Ingatkan Ada Lelaki Dalam Hidup Boleh Berehat Tapi Tidak Ezlynn Akui Masa Untuk Dapatkan Zuriat Semakin Singkat
Ezlynn mahu seorang suami yang bertanggungjawab dalam memikul amanah Allah.
SETELAH hampir dua tahun memegang status janda, penyanyi Ezlynn berkata dia masih belum menemui pengganti yang layak menjadi teman hidupnya.
Menurut Ezlynn atau nama sebenar Azline Ariffin, 38, dia masih mencari calon suami memenuhi ciri-ciri yang disebut dalam surah Al-Baqarah.
"Saya masih lagi mencari pengganti, kawan memang ramai tapi susah nak jumpa yang sesuai sebab kita dah pernah berkahwin dan tahu apa yang kita nak.
"Sejujurnya bukan senang nak cari lelaki yang ada ciri-ciri disebut dalam Surah Al-Baqarah dimana mereka tahu mengenai tanggungjawab terhadap isteri dan anak," katanya.
Ezlynn ditemui semasa pertunjukan fesyen Alike Spring Summer Collection 2020 yang diadakan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada Khamis lalu.
Ezlynn mengharapkan seorang suami yang mampu menanggung segala keperluan untuk isteri dan anak-anak.
Dalam surah Al-Baqarah ada menyentuh mengenai tanggungjawab suami menyediakan nafkah secukupnya untuk isteri dan anak-anak di bawah tanggungan mereka.
Sementara itu, penyanyi lagu Hi Hi Bye Bye ini mengakui serik untuk kembali mendirikan rumah tangga setelah kegagalan perkahwinan terdahulu.
Bagaimanapun, dia perlu segera berkahwin jika ingin memiliki zuriat memandangkan usianya kini semakin meningkat.
Ezlynn bercerai dengan Adam setelah enam tahun mendirikan rumah tangga.
"Saya sangat serik dengan perkahwinan dulu. Ingatkan ada lelaki dalam hidup boleh berehat tapi tidak!
"Secara peribadi saya memang mengharap untuk cepat berkahwin kerana dua tahun lagi saya bakal mencecah usia 40 tahun dan saya nak memiliki anak secepat mungkin.
"Tapi itulah... jodoh masih belum ada dan saya reda dengan ketentuan ini. Jika ada bertemu yang sesuai, bertanggungjawab dan tak main-main dengan amanah Allah ini, saya pasti terima," ujarnya.
Terdahulu, Ezlynn berkahwin dengan Adam Fahmy pada November 2011 dan bercerai pada 23 Oktober 2017.
Sepanjang enam tahun mendirikan rumahtangga, pasangan ini tidak dikurniakan cahaya mata. - mstar
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wwwberita-semasa.blogspot.com/2019/07/ingatkan-ada-lelaki-dalam-hidup-boleh.html