Kanta Mata Keputihan Dan Boleh Jadi Buta Ini Boleh Jadi Punca Katarak Mata Cara Nak Elak Ia Terjadi
Persatuan Prevent Blindness America telah mengisytiharkan Jun sebagai Bulan Kesedaran Penyakit Katarak.
Bersempena dengan itu, pihak kami ingin memanfaatkan ruang dan peluang ini untuk berkongsi maklumat kepada seluruh masyarakat tentang penyakit yang boleh jadi punca utama kebutaan ini.
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa penyakit katarak pada mata ini sebenarnya boleh dielakkan atau dipulihkan. Jadi, jom sama-sama kita ikuti artikel ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut.
Apa itu penyakit katarak?
Sebelum pergi dengan lebih mendalam lagi, wajarlah untuk kita semua belajar serba sedikit mengenai penyakit berbahaya ini terlebih dahulu.
Katarak adalah kondisi di mana kanta mata yang jernih menjadi keruh. Ia boleh diumpamakan seperti sebuah tingkap kaca yang sebahagiannya diselaputi kotoran.
Terdapat 4 jenis katarak yang mungkin boleh berlaku kepada kita termasuklah:
Katarak Nuklear – Menjejaskan bahagian tengah kanta mata
Katarak Kortikal – Menjejaskan bahagian hujung kanta mata
Katarak Sub-kapsular Posterior – Menjejaskan bahagian belakang kanta mata
Katarak Kongenital – Katarak yang wujud sejak dari lahir lagi
Meskipun ia mempunyai banyak jenis yang berbeza, kalian tidak perlu terlalu risau akannya kerana gejala dan rawatan bagi setiap jenis penyakit katarak ini adalah lebih kurang sama sahaja.
Jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan beberapa masalah penglihatan seperti rabun, silau, sukar mengenali warna, keputihan kanta mata, penglihatan sebelah mata berganda serta buta.
Apa punca penyakit katarak?
Ramai dalam kalangan masyarakat kita yang percaya bahawa ia disebabkan oleh terlalu banyak membaca, memandu dan menonton skrin; telefon pintar, komputer riba serta televisyen.
Ya, ia mungkin boleh menjadi pencetus penyakit ini.
Namun ada beberapa lagi faktor risiko yang lain termasuklah:
Peningkatan usia
Pendedahan kepada cahaya matahari
Menghisap rokok
Meminum alkohol
Obesiti
Diabetes
Hipertensi
Pernah mengalami kecederaan mata
Pernah melakukan pembedahan mata
Pengambilan ubatan steroid sistemik
Menghidap HIV/AIDS
Mungkin pada peringkat awal, penangguhan pembedahan tidak akan mengakibatkan kerosakan mata untuk jangka masa panjang. Pun begitu, ia akan membuat proses rawatan menjadi lebih sukar.
Apa langkah-langkah perlu buat untuk elak masalah katarak?
Seperti mana yang kita tahu, langkah paling efektif untuk merawat penyakit katarak ini adalah dengan melakukan pembedahan. Namun mencegah sudah tentu lebih baik dari mengubati bukan?
Menurut Pakar Perubatan Kesihatan Umum Dr Sri Viknaran, tiada ubatan atau suplemen yang dikenal pasti dapat melambatkan atau mengelakkan perkembangan katarak kepada seseorang.
Namun terdapat beberapa langkah yang kalian boleh amalkan iaitu:
#1. Amalkan diet yang sihat dan seimbang
Pengambilan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran dalam diet membolehkan tubuh badan mendapat lebih banyak vitamin serta nutrien.
Dalam pada itu, kedua-dua jenis makanan ini juga mempunyai kadar antioksidan yang sangat tinggi – bagus untuk mengekalkan tahap kesihatan mata.
#2. Awasi kondisi kesihatan anda secara umum
Kita semua sudah sedia maklum bahawa kondisi kesihatan seperti diabetes, hipertensi dan obesiti adalah antara faktor risiko berlakunya penyakit katarak.
Oleh itu, sila awasi penyakit-penyakit ini dan rawat ia sebelum keadaan menjadi lebih parah.
#3. Berhenti menghisap rokok untuk elak katarak
Merokok bukan sahaja boleh menjadi pencetus kepada kerosakan pada mata malah tidak bagus untuk kesihatan anda secara total. Jadi, berhentilah sebelum terlambat.
#4. Kurangkan meminum alkohol untuk elak katarak
Dengan lambakan kes pemandu mabuk yang meragut banyak nyawa tidak bersalah kini, inilah antara alasan untuk kalian mengurangkan atau berhenti terus dari mengambilnya.
#5. Kerap memakai kaca mata hitam
Sinaran ultra ungu dari cahaya matahari juga adalah antara faktor risiko penyebab penyakit katarak. Memakai kaca mata hitam mampu menghalang sinaran ultraviolet B (UV) ketika berada di luar rumah.
#6. Pergi berjumpa pakar mata secara berkala
Akhir sekali, sila pergi berjumpa dengan pakar mata secara berkala untuk sentiasa mendapatkan informasi yang terkini mengenai tahap kesihatan mata kalian.
Sama seperti berjumpa pakar kulit atau pakar gigi sekurang-kurangnya 6 bulan sekali, ia adalah satu usaha yang sangat penting untuk mengelak penyakit katarak.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
Sumber: Hello Doktor
The post Kanta Mata Keputihan Dan Boleh Jadi Buta, Ini Boleh Jadi Punca Katarak Mata & Cara Nak Elak Ia Terjadi appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2020/06/08/kanta-mata-keputihan-dan-boleh-jadi-buta-ini-boleh-jadi-punca-katarak-mata-cara-nak-elak-ia-terjadi/