Tiga Jalan Ditutup Di Kawasan Penjara Reman Pulau Pinang
GEORGE TOWN: Polis menutup tiga jalan bagi menghalang orang ramai keluar dan masuk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan di kawasan Penjara Reman Pulau Pinang dan kuarters kakitangan penjara di situ bermula tengah malam ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata, penutupan jalan itu bermula pukul 12.01 tengah malam ini membabitkan Jalan Penjara, Jalan Lim Khoon Huat dan Jalan Berek sehingga 11.59 malam pada 27 Okt nanti.
“Sebanyak tiga sekatan jalan raya akan dibuat di tiga jalan tersebut dan orang ramai memang tidak dibenarkan masuk ke kawasan PKPD.
“Manakala kakitangan penjara serta ahli keluarga yang tinggal dalam kuarters itu hanya dibenarkan keluar dengan kebenaran bagi urusan penting dan kecemasan sahaja itu pun dengan kebenaran polis,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Soffian berkata, seramai 2,298 banduan di Penjara Reman Pulau Pinang dan 390 kakitangan penjara serta ahli keluarga yang tinggal di tujuh blok kuarters petugas di situ, membabitkan 117 unit rumah dan lapan kediaman pegawai kanan penjara terlibat dalam PKPD itu.
Beliau berkata, PKPD itu hanya melibatkan kawasan penjara dan kuarters kakitangan di situ iaitu kira-kira membabitkan keluasan 1.37 kilometer persegi, manakala penduduk berhampiran tidak terlibat serta tidak perlu risau dengan membuat pembelian panik.
Menurutnya seramai 158 pegawai dan anggota polis dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysiab akan bertugas 24 jam sehari di kawasan PKPD itu.
Soffian berkata, semua aktiviti termasuk membabitkan masjid, rumah ibadat, sekolah dan ekonomi tidak dibenarkan operasi di dalam kawasan PKPD itu serta mereka yang terlibat juga diminta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.
Sementara itu, beliau menafikan mesej suara yang tular di aplikasi WhatsApp kononnnya 18 pegawai dan anggota polis di Kontinjen Polis Pulau Pinang, positif COVID-19 berikutan mereka tidak menjaga penjarakan fizikal ketika mengendalikan tahanan.
Katanya selain itu, beliau turut menafikan mesej tular di WhatsApp dan laman sosial Facebook, yang kononnya PKPD dijalankan di seluruh George Town bermula tengah malam ini sehingga berlaku pembelian panik dalam kalangan orang ramai.
-- BERNAMA
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.penangkini.com/2020/10/tiga-jalan-ditutup-di-kawasan-penjara.html