Ini Adalah Tahun Mereka Sudah Lama Berlakon 4 Pelakon Ini Mula Tempa Nama Dalam 2020
Tahun 2020 sebenarnya merupakan tahun yang meriah buat dunia K-Drama. Dengan pelbagai drama unik dan best yang dihasilkan, malah banyak ‘permata’ yang ditonjolkan kepada peminat drama Korea dalam tahun ini. Nak tahu siapa?
Han So-hee
Muncul sahaja buat pertama kali dalam “The World Of The Married”, semua penonton nyata terpersona melihat kecantikan wanita tinggi lampai ini. Dengan lirikan mata yang tajam, ramai yang tak mampu mengelak daripada terpaut dengan rupa paras dan bakat lakonannya meskipun membawa watak wanita perampas.
Kalau anda nak tahu, Han So-hee sebenarnya memulakan kerjaya lakonannya pada tahun 2017 dalam drama “Into The World Again” sebelum berlakon dalam banyak naskhah lain lagi seperti “100 Days My Prince” dan “Abyss”. Tetapi “The World Of The Married” ternyata merupakan tuah besar baginya kerana namanya mula menjadi sebutan ramai selain menjadi antara pelakon yang menerima tawaran pengiklanan terbanyak sekali untuk tahun ini.
Lee Do-hyun
Meskipun pernah muncul sebagai watak sampingan dalam banyak drama popular seperti “Prison Playbook”, “Clean With Passion For Now”, dan “Hotel Del Luna”, namun nama Lee Do-hyun mula meniti di bibir peminat K-Drama selepas membintangi drama “18 Again” baru-baru ini.
Pertama kali melakonkan watak utama, namun lelaki ini membuktikan bakatnya yang besar dengan lakonan meyakinkan. Bayangkan Lee Do-hyun berjaya menyentuh hati penonton dengan watak Hong Dae-young yang kembali muda selepas bercerai dengan isterinya. Langsung tidak kekok, dia mampu menyampaikan personaliti versi tua (Yoon Sang-hyun) dengan hebat sekali.
Seo Ye-ji
Tipulah kalau ada yang cakap bahawa “It’s Okay To Not Be Okay” tidak meninggalkan impak langsung dalam dunia K-Drama untuk tahun 2020 ini. Antara sebab kejayaannya ialah watak utama yang dipegang oleh Seo Ye-ji. Rasanya tiada siapa lagi yang mampu membawa watak penulis buku kanak-kanak dengan personaliti anti-sosial, Go Mun-yeong melainkan wanita itu.
Sudah pun berlakon dalam pelbagai drama seperti “Save Me”, “Moorim School”, “Lawless Lawyer” dan banyak lagi, namun mata penonton mula terbuka selepas menyaksikan persembahannya yang tiada tandingan dalam drama psikologi “It’s Okay To Not Be Okay” ini. Bahkan dia langsung tidak tenggelam dek lakonan hebat watak utama lain iaitu Kim Soo-hyun dan Oh Jung-se. Dahsyat!
Kim Seon-ho
Sudah pun berkecimpung dalam dunia lakonan muzikal sejak tahun 2009, lelaki ini mencabar dirinya dengan melompat masuk dalam industri lakonan arus perdana menerusi drama “Good Manager” sebagai watak sampingan pada tahun 2017.
Lakonannya yang hebat membuatkan Kim Seon-ho terus menerima tawaran sebagai watak kedua dalam pelbagai drama seperti “Strongest Deliverymen”, “Two Cops” dan “100 Days My Prince”. Bahkan lelaki ini turut pernah membawa watak utama dalam “Welcome To Waikiki 2” dan “Catch The Ghost”, namun sepertinya masih ramai lagi yang tidak sedar dengan kewujudan pelakon hebat ini.
Semuanya berubah apabila Kim Seon-ho menjadi hero kedua dalam drama “Start-Up” yang kini sedang ditayangkan. Menjadi-jadi betul popularitinya kerana dalam masa sebulan sahaja, dia sudah meraih pengikut Instagram sebanyak 2 juta. Fuhh! Malah ramai yang sepertinya berharap agar dia diangkat sebagai hero utama dalam drama itu.
Seronok rasanya apabila melihat pelakon yang layak popular akhirnya mendapat spotlight mereka. Rasa macam memang mereka sepatutnya dihargai ramai, kan?
Ada tak antara mereka ini merupakan pelakon kegemaran anda?
Jom ‘Like’ dan ‘Follow’ Facebook, Twitter dan Instagram KimchiDaily untuk mendapatkan berita Korea paling latest yang sensasi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://kimchidaily.my/ini-adalah-tahun-mereka-sekian-lama-berlakon-4-pelakon-ini-mula-tempa-nama-dalam-2020/