Iring Perjalanan Sahabat Hingga Ke Liang Lahad
Mati itu pasti. Tetapi, jika ia berlaku mendadak atau tanpa tanda-tanda sakit, tentu sekali mengejutkan. Itulah pengalaman kehilangan seorang kawan sejak bersekolah menengah lebih 35 tahun dahulu di Sekolah Menengah Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan.
Biarpun tidak selalu berjumpa secara alam nyata, tetapi selalu mengingatinya terutaman setiap kali lalu di hadapan pejabat guaman miliknya di Taman Kenangan, Jalan Kadir Adabi.
Dan tentunya, dalam dunia tanpa sempadan, pertemuan di alam maya kerap terjadi. Bahkan, kurang 12 jam sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir, arwah banyak menghantar nota suara bernada ceria dan penuh gurauan seperti biasa tanpa menampakkan tanda-tanda arwah akan meninggalkan dunia fana ini.
Pada 25 Ogos ambo menulis artikel ‘Penat Masih Tidak Jumpa Jalan’.... setelah siap, ambo mencari gambar untuk digunakan sebagai ‘cover’ atau gambar hiasan... terlihat gambar ini. Entah tidak tahu sebab apa... ambo pilih gambar ini. Ketika itu, antara wajar yang ambo rasa ‘dekat’ ialah wajah arwah biarpun kedudukan arwah paling jauh dalam gambar itu. Rupanya itu tanda beliau akan pergi jauh dari dunia yang fana ini.
Sebab itu, apabila mendengar perkhabaran berita kematian arwah, ambo terus ke rumahnya pada pukul 10.50 pagi. Ambo pergi pagi kerana takut tidak sempat untuk pergi sebelah petang yang dijangka jenazah akan disembahyangkan.
Alhamdulillah.... pukul 3 petang, sempat ambo sekali lagi berada di rumahnya dan sempat menyembahyangkan jenazah dan kemudian terus mengiringi jenazah sehingga ke tanah perkuburan dan melihat sebelum jenazah ditutup dengan keranda dan seterusnya ditimpus dengan pasir sehingga selesai.
Ketika bersama-sama yang lain menatap wajah arwah kali terakhir.... terdengar beberapa suara yang menyebut.... ‘putih bersih’ merujuk kepada wajah arwah. Alhamdulillah....
Ketika berada di tanah perkuburan, mulanya ambo nak berada di bawah (di dalam kubur) untuk menyambut jenazah dan meletakkan di liang lahad.... tetapi apabila tengok ada anak arwah, ambo suruh dia yang turun ke dalam kubur sabagai khidmat terakhir secara fizikal kepada arwah.
Ketika di atas, ambo sempat menunjuk ajar anak arwah ketika mengendalikan jenazah.... cara meletakkan... kukuhkan kedudukan, membuka ikatan kain kapan dan beberapa perkara lain. Semoga ia menjadi pengalaman berharga dan kenangan seumur hidup untuk anak arwah.
Apa yang dilakukan itu ambo rasakan sebagai khidmat secara fizikal terakhir di atas muka bumi ini untuk arwah. Sebab itu ambo terus ke kubur selepas sembahyang jenazah di rumah arwah. Mengiringi perjalanan terakhir sahabat sehingga ke liang lahad.
Jenazah mula diturunkan ke liang lahad pada pukul 4 petang. Proses mengembumikan selesai ketika azan Asar dikumandangkan di masjid pondok yang terletak bersebelahan kawasan tanah perkuburan.
Damailah sahabat Zulhilmi Mokhtar di alam persinggahan sehingga kita bersama-sama di Padang Mahsyar nanti. Amin.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://lokmanismail.blogspot.com/2022/09/dfe.html