Kalau Aku Memang Tak Siasat Dah Tangkapnterus Nasib Siasat Tu Adil Namanya
KENAPA NAFI, PMO PATUTNYA BANGGA MENGAKUI SIASATAN DUA TUN MEMANG ARAHAN ANWAR?
27 September 2024
Laporan terbaru Bloomberg menyebut Pejabat Perdana Menteri (PMO) telah menafikan dakwaan bahawa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat Tun Mahathir Mohamad, anak-anaknya dan rakan rapatnya, Tun Daim Zainuddin.
Menurut laporan yang sama, PMO juga menafikan Anwar mengarahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki supaya tidak menyiasat pembelian saham oleh bekas setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
“PMO menegaskan bahawa Perdana Menteri tidak pernah mengeluarkan arahan atau campur tangan dalam siasatan yang dijalankan SPRM.
“SPRM beroperasi sebagai badan bebas dan bertindak berdasarkan aduan yang diterima,” menurut Bloomberg yang memetik PMO sebagai berkata demikian.
Kenyataan PMO ini adalah untuk menafikan laporan Bloomberg sebelum ini yang melaporkan Azam memberitahu pegawai SPRM bahawa arahan untuk menyiasat Tun Mahathir dan anak-anaknya serta Tun Daim yang merupakan bekas menteri kewangan, datang daripada Anwar sendiri.
Dua anak Tun Mahathir, Mirzan dan Mokhzani, sebelum ini juga menafikan mereka menjadi subjek siasatan SPRM, sebaliknya menyatakan mereka hanya diminta mengisytiharkan aset sebagai anak kepada individu yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
Mereka juga menyatakan bahawa mereka difahamkan bahawa pengisytiharan aset yang telah dibuat adalah untuk menentukan sama ada bapa mereka menyalahgunakan kedudukannya sebagai perdana menteri untuk memperkayakan mereka.
Tun Daim, awal tahun ini, minta dibicarakan atas pertuduhan di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 kerana gagal mematuhi syarat notis pengisytiharan aset yang dikeluarkan oleh SPRM.
Dalam laporan Bloomberg yang sama, SPRM turut menafikan dakwaan tersebut dengan menyatakan bahawa SPRM beroperasi secara bebas dan mempunyai kuasa untuk menyiasat dakwaan rasuah tanpa perlu mendapatkan kebenaran daripada sesiapa, termasuk Perdana Menteri.
“SPRM dengan tegas menolak dakwaan mengenai sebarang arahan daripada perdana menteri untuk mempengaruhi atau menghalang siasatan tertentu,” kata laporan itu lagi.
Cuma, persoalannya di sini, untuk apa PMO membuat penafian itu?
Kecuali dalam kes siasatan SPRM terhadap Farhash yang barangkali ada keperluan untuk PMO membuat penafian adanya sebarang arahan daripada Anwar, tetapi dalam kes Tun Mahathir dan Tun Daim, tiada keperluan untuk PMO berbuat demikian.
Hakikatnya, jika benar siasatan terhadap terhadap Tun Mahathir dan Tun Daim dilakukan tanpa arahan sesiapa, kenapa siasatan tidak dilakukan sebelum ini lagi?
Azam mula mengetuai SPRM ketika era kepimpinan Muhyiddin Yassin, kemudian Ismail Sabri Yaakob dan terus sehingga kepimpinan semasa oleh Anwar, tetapi siasatan terhadap Tun Mahathir dan Tun Daim hanya berlaku setelah Anwar memegang jawatan Perdana Menteri.
Ini menunjukkan, tanpa arahan kepimpinan kerajaan yang tegas dalam memerangi rasuah dan membanteras perlakuan sakau seperti Anwar, siasatan SPRM tidak mungkin berlaku terhadap Tun Mahathir dan Tun Daim.
Lagi pula, sebelum menjadi Perdana Menteri lagi, Anwar sentiasa bercakap kepada rakyat untuk menyiasat Tun Mahathir dan Tun Daim atas dakwaan melakukan salah guna kuasa dan mengumpul kekayaan melalui jawatan politik yang mereka sandang.
Anwar bahkan bertegas mahu mengembalikan, jika didapati kekayaan yang diperolehi Tun Mahathir dan Tun Daim itu dengan cara yang salah, kepada rakyat semula.
Ini bermakna, tanpa keraguan lagi siasatan yang telah berlaku sekarang adalah selaras dengan hasrat perjuangan Anwar selama ini.
Rakyat juga tentunya tertunggu-tunggu hasil siasatan terhadap kedua-dua Tun itu.
Dengan itu, PMO tidak harus malu-malu mengakui bahawa siasatan yang berlaku kepada Tun Mahathir dan Tun Daim adalah kerana satu sebab saja iaitu Anwar kini sudah berada di kerusi Perdana Menteri.
Nak harap SPRM di bawah Muhyiddin dan Ismail Sabri untuk menyiasat Tun Mahathir dan Tun Daim, sama seperti mengharapkan munculnya matahari di waktu malam.
Lalu, baik Anwar atau PMO – kenapa mesti malu untuk mengaku?
Anwar bahkan harus bangga mengambil “kredit” atas siasatan kepada kedua-dua Tun itu kerana ia adalah bukti nyata beliau seorang pemimpin yang cakap serupa bikin bila kuasa sudah dalam genggamannya. – ShahbudinHusin 27September2024.
https://shahbudindotcom.net/2024/09/27/kenapa-nafi-pmo-patutnya-bangga-mengaku-siasatan-dua-tun-memang-arahan-anwar.html
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2024/09/kalau-aku-memang-tak-siasat-dah.html