Jawatankuasa Tapis Bekas Pemimpin Umno Ambil Kira Pandangan Akar Umbi Mukhriz
THE MALAYSIAN TIMES
PUTRAJAYA: Jawatankuasa yang ditubuhkan bagi meneliti dan menapis permohonan keanggotaan bekas pemimpin UMNO untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengambil kira pandangan anggota di peringkat akar umbi dalam membuat keputusan, kata Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.
Beliau yang mempengerusikan jawatankuasa itu berkata mendapatkan maklum balas bahagian terlibat adalah langkah pertama yang dibuat kepimpinan parti apabila ada wakil rakyat pembangkang menyatakan hasrat secara tidak rasmi untuk menyertai Bersatu.
“Ada sebahagiannya boleh menerima kerana dia fikir, dia akan mendapat wakil rakyat dalam bahagian dia walaupun semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mereka bertelagah kerana mereka datang daripada parti lawan,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual semasa Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini.
Pada masa sama, Menteri Besar Kedah itu turut mengakui terdapat juga bahagian yang membantah penerimaan anggota Parlimen atau anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada UMNO berikutan faktor kesalahan yang dilakukan individu terbabit.
“Walaupun tiada laporan secara rasmi (daripada pihak berkuasa), orang macam ini tidak boleh diterima kerana bimbang budaya tidak baik dibawa ke dalam Bersatu,” katanya.
Selain tapisan rekod kesalahan, Mukhriz berkata kepimpinan Bersatu yang berasal daripada UMNO sepertinya dan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, juga mempunyai lebih keupayaan untuk membuat keputusan kerana mereka mengenali setiap wakil rakyat terbabit.
“Kita tahu sewaktu dalam UMNO bagaimana tabiat berpolitik mereka,” katanya sambil menambah jawatankuasa itu akan memastikan penghijrahan wakil rakyat pembangkang tidak menjejaskan reputasi dan imej Bersatu.
Mukhriz berkata pimpinan Bersatu di peringkat akar umbi juga tidak perlu bimbang penghijrahan wakil rakyat UMNO akan menutup peluang mereka untuk terpilih sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Untuk penggal selama lima tahun ini, tidak semestinya wakil rakyat yang berhijrah ke Bersatu akan dijamin menjadi calon pada PRU15,” katanya.
Tegasnya, wakil rakyat yang berhasrat menyertai Bersatu juga tidak boleh mengenakan syarat, sebaliknya parti itu yang patut mengenakan syarat kepada mereka.
Mukhriz berkata wakil rakyat tersebut perlu sedar dan memohon maaf secara terbuka bahawa parti yang mereka wakili dahulu telah membuat kesilapan antaranya memberi pelbagai tekanan melalui agensi kerajaan seperti kepada Bersatu semasa parti itu masih lagi menjadi pembangkang.
“Saya tengok (ada) wakil rakyat yang menyatakan hasrat hendak melompat ini tidak sedar perkara itu, macam tiada rasa bersalah. Sebaiknya apabila sudah sedar, mohon maaf secara terbuka bahawa parti mereka dahulu telah membuat kesilapan dan sekarang (mereka) bersama Bersatu,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya permohonan maaf seperti itu akan dapat mengelakkan rasa kurang selesa dalam kalangan anggota Bersatu apabila menerima kehadiran bekas pemimpin UMNO.
Ditanya mengenai pandangan parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang lain mengenai isu itu, Mukhriz berkata beliau telah menjelaskan kepada Majlis Presiden PH bahawa pihaknya mengambil serius proses tapisan sebelum membuat sebarang keputusan.
“Kita tidak terima sebarang orang dan jika ada yang boleh menjejaskan imej PH secara keseluruhannya kita akan tolak,” katanya.
Mukhriz berkata beliau percaya terdapat juga wakil rakyat pembangkang yang berminat untuk menyertai parti komponen PH yang lain dan menyifatkan langkah itu akan mengukuhkan kedudukan kerusi kerajaan dalam Dewan Rakyat.
“Saya tidak ingat wakil-wakil rakyat PH yang ramai ini boleh terpengaruh dengan wakil rakyat pembangkang sehingga menjadi barah yang akan merosakkan kita. Kita tidak lemah sehingga tidak dapat mengawal keadaan itu,” jelasnya.—Bernama
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2018/12/jawatankuasa-tapis-bekas-pemimpin-umno.html