebegitu. Saya lihat dengan mata kepala sendiri  apabila majlis iftar membabitkan bukan muslim, mereka jadi keseorangan  apabila kita pakat-pakat pergi solat.
“Ini bukan  soal makanan yang disediakan halal atau tidak, disediakan ruang solat  atau tidak, atau apa-apa lagi yang perlu disediakan sebagai menghormati  kita, tetapi tidak berapa kena menjemput orang tidak berpuasa dalam  majlis berbuka puasa. Saya tidak larang,” katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/05/kelakarlah-berbuka-puasa-di-gurdwara.html