Hukum Menerima Sedekah Dari Harta Riba
SