Jangankan Nak Beli Data Makan Pun Susah Keluh Ibu
Shakira Buang & Annabelle Lee 
Jangankan  kemampuan untuk membeli data, kemampuan untuk membeli barangan makanan  pun ada keluarga yang menghadapi kesukaran sekarang ini. 
Begitulah  masalah yang menampakkan wujud jurang digital dalam pengajaran atas  talian. Hal ini dijelaskan ibu bapa ketika diminta berkongsi pengalaman  menjadi guru interim sepanjang tempoh pelaksanaan perintah kawalan  pergerakan (PKP)
Bagi suri rumah Jumiati Ilyas, 42 tahun, hidup  sewaktu tempoh PKP memerlukan beliau melakukan penjimatan dan hanya  memberi keutamaan kepada keperluan asas keluarga sahaja.
Disebabkan langkah penjimatan itu banyak benda yang terpaksa dikorbankan Jumiati, ini termasuk langganan produk jalur lebarnya.
Bagaimanapun,  langkah tersebut memberi kesan kepada anak-anaknya dalam meneruskan  sesi pembelajaran secara atas talian yang disarankan Kementerian  Pendidikan Malaysia (KPM) sepanjang tempoh PKP yang berkuatkuasa sejak  18 Mac lalu itu.
Risau makan-minum anak
"Saya  sedar keperluan anak-anak untuk belajar di rumah sepanjang tempoh PKP  ini. Namun dengan kemampuan yang kami ada dengan suami yang tak boleh  keluar bekerja memerlukan saya bertindak sedemikian.
"Lagi pun  saya lebih risaukan makan minum anak-anak saya. Lagi pun sekarang ni  bolehlah kita harapkan majikan suami untuk terus bayar gaji, tapi  esok-esok kita tak tahu.
"Soal belajar anak-anak tak apalah, saya  boleh perlahan-lahan ajar mereka guna buka sekolah sedia ada," kata ibu  kepada tiga cahaya mata itu kepada Malaysiakini.

Bagi  jururawat sebuah klinik swasta, Suriayana Mohamamad, 38 tahun, meskipun  kerajaan memberikan data percuma sepanjang PKP namun kesukaran untuk  mendapatkan akses internet tetap ada selain kekurangan kemudahan seperti  tablet atau telefon mudah alih.
Ibu kepada dua orang cahaya mata,  masing-masing berumur 12 dan 11 tahun, berkata akses internet yang  tinggi diperlukan bagi menyediakan pembelajaran secara dalam talian itu.
Katanya,  lebih-lebih lagi golongan ibu bapa terpaksa memuat turun pelbagai  dokuman yang diperlukan sebagai ulang kaji dan latihan harian anak-anak.
"Memang  kerajaan bagi internet percuma, tapi dalam keadaan sekarang yang semua  orang kena duduk di rumah sudah pastinya capaian akan menjadi perlahan  sekali gus menyukarkan kami untuk memuat turun aktiviti anak-anak.
"Itu masalah kami yang duduk di bandar, bagaimana mereka yang duduk di kampung-kampung?" Soalnya.
"Belum  lagi yang kita dengar dari ibu bapa yang tidak ada kemudahan seperti  komputer riba atau telefon canggih sikit, itu pasti satu kesukaran.
"Macam  saya, anak sulung akan ambil UPSR tahun ini, jadi saya perlu beri lebih  fokus pada dia dan adiknya terpaksa mengalah dan hanya ulang kaji  dengan buku latihan sedia ada saja dulu," kongsi Suriayana.
Sementara  itu, Nadirah R, 36, berkata masalah utama yang dihadapinya adalah  terpaksa membahagi-bahagikan tugas antara kerja pejabat, kerja rumah dan  mengajar anak-anak.
"Bila nak kena multitask anak waktu kerja dan waktu dia orang sekolah, itu yang bertembung.
"Banyak  kerja rumah itu tak jadi masalah, yang jadi masalah ialah bila hang nak  kena masak, hang nak kena jaga anak kecik lain, hang nak kena urus  rumah, dan pada masa yang sama, hang kena buat kerja kalau tak bos  marah. Itu macam mana?" Soalnya.
Selain itu, Nadirah berkata beliau juga bimbang dengan kemampuannya dalam mengajar.
Rezeki kais pagi, kais petang
"Anak-anak dalam waktu yang normal akan dapat pendedahan, pengenalan dan pelajaran asas dari sekolah.
"Jadi, bila balik rumah, ibu bapa boleh ambil-alih sebab dia orang dah faham sikit dalam kelas. Tapi dalam tempoh PKP ini, setting tak sama. Anak-anak tak dapat proper introduction to the subject dan lain-lain.
"Semuanya  ibu bapa yang kena buat dan kita nak kena galas lebih tanggunjawab  (sekarang sebagai cikgu yang haram tak ada teknik mengajar), buat kita  berfikir betul ke apa yang kita ajar ni?" Soal Nadirah.
Jelasnya lagi, dia tiada masalah sekiranya guru-guru memberikan kerja rumah yang banyak pada anak-anak sepanjang tempoh PKP ini.
Bagi  Noraini Abdullah pula kehidupan keluarganya umpama "kais pagi makan  pagi, kais petang makan petang" yang bergantung rezeki hasil tangkapan  di laut.

