Imigresen Gempur Sindiket Pelacuran Beroperasi Semasa Pkp
Kuala Lumpur: Seramai 23 wanita warga asing ditahan kerana disyaki terbabit dengan kegiatan pelacuran dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Sungai Besi, dekat sini, semalam.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata mereka terdiri daripada 13 warga Thailand, Indonesia (7), Vietnam (2) dan Laos (1) ditahan bersama tiga lelaki tempatan yang bertindak sebagai ejen dan penjaga premis.
Beliau berkata siasatan mendapati sindiket itu didalangi rakyat tempatan dengan menyiarkan gambar iklan perempuan berpakaian seksi melalui aplikasi WeChat yang ditempah melalui media sosial atau dilanggan secara ‘walk-in’.
”Setiap tempahan dan langganan dikenakan bayaran antara RM180 hingga RM300 bagi satu sesi dengan bilik hotel disediakan secara percuma,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya lagi, hasil pemeriksaan, pihaknya menemui wanita warga asing di dalam bilik berasingan bersama pelanggan terdiri daripada lelaki tempatan dan warga Pakistan.
Beliau berkata turut ditemui sejumlah kondom yang telah dan belum digunakan serta peralatan seks dan buku catatan rekod bayaran pelanggan.
Khairul Dzaimee berkata wang tunai berjumlah RM20,656.45 juga ditemui dan akan disiasat menurut Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Menurutnya, dalam operasi itu, keseluruhan individu yang ditahan adalah 26 warga asing dan 10 rakyat tempatan berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun.
”Semua tahanan warganegara asing akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen, Semenyih. Sebagai langkah pencegahan penyebaran COVID-19, mereka akan disaring oleh pegawai Kementerian Kesihatan di Depot sebelum direman untuk siasatan dan pendakwaan,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, iaitu melanggar syarat Pas Lawatan Sosial, Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 iaitu melindungi mana-mana orang yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)
”Walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, kami hanya melaksanakan omnipresent, ini tidak bermakna kegiatan menyalahi undang-undang negara akan dibiarkan berlaku. Tangkapan dan pendakwaan akan tetap dilakukan ke atas warga asing yang cuba mengambil kesempatan,” katanya.
Sumber: Bernama
The post Imigresen Gempur Sindiket Pelacuran Beroperasi Semasa PKP appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2020/04/24/imigresen-gempur-sindiket-pelacuran-beroperasi-semasa-pkp/