Janji Tere Liye

Judul : JANJIPenulis : Tere LiyePenerbit : SabakgripTahun terbit : Cetakan ketujuh, November 2022Jumlah halaman : 486
Catatan bacaan yang pertama pada tahun ini setelah sekian lama saya tak menghasilkan entri berkaitan bahan bacaan. Buku yang telah selesai dibaca kali ini merupakan sebuah novel karya penulis Indonesia kegemaran saya - Tere Liye
PERJALANAN TIGA SAHABAT MENCARI BAHAR
Novel dengan judul Janji ini membawa kisah tiga orang sahabat iaitu Baso, Kaharuddin dan Hasan yang merupakan pelajar nakal di sebuah sekolah agama. Sebagai hukuman juga pendidikan di atas suatu kesalahan berat yang mereka lakukan di sekolah, mereka harus mencari seorang bekas pelajar bernama Bahar bagi mendapatkan jawapan kepada sebuah pertanyaan besar
Perjalanan mereka bertiga mencari Bahar penuh dengan rintangan, hal-hal yang mengejutkan, sedih dan perkara lucu. Semuanya diolah dengan baik oleh penulis, menjadikan pembacaan novel ini tidak membosankan
Di hujung cerita, tiga sahabat ini bukan saja berjaya menemukan jawapan kepada pertanyaan tersebut malah mereka mendapat pelajaran daripada kisah hidup Bahar
BAHAR - PEMEGANG LIMA PUSAKA
Watak utama novel ini iaitu Bahar - membesar sebagai anak yatim piatu yang sering mendatangkan masalah. Bahar dihantar ke sekolah agama oleh neneknya dengan harapan Bahar dapat berubah menjadi manusia berakhlak baik.
Namun Bahar tak pernah berubah, sering mendatangkan pelbagai masalah kepada pihak sekolah. Sehinggalah berlaku suatu kejadian, akhirnya Buya selaku pengetua juga pemilik sekolah terpaksa melepaskan Bahar pergi tetapi dengan satu janji - iaitu berjanji memegang lima pusaka.
Sejak detik itu, Bahar melalui pelbagai cabaran hidup. Bahar pernah dipenjara atas kesalahan yang tidak dilakukannya - dia diseksa dengan teruk di dalam penjara. Menurut saya, kisah sewaktu Bahar di penjara inilah yang paling menarik dan mendebarkan
Lima pusaka tersebut :Pertama, selalu hormati dan bantu tetanggamu.Kedua, selalu lindungi yang lemah dan teraniaya.Ketiga, senantiasa jujur dan tidak pernah mencuri.Keempat, bersabarlah atas apa pun ujianmu.Kelima, bersedekah, bersedekah dan bersedekahlah.

Klik foto untuk paparan lebih jelas.
PENGAJARAN
Bahar dilihat sebagai orang yang gagal dalam kehidupan tetapi berjaya mengakhiri kisah hidupnya dengan baik. Bahar mempunyai sikap baik iaitu berpegang pada janjinya dengan Buya.Watak Bahar mengajarkan kita tentang ketabahan dalam menempuh apa jua cabaran hidup. Dia pernah di penjara dan dia pernah kehilangan isteri tercinta dalam kejadian kebakaran, namun dia tidak pernah berhenti berjuang untuk terus hidup dan memberi manfaat kepada orang di sekelilingnya. Satu inspirasi buat para pembaca.Novel ini turut menyentuh isu kekeluargaan - tiga sahabat Baso, Kaharuddin dan Hasan datang dari keluarga yang bermasalah.Juga isu rasuah yang membarah - sewaktu di penjara Bahar berusaha memerangi rasuah sehingga dia diseksa teruk.Saya sekadar menulis sebahagian saja, tetapi sebenarnya novel ini sarat dengan pengajaran dan juga perkara baharu buat saya
ANTARA KARYA TERBAIK TERE LIYE
Gaya penceritaan novel Janji ini juga sangat menarik, membuatkan saya ingin segera menyelak helaian demi helaian. Saya seperti mendapat satu kepuasan setelah selesai membaca novel ini. Ia perasaan yang sama ketika saya selesai membaca novel Rindu dan Tentang Kamu
“Kau boleh pergi sekarang, Bahar. Tunaikan janjimu atas lima pusaka tersebut. Aku tahu, kau hari ini boleh jadi masih nakal, pemabuk, suka berjudi, suka berkelahi. Tapi ada sesuatu yang spesial sekali di hatimu. Kau akan selalu berusaha menepati janji. Kau boleh pergi sekarang.” - Buya
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ujieothman.blogspot.com/2025/11/janji-tere-liye.html