Icerd Modal Umno Pas Tarik Sokongan Melayu Kata Abim
Haspaizi ZainDiterbitkan 27 Nov 2018, 8:29 pagi
Umno dan PAS didakwa sengaja mempolitikkan isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) bagi meraih sokongan orang Melayu di negara ini.
Mengambil contoh peratusan undi yang diperoleh Umno dan PAS pada pilihan raya umum (PRU) lalu, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyifatkan dua parti dominan orang Melayu itu mengambil kesempatan terhadap isu Icerd.
Setiausaha Agung Abim, Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata apatah lagi orang Melayu di negara ini agak pantang apabila disentuh soal Islam, raja-raja Melayu dan hak istimewa orang Melayu.
Katanya, Pakatan Harapan (PH) hanya meraih sekitar 25 peratus sokongan pengundi Melayu berbanding Umno dan PAS pada 9 Mei lalu.
"Jadi itulah modal yang ada pada mereka (Umno, PAS). Semua tahu orang Melayu apabila disentuh tentang raja-raja Melayu, Islam mereka akan marah.
"Isu ini digunakan untuk tarik lagi kira-kira 15 peratus sokongan pengundi Melayu (yang menyokong PH). Itulah isu dan realitinya," katanya pada forum ICERD: Ya atau Tidak di Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur/Selangor di ibu negara, malam tadi.
Kerajaan sebelum ini merancang untuk meratifikasi Icerd, namun mendapat bantahan daripada orang Melayu yang mengadakan perhimpunan secara aman membabitkan Umno dan PAS bagi mendesak kerajaan menolak ratifikasi itu.
Gagal fahami naratif
Umno dan PAS merancang untuk mengadakan perhimpunan tolak Icerd secara besar-besaran di Dataran Merdeka pada 8 Dis depan.
Bagaimanapun kerajaan PH pada 23 Nov lalu mengesahkan untuk tidak meratifikasi Icerd melalui satu kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri.
Keputusan kerajaan tidak menghalang perhimpunan itu daripada terus diadakan dengan alasan kerajaan dilihat masih bercita-cita untuk melaksanakan Icerd.
Dalam pada itu Muhammad Faisal berkata, kerajaan perlu menggubal satu akta baru yang tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan bagi menghalang sebarang diskriminasi terhadap mana-mana kaum yang mempunyai "semangat Icerd".
Katanya akta itu penting bagi membiasakan rakyat Malaysia dengan Icerd.
“Walaupun kerajaan tidak meratifikasi Icerd, kerajaan mungkin boleh memasukkan beberapa elemen Icerd yang dirasakan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan ke dalam akta baru itu,” jelasnya.
Forum dikendalikan Wan Ji Wan Hussin sebagai moderator itu turut disertai Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL), Latheefa Koya; Pensyarah Undang-Undang, Dr Azmin Sharom dan Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Zaid Kamaruddin.
Sementara itu, Latheefa kecewa dengan keputusan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kerana membuat keputusan untuk tidak meratifikasi Icerd.
Latheefa menyifatkan kerajaan hari ini sebagai pengecut dan takut kepada ugutan pihak tertentu meskipun sudah memegang tampuk kuasa.
Lebih mengecewakan juga katanyaapabila wakil rakyat PH sendiri gagal memahami naratif Icerd.
"Dalam kalangan wakil rakyat PH sendiri perlu melihat kembali naratif Icerd dan jangan ulang naratif mereka yang kata Icerd itu jahat.
Zaid yang mewakili Ikram pula berkata, kerajaan perlu mendengar pandangan daripada kedua-dua belah pihak dalam isu Icerd
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2018/11/icerd-modal-umno-pas-tarik-sokongan.html