Noraini (kanan) bersama suaminya Zamri.Katanya, dia tidak mampu membeli data pada waktu-waktu gawat sekarang
"Lagi pun kita orang pakai top-up (prepaid), bukan pakai line (postpaid). Ada top-up, ada lah buat pembelajaran (akses internet). Kalau tak ada top-up memang susah.
"Ini  pun selalu beli dalam RM5 sahaja, tambah pula sekarang ini kita tak ada  lagi ke laut (keluarga mereka cari makan sebagai nelayan). Jadi,  kadang-kadang beli kadang-kadang tak.
"Ada telefon mudah alih  tapi tak ada kredit. Kalau beli pun bila ada hal kecemasan tapi kalau  setakat nak belajar itu tak adalah," kata Noraini yang tinggal di  Kampung Orang Asli Pulau Indah, Klang.

Bagi  penuntut tingkatan lima, Nurul Aini Zamri pula dia lebih merasa bimbang  berbanding pelajar lain kerana tahun ini dirinya akan menduduki Sijil  Pelajaran Malaysia (SPM)
Nurul Ain yang tinggal di perkampungan  Orang Asli, Pulau Indah, Klang, berkata dia turut berdepan dengan  masalah yang lebih besar apabila gagal memahami subjek yang  dipelajarinya.
"Sepanjang PKP ini memang dapat buat ulang kaji  pelajaran tapi saya tak berapa boleh faham subjek yang saya cuba buat  ulang kaji. Malah saya juga bimbang dengan penguasaan saya dalam subjek  Bahasa Melayu dan Sejarah. Kerana subjek-subjek ini kena lulus.
"Cikgu juga ada bagi kerja rumah, tapi tak boleh buat. Sebab tak (ada cikgu) terangkan," kata Nurul Aini (gambar, bawah) yang bersekolah di SMK Pulau Indah, Pelabuhan Kelang, Selangor.

Azizi Ardi yang juga pelajar tingkatan lima di perkampungan yang sama turut berkongsi kebimbangan dengan Murul Aini.
"Saya  berasa bimbang kerana tidak dapat ke sekolah kerana covid-19. Saya juga  bimbang dengan penguasaan saya dalam mata pelajaran saya Bahasa Melayu  dan sejarah sebab dua mata pelajaran itu sangat penting. Saya harap  dapat luluslah tahun ini.
"Kita juga tak ada (laptop,  internet di rumah untuk ulang kaji pelajaran), ada pun telefon mudah  alih tapi tak tahu guna juga. Jadi kita guna WhatsApp biasa sajalah,"  katanya.
Kementerian Pendidikan baru-baru ini menyediakan garis  panduan untuk pentadbir sekolah, guru, ibu bapa dan pelajar menjalankan  pembelajaran atas talian kepada pelajar semasa PKP, terutama melalui  portal pembelajarannya.
Platform itu menyediakan pautan kepada  alat komunikasi seperti Google Classroom dan Microsoft Team untuk  pengajaran dan pembelajaran di rumah.
Bagaimanapun,  bermula dengan kekurangan akses internet oleh ibu bapa dan pelajar,  pembelajaran secara atas talian terbukti menjadi cabaran kepada guru  yang berjuang untuk memastikan pengajaran berterusan.
"Kami  guru-guru sambut baik usaha kerajaan dan kami juga lega bila dapat bantu  pelajar meneruskan pembelajaran walaupun sepanjang tempoh PKP ini.
"Namun, tidak semua pelajar mempunyai akses kepada internet atau tablet di rumah.
"Terutamanya  dari keluarga berpendapatan rendah, jadi kami tidak dapat memantau  semua pelajar,” kata seorang tenaga pengajar yang enggan namanya  disiarkan.
Kekangan kawasan luar capaian Internet
Guru itu berkata dia tetap berusaha membantu para pelajarnya seperti menggunakan aplikasi WhatsApp.
"Tapi  itulah, ia tetap bermasalah bila ada di kalangan ibu bapa yang tidak  mempunyai telefon yang boleh akses kepada internet, khususnya suri rumah  tangga sepenuh masa," katanya.

Masalah yang sama turut dikongsi seorang lagi tenaga pengajar yang enggan dinamakan.
"Pembelajaran  secara dalam talian bagus kerana ia membuatkan pembelajaran sentiasa  berlaku walaupun berada di rumah ketika PKP dan murid-murid tidak akan  ketinggalan.
"Cuma sedikit kekangan jika pelajar berada di luar  kawasan capaian internet atau pun pelajar yang tidak mempunyai kemudahan  seperti telefon atau laptop dan juga keluarga yang mempunyai anak  sekolah yang ramai, mungkin ada sedikit keterbatasan," jelasnya.
Turut berkongsi pandangan Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Mohamad Ali Hassan.
Menurut Mohamad Ali (gambar, bawah),  beliau juga sudah menjangkakan ibu bapa, pelajar dan guru akan berdepan  cabaran dalam proses pembelajaran secara dalam talian itu

"Saya  lihat ia (pembelajaran secara dalam talian) satu perkara yang amat baik  tetapi ia ada cabarannya. Pertama liputan jalur lebar itu sendiri yang  kita sedia maklum tidak meliputi semua kawasan
"Keduanya, mungkin  guru tidak bersedia sepenuhnya dan yang ketiga ada juga keluarga yang  tidak ada sumber yang secukupnya untuk membantu anak-anak meneruskan  pembelajaran di rumah.
"Barang kali ada juga keluarga yang tidak biasa menggunakan teknologi," katanya kepada Malaysiakini.
Mohamad  Ali berkata beliau turut menerima maklum balas dan mendengar keluhan  pelajar, ibu bapa dan guru berhubung permasalahan tersebut.
Beban kerja sekolah menimbun
"Kita  melihat dan mendengar ramai kalangan ibu bapa yang terbeban dengan  pelaksanaan PKP ini, yang mana ada yang terpaksa berjimat cermat dalam  berbelanja namun terpaksa pula mendapatkan akses jalur lebar bagi sesi  pembelajaran anak-anak.
"Secara keseluruhannya kita mengharapkan  perlunya ada perancangan rapi bagi melaksanakan sistem pembelajaran ini  kerana saya percaya ia merupakan satu keperluan sistem persekolahan  sekarang," katanya.
Ketika diminta mengulas rungutan ibu bapa  terhadap beban kerja sekolah yang menimbun, Mohamad Ali mencadangkan  Kementerian Pendidikan mencari jalan penyelesaiannya.

Jelasnya, Kementerian Pendidikan perlu mewujudkan satu pasukan penilai atau pakar pembelajaran bagi setiap subjek pelajaran.
"Dengan  adanya pakar tersebut mereka akan meneliti dan memantau sekali gus  dapat menyelaraskan pembelajaran dan tidak terlalu melampaulah beban  pembelajaran itu di waktu-waktu sebegini yang memerlukan pertimbangan  yang lain sedikit dari kebiasaannya.
"Kerana kita mengharapkan  sistem pembelajaran dalam talian ini memberikan kesoronokan dan dapat  mengisi waktu lapang terutamanya dalam waktu-waktu sebegini selain tidak  membebankan pelajar," katanya lagi.
Bagi Yang di-Pertua  (YDP) PIBG Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Paya Rumput Melaka, K  Vishvam, beliau juga turut mendapat rungutan dari kalangan ibu bapa  berhubung permasalahan yang sama
TV pendidikan
"Sebenarnya  ia bagus, bagi dia orang sibuk sikit dan waktu-waktu PKP begini dan ibu  bapa boleh bantu mereka belajar. Aktiviti tersebut juga boleh eratkan  hubungan sesama keluarga selain kita boleh tahu tahap pembelajaran  setiap anak.
"Selalunya ibu bapa hanya diberikan keputusan atau  markah setiap ujian sajakan tapi sekarang kita boleh pantau dan tahu  lebih jelas sejauh mana anak-anak menguasai satu-satu subjek yang  dipelajari.
"Bagaimanapun soal kemampuan juga jadi isu besar, di mana bukan semua orang mampu mendapatkan akses internet.
"Malah  ada keluarga yang tak ada telefon agak canggih pun sebab saya  difahamkan banyak dokumen yang perlu dimuat turun dan bukan semua  keluarga ada komputer dekat rumah.
"Tambah pula bilangan anak  yang bersekolah juga ramai. Jadi, ramai juga yang mengeluh telefon  mereka hang (tersekat-sekat)," katanya.

Menjelaskan  lanjut, Vishvam berpandangan adalah lebih baik untuk kerajaan mengguna  pakai dan mempertingkatkan pembelajaran melalui televisyen.
Katanya, itu pilihan terbaik memandangkan semua orang ada televisyen di rumah dan itu lebih membantu.
"Walaupun  kita dapat akses internet percuma buat masa ini tapi kita tetap ada  masalah, kerana bila ramai orang cuba akses internet ia secara automatik  akan perlahan.
"Ia juga turun beri kesan kepada mereka yang  berkemampuan untuk mendapatkan akses internet yang lebih bagus. Jadi,  mungkin pembelajaran melalui televisyen boleh dipertingkatkan kerana  saya yakin semua orang ada televisyen di rumah itu lebih membantu dan  satu pilihan yang terbaiklah," katanya.
Buat masa ini TV  Pendidikan disiarkan melalui saluran TV Okey selama dua jam sehari dan  ia menyiarkan pembelajaran bagi murid tahun satu, empat lima dan enam,  selain tingkatan empat serta lima.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/04/jangankan-nak-beli-data-makan-pun-susah.html