Inilah Wajah Sebenar Ph Jangan Terkejut Sangat
Kasthuri Jeevendran                                                                                                                                                                                              

Presiden Parti IPF, Datuk M. Sambathan 
KUALA LUMPUR –  Pengakuan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bahawa  ada keputusan yang beliau tidak perlu terikat dengan kabinet dalam  membuat keputusan memperlihatkan wajah sebenar Pakatan Harapan (PH).
 Malah kenyataan Mahathir itu dilihat tidak selari dengan apa termaktub dalam manifesto PH mengenai lantikan politik.
Nampaknya ahli parti yang diberikan peluang menjawat jawatan tertentu dalam kerajaan adalah sesuatu telah dijangka.
 Presiden Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF), Datuk M. Sambathan  berkata, memang sejak awal lagi kemenangan besar oleh PH pada pada  pilihan raya umum lalu hanya berasaskan pembohongan dan fitnah.
 “Kerana itu juga banyak sangat apa yang dijanjikan itu tidak dapat  dilaksanakan, walaupun janji selepas menang 100 hari semuanya boleh  dilakukan oleh mereka.
 “Hari ini menang, esok boleh laksana adalah sesuatu yang luar biasa  apatah semuanya ‘tunggang terbalik’. Bagaimana anda tukar semuanya?  Selama berpuluh tahun rakyat boleh hidup dengan inisiatif seperti itu,  elok sahaja. Mereka mahu tukar, kemudian tidak mampu. Jadi lakukan  pusingan U.
 “Janji pendidikan percuma, api-apikan semua pelajar kita, kemudian  buat u-turn kononnya apa yang dilaksanakan itu betul, kerajaan tidak  mampu. Tol tidak boleh diberikan percuma. Jadi mengapa janji?
 “Dulu segala macam fitnah dan kenyataan membidas lantikan politik  walaupun adanya sangat berkelayakan, sekarang kamu kata ianya tidak adil  jika ‘orang kamu’ tidak diberikan peluang? Jadi mengapa janji kepada  rakyat?
 “Kini terang lagi bersuluh kamu katakan, janji manifesto itu sekadar  janji kerana belum tentu kamu akan menang, manifesto itu bukan ‘bible’  dan segala macam. Apakah begitu senang kamu bohongi rakyat seperti ini?
 “Implikasinya, rakyat yang sedang tertekan dengan segala macam  harapan punah dan kos kehidupan yang meningkat, ingat lagi apa yang PH  cakap tentang GST dan SST? Apa sudah jadi?
 “Inilah wajah sebenar kerajaan yang dahulunya pembangkang, cakap  sekadar kuasa bukan rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
 Sambathan yang juga Ahli Dewan Negara tidak melahirkan rasa  terkejutnya dengan pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tanpa berbincang terlebih  dahulu dengan kabinet.
 Selain kepimpinan PH melahirkan rasa terkejut dengan pelantikan itu,  barisan pembangkang turut menyoal adakah lantikan tersebut mempunyai  agenda tersembunyi bagi membantutkan usaha Anwar menjadi Perdana Menteri  ke-8.
 Dilahirkan di Kerala, India, Latheefa adalah peguam dan aktivis hak  asasi manusia melalui Lawyers for Liberty sejak tahun 2011 sebelum  meletak jawatan awal minggu ini.
 Jelas Sambathan lagi, rakyat tidak sepatutnya sangat ‘berharap’ apa  yang dijanjikan sangat oleh kerajaan PH selepas ini kerana akan ada  lebih banyak janji di mungkiri selepas ini.
 “Jangan terkejut juga, tidak perlu juga bagi kenyataan berjela-jela  mengkritik kerajaan sendiri, itu adalah kerja kami sebagai pembangkang,  anda kini kerajaan. Janganlah terus main politik seperti ini, kaburi  rakyat kononnya anda-anda di sana ada pejuang.
 “Ada juga ahli politik yang kini berjawatan tinggi dan kanan kerajaan  yang baru sahaja setahun jagung dalam politik, itulah kerajaan PH.  Kerajaan bawah pentadbiran Tun Mahathir, beliau boleh berbuat apa  sahaja,” tegasnya. –MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/06/inilah-wajah-sebenar-ph-jangan-terkejut.html