Kawasan Rekreasi R R Bagan Ajam Ditutup Pengunjung Ingkar Sop
MyMetroMutakhir : OLEH nur Izzati Mohamad
Butterworth: Akibat kedegilan pengunjung yang beriadah di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bagan Ajam, di sini, tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) menyebabkan pusat rekreasi itu ditutup selama 14 hari berkuat kuasa hari ini.
Tindakan itu diambil ketika polis bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melakukan pemeriksaan mengejut dalam memantau pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kira-kira jam 6 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, melalui pemeriksaan yang dilakukan, pengunjung gagal mematuhi SOP apabila berkumpul dalam kumpulan besar dengan tidak menjaga penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.
"Ekoran itu, polis bersama KKM dan MBSP bersetuju menutup kawasan rekreasi itu selama dua minggu bermula hari ini.
"Bagaimanapun, bagi kawasan R&R termasuk kedai boleh beroperasi seperti biasa kerana mereka patuh pada SOP," katanya selepas mengadakan pemeriksaan di kawasan berkenaan, di sini, hari ini.
Noorzainy berkata, polis sebelum itu beberapa kali menasihati pengunjung supaya mengamalkan SOP seperti penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka namun ia masih tidak diendahkan.
"Semalam polis mengadakan operasi dan ternyata pengunjung memang tidak ikut SOP hingga polis terpaksa mengeluarkan kompaun.
"Hari ini pun sama juga apabila 120 pengunjung dikenakan kompaun RM1,000 kerana gagal mematuhi penjarakan fizikal selain berkumpul dalam skala besar," katanya.
Pusat rekreasi yang terletak di R&R itu menjadi tumpuan penduduk khususnya di Seberang Perai pada hujung minggu untuk beriadah dan berkelah bersama keluarga memandangkan terdapat kawasan pantai yang membolehkan pelbagai aktiviti dilakukan.
Namun situasi Covid-19 memerlukan segala aktiviti dihadkan yang mana tidak sesuai menjadikan kawasan itu sebagai tempat berkumpul apatah lagi membawa kanak-kanak dan warga emas yang mudah terjangkit dengan wabak berkenaan.
Kredit Harian Metro
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.penangkini.com/2020/10/kawasan-rekreasi-r-bagan-ajam-ditutup.html