Info Khasiat Pokok Leletop Kelambu Untuk Kesihatan
Pokok letup-letup kelambu (PLLK) atau nama saintifiknya Physalis peruviana merupakan spesis tumbuhan genus Physalis, yang berasal dari rantau Chile dan Peru. Tanaman dan buahnya biasanya dipanggil ceplukan (Indonesia), cecendet (Sunda), Keceplokan (Bali) atau Inggeris dikenali dengan gooseberry Cape, goldenberry atau physalis. Ia telah ditanam di England dan Afrika Selatan sejak akhir abad ke-18. Namun P. minima dan P. angulata lebih banyak terdapat di kawasan Asia.
PLLK dari jenis yang berbunga dari keluarga nightshade (Solanaceae), yang tumbuh di kawasan-kawasan panas dan subtropika hangat di dunia. Pokok ini merupakan tumbuhan herba yang tumbuh 0.4–3 m tinggi, menyerupai buah tomato tetapi kecil ukurannya (1.25-2 cm), namun lazimnya dengan batang yang lebih tegar dan tegak, ia boleh jadi pokok tahunan atau saka. Kebanyakannya memerlukan matahari penuh dan suhu hangat hingga panas.
Tiada maklumat tanaman PLLK yang ditanam secara komersil di Malaysia, namun di Indonesia telah muncul jutawan dari ceplukan (PLLK) yang diusahakan oleh Cik Juwita Kuswara di Sumedang, Jawa Barat. – rujukan TRUBUS bil. 577 Disember 2017.
Pokok ini tumbuh dalam kebanyakan jenis tanah dan dapat tumbuh elok dalam tanah tidak subur atau dalam pasu. Ia memerlukan banyak air diawal pertumbuhan, hingga mencapai waktu buah masak. Pokok ini terdedah kepada banyak penyakit dan perosak tomato biasa, perosak lain adalah seperti afid, lalat putih, hamama lelabah dan kumbang Leptinotarsa juncta juga menyerangnya. Pembiakan ialah melalui biji benih.
Buah cukup masakBagaimana pun PLLK adalah berbeza dari pokok letup-letup atau lebih dikenali dengan nama pokok ulat bulu (Passioflora feotida) Antara manafaat dari PLLK, dikatakan dengan mengambil buah letup-letup kelambu secara rutin boleh dapat membantu pengidap stroke untuk memulihkan sel saraf.
Pengambilan 10 biji buah letup-letup kelambu yang dimakan secara langsung atau di buat jus dikatakan mampu mengubati penyakit gusi, bahagian dalam mulut atau lidah yang kelihatan merah dan putih. pengidap penyakit ini akan mengalami kesakitan serta kesakitan ketika makan atau minum dan juga penampilan nafas berbau yang disebabkan oleh bakteria di dalam mulut. Kandungan vitamin C yang terdapat dalam buah ini mampu mencegah dan merawat penyakit ini.
Selain dari itu buah dari PLLK ini juga dikatakan juga mampu mengatasi tekanan darah tinggi dengan mendidihkan lima biji buah dari PLLK dalam 100 ml air dan direbus selama 5 minit. Tapis airnya dan minum semasa airnya masih suam dua kali sehari.
Banyak lagi khasiat dari buah PLLK ini, dan antara lain ianya mampu menyembuhkan vertigo (sakit paru-paru), mengubati bisul, membantu mengawal keracunan makanan, memulihkan tenaga, meredakan batuk serta memperbaiki air kencing dan diabetes.
Selain dari itu ianya juga mampu mengubati selsema dan penyakit asma, mengubati penyakit jantung serta menurunkan demam panas. PLLK juga merupakan ubat tradisional untuk mengatasi kanser terutama kanser payudara. Caranya dengan menyediakan 4 helai pucuk letup-letup kelambu, 4 biji beras dan pucuk kunyit ditumbuk lumat dan lumurkan tiga bahan tersebut pada payudara.
Dalam perubatan Cina, spesies Physalis digunakan untuk merawat keadaan seperti abses, batuk, demam, dan sakit tekak. Groundcherry licin (P. subglabrata) diklasifikasikan sebagai tumbuhan halusinogen, dan penanamannya selain tujuan hiasan dilarang di negara Amerika Syarikat Louisiana di bawah Akta Negeri 159.
Buah dari PLLK digunakan di kalangan orang sebagai antispasmodic, diuretik, antiseptik, penenang dan analgesik serta dalam rawatan jangkitan tekak dan penghapusan parasit usus atau amuba serta untuk menguatkan saraf optic.
Kajian kes menunjukkan bahawa buah-buahan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti hipertensi, takikardia ventrikel, dan episod manic. Selain itu, pengujian aktiviti biologi yang dijalankan ke atas buah, batang, dan daun tumbuhan telah menunjukkan bahawa ia mempunyai kesan hepatoprotective dan antioksidan serta kesan sitotoksik ke atas sel-sel kanser tertentu.
Namun dalam apa jua keadaan, pengambilan bahan dari tumbuhan untuk tujuan perubatan hendaklah sentiasa mendapatkan nasihat daripada para profesional seperti doktor atau pakar pharmasutikal. Sumber : Jabatan Pertanian Malaysia akuanakpahang.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://akuanakpahang.blogspot.com/2019/07/info-khasiat-pokok-leletop-kelambu.html