Isu Khairuddin Biar Pihak Berkuasa Jalankan Siasatan Pm
Muhammad Azizul Osman                                                                                                                                                                                                                                                                                                                  

Muhyiddin Yassin              KUALA LUMPUR – Selepas isu kuarantin membabitkan Menteri  Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman  Razali hangat ketika pembuka sesi pertanyaan dan jawab lisan di Dewan  Rakyat – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengeluarkan  kenyataan bagi meredakan isu terbabit.
Dalam kenyataan satu muka surat itu, Muhyiddin berkata, kerajaan  Perikatan Nasional (PN) menyerahkan kepada bidang kuasa pihak berwajib  untuk melakukan siasatan mereka.
“Saya serahkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan bagi  menjalankan siasatan yang menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya  mengikut proses undang-undang,” kata Perdana Menteri.
Tambah Muhyiddin, kerajaan PN ambil maklum akan isu berkenaan dan  menegaskan setiap rakyat di negara itu tidak terlepas sekiranya didapati  melanggar undang-undang di negara ini.
“Kerajaan mengambil maklum dan memandang serius kes dakwaan  pelanggaran perintah kuarantin oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan  Komoditi, YB Dato Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali setelah beliau  pulang dari Turki pada 7 Julai 2020.
“Kerajaan Perikatan Nasional berpendirian bahawa setiap rakyat  Malaysia adalah tertakluk di bawah undang-undang Negara dan tidak ada  sesiapa pun yang terkecuali,” katanya lagi.
Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan  polis telah membuka kertas siasatan terhadap Khairuddin selepas gagal  mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki, pada 7  Julai lalu.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan media  memaklumkan kementerian itu mengenakan kompaun RM1,000 terhadap  Khairuddin pada 7 Ogos lalu, atas kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan  Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam  Kawasan Tempatan Jangkitan), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit  Berjangkit 1998 (Akta 342). – MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/08/isu-khairuddin-biar-pihak-berkuasa.html