Jawatan Panas Yang Menjadi Tumpuan Dalam Kabinet Ismail Sabri
AGENDA DAILY	 								 								 											

						Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membaca ikrar sumpah memegang jawatan Perdana Menteri di Istana Negara.
															 																					 									 							 					 						Kali pertama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan membentuk  Kabinetnya dan Agenda Daily ingin memberi tumpuan portfolio yang  dikatakan panas bakal menentukan hala tuju kerajaan yang akan dipimpin  Perdana Menteri Ke-9.
Timbalan Perdana Menteri (TPM)Ketika era pentadbiran PM Ke-8, kedudukan kedua tertinggi ini menjadi  kosong selepas Tan Sri Muhyiddin tidak menamakan timbalannya dalam  barisan Kabinet sebaliknya melantik tiga menteri kanan, Ismail Sabri  antara salah seorangnya.
Tiga menteri kanan bertanggungjawab dalam membantu urusan urus tadbir  Muhyiddin dan setiap masing-masing mempunyai tanggungjawab yang khusus,  ia memandangkan negara sedang berdepan krisis kesihatan yang tidak  pernah berlaku dalam sejarah dunia.
Spekulasi mengatakan jawatan ini akan diberikan kepada parti Bersatu  dan beberapa nama calon sudah menjadi perdebatan dalam ruang media  sosial serta hangat dibincangkan dikalangan pemerhati politik.
Untuk rekod, Ismail Sabri dilantik TPM pada penghujung kemelut  politik melanda negara selepas tindakan beberapa Ahli Parlimen (MP) UMNO  menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional  (PN).
Bagaimanapun, penghujungnya selepas berlaku ketegangan politik gagal  menemui jalan penyelesaian, Muhyiddin melepaskan jawatannya dan memberi  laluan kepada Ismail Sabri untuk naik menjadi PM Ke-9.
Menteri KewanganKementerian paling sensitif dan menjadi rebutan banyak parti politik,  jadi tidak hairan apabila desakan paling awal datang daripada beberapa  pemimpin UMNO yang meminta jawatan Menteri Kewangan diberikan kepada  mereka, antara nama yang dicadangkan adalah Timbalan Presidennya Datuk  Seri Mohamad Hasan.
UMNO yang sejak sekian lama memerintah negara mengetahui kepentingan  Kementerian Kewangan kerana ia tempat punca wang keluar masuk negara, ia  boleh dikatakan kementerian yang menyimpan segala kekayaan negara.

Malah, bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang kini  terpalit dengan puluhan pertuduhan pecah amanah dan kes rasuah juga  dahulunya adalah Menteri Kewangan, bertanggungjawab meluluskan pelbagai  transaksi yang menjadi pertikaian dan meragukan.
Ketika era Muhyiddin mentadbir kerajaan, mengambilkira sensitiviti  dan mengelak wang negara daripada terus dirobek oleh ahli-ahli politik,  seorang yang tidak mempunyai kaitan dengan parti politik dilantik bagi  mengisi jawatan tersebut.
Muhyiddin melantik Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku  Abdul Aziz yang juga seorang tokoh korporat Malaysia. Tengku Zafrul  merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan/ Pengarah Eksekutif  CIMB Group Holdings Berhad iaitu sebuah bank universal ASEAN terkemuka,  serta pemimpin dunia dalam kewangan Islam.
Kebimbangan umum kini selepas UMNO kembali berkuasa, jawatan penting  tersebut akan diisi semula oleh ahli politik yang mempunyai kepentingan  kepartian.
Sekiranya jawatan tersebut dilantik dikalangan pemimpin kanan UMNO,  paling merisaukan isu berkaitan rasuah dan budaya melobi projek akan  kembali bermaharajalela seperti dahulunya.
Apakah Mohamad layak untuk mengemudi Kementerian Kewangan walhal  beliau juga masih belum terbukti kebolehannya diperingkat pusat.
Menteri Undang-UndangPastinya orang ramai tidak lupa drama semasa sidang Mesyuarat Khas  Dewan Rakyat yang lalu apabila Menteri Undang-Undang Datuk Seri  Takiyuddin Hassan menjadi sasaran blok pembangkang berhubung Proklamasi  Darurat dan pelbagai kritikan dilemparkan terhadap pemimpin PAS  tersebut.
Bagaimanapun, pujian dan kredit perlu diberikan kepada Takiyuddin  yang tidak berkompromi dengan kumpulan Kluster Mahkamah yang diketahui  umum melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan  rakannya, Datuk Seri Najib Razak.
Kementerian ini penting memandangkan ia juga dapat mempengaruhi  jabatan-jabatan penting yang melibatkan hal ehwal perundangan seperti  Jabatan Peguam Negara dan lain-lain.
Zahid dan Najib bersama-sama beberapa MP UMNO yang lain terpalit  dengan kes jenayah dan sedang dibicarakan memerlukan seorang pemimpin  dikalangan mereka untuk dilantik mengisi jawatan tersebut.

Spekulasi mengatakan Datuk Seri Azalina Othman Said mengintai jawatan  Menteri Undang-Undang ini kerana ia juga adalah portfolio terakhirnya  sebelum tumbang kerajaan Barisan Nasional semasa Pilihan Raya Umum Ke-14  (PRU14) dahulu, beliau terkenal juga dengan keberanian mempertahankan  Najib dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Semua kenyataan Azalina dalam isu 1MDB ini boleh disemak dalam Hansard Dewan Rakyat.
Untuk rekod, Azalina juga baharu meletak jawatan sebagai Timbalan  Yang di-Pertuan Dewan Rakyat dan difahamkan berkemungkinan ditawarkan  menjadi menteri penuh.
Jika Azalina berani mempertahankan Najib sebelum ini, ia  berkemungkinan juga dapat memberikan komitmen sama sekiranya dilantik  kembali sebagai Menteri Undang-Undang.Malah semasa menjadi Menteri Undang-Undang pada 2016, Azalina paling  banyak membela Najib berhubung isu 1MDB dan adakah ini orang yang sama  kita harapkan dapat menjaga kedaulatan undang-undang negara kembali  ditegakkan?
Khabar angin mengatakan Azalina sendiri yang meminta untuk kembali  memegang jawatan yang disandangnya ketika era pentadbiran Najib itu,  jika perkara ini menjadi realiti bagaimana reaksi pembangkang. Adakah  pembangkang masih percaya kepada individu sama yang pernah membela Najib  dalam isu 1MDB sehingga tumbang kerajaan BN?
Namun, kini pemimpin DAP, MP Segambut Hannah Yeoh pula mencadangkan  Azalina ini kembali dimasukkan dalam Kabinet Ismail Sabri sebagai  Menteri Dalam Negeri. Tidak pasti apakah sebenarnya yang berada dalam  pemikiran pemimpin pembangkang dengan mencadangkan nama Azalina supaya  menjadi menteri semula.
Apakah mereka lupa peranan Azalina semasa Najib menjadi PM dahulu,  wang negara hilang entah ke mana, silap-silap kes Zahid dan Najib pun  bakal berlalu begitu sahaja.
Tahniah kepada pembangkang, khususnya pemimpin DAP kerana berjiwa  besar yang sanggup mengangkat seorang pemimpin UMNO dahulu yang mereka  fitnah dengan pelbagai kata nista untuk menjadi menteri lagi.
Untuk rekod, Azalina berada dalam kumpulan 15 MP yang menarik  sokongan terhadap Muhyiddin sehingga menjadi punca kejatuhan kerajaan  PN.
Menteri Dalam NegeriSebagai seorang Menteri Dalam Negeri, akses dengan pasukan  keselamatan seperti polis, imigresen dan beberapa agensi lain yang  berada dibawahnya merupakan sesuatu kemudahan yang amat berpengaruh dan  mampu menaikkan nama seseorang dalam pentas politik.
Tradisinya, individu yang berjawatan penting dalam parti politik juga  akan dilantik untuk mengisi jawatan ini, malah Muhyiddin sebelum  menjadi Perdana Menteri Ke-8 juga merupakan Menteri Dalam Negeri ketika  pentadbiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas PRU14.
Muhyiddin melantik Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah  Zainuddin sebagai Menteri Dalam Negeri dalam pentadbirannya. Namun,  difahamkan kemungkinan jawatan tersebut kekal diberikan kepada wakil  parti Bersatu.
Bagaimanapun, kemungkinan UMNO juga pasti mengintai jawatan penting  ini untuk menjamin agensi-agensi yang dianggap berkuasa dibawah  Kementerian Dalam Negeri (KDN) dapat mengikut telunjuk mereka jika mahu  melawan musuh-musuh politik.

Untuk rekod, Presiden UMNO, Zahid semasa menjadi TPM juga memegang  portfolio Menteri Dalam Negeri dan terpalit dengan kes mahkamah  berhubung isu kontrak Visa Luar Negara (VLN).
Selain itu, UMNO juga sedang berdepan kes berhubung isu pemilihan  parti yang masih menjadi pertikaian dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan  (RoS), sebuah agensi dibawah KDN.
RoS juga sebelum ini dalam satu kenyataan menegaskan UMNO perlu  mengadakan pemilihan parti mereka tahun ini, sekiranya ini berlaku ia  bakal mengundang masalah kepada Zahid selaku Presiden parti untuk terus  mengekalkan sokongan terhadapnya selepas terpalit dengan pelbagai  kontroversi.
Ismail Sabri sebagai PM pastinya mencari peluang untuk ke jawatan  nombor satu parti memandangkan ia sudah menjadi tradisi pemimpin nombor  satu parti adalah juga seorang PM.
Menteri KesihatanKrisis kesihatan negara yang masih berterusan dan jumlah kes harian  Covid-19 yang masih tinggi, Ismail Sabri perlu mencari seorang ketua  yang dapat mengemudi Kementerian Kesihatan dengan baik disamping mencari  strategi baharu dalam menangani isu pandemik yang menjejaskan negara  dan rakyat ketika ini.
Berkemungkinan tinggi, Ahli Parlimen Tenggara Datuk Seri Dr Adham  Baba yang banyak mencetuskan kontroversi dengan kenyataan-kenyataan  kurang cerdiknya bakal digantikan dengan MP UMNO lain.
Dr Adham tidak memegang jawatan tertinggi dalam parti dan hanya Ketua  UMNO Bahagian semasa dilantik menjadi Menteri Kesihatan, namun majoriti  Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO mahu jawatan tersebut diberikan kepada  salah seorang wakil dalam badan tertinggi parti tersebut.

Bagi mengelak imej kerajaan Ismail Sabri tercalar dengan  kenyataan-kenyataan yang menimbulkan kemarahan orang ramai,  berkemungkinan seseorang yang lebih berpengalaman dan tahu mengendalikan  urusan operasi melibatkan pusat vaksin, hospital dan kebajikan petugas  barisan hadapan perlu dilantik untuk mengisi jawatan ini.
Berkemungkinan besar, individu yang layak untuk berada disini adalah  bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin Abu Bakar  yang lebih teratur dalam hal ehwal pengurusan dan lebih cekap memahami  isu-isu semasa berkaitan dengan pandemik.
Namun, Dr Adham sudah melakukan yang terbaik sepanjang menjawat  jawatan Menteri Kesihatan dan juga dilihat proaktif mendengar cadangan  daripada pelbagai pihak.
Terima kasih Dr Adham, jasa anda akan dikenang rakyat Malaysia.
Menteri Belia dan SukanPengundi muda akan menjadi penentu dalam PRU15 nanti dan kementerian ini antara paling dekat dengan kelompok pengundi ini.
Seorang Menteri Belia dan Sukan mempunyai akses yang banyak dalam  penganjuran program serta peruntukan yang banyak boleh digunakan untuk  mendekati pengundi muda ini.
Kabinet Ismail Sabri perlu meletak seorang MP muda yang dapat menjadi  aspirasi dan mampu mempengaruhi pengundi anak muda untuk bersama-sama  dengan kerajaan.
Semasa pentadbiran Muhyiddin, jawatan ini diberikan kepada Ahli MT  UMNO Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, namun ketika era pandemik  peranan beliau terhad kerana tidak banyak aktiviti dan penganjuran sukan  yang dijalankan bagi mengelakkan penularan Covid-19.
Dijangka, jawatan ini juga akan diisi dikalangan pemimpin UMNO,  spekulasi mengatakan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan yang  disebut-sebut untuk mengisi jawatan tersebut kerana faktor usia dan  dikenali dikalangan anak muda dalam parti tersebut sendiri.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/08/jawatan-panas-yang-menjadi-tumpuan.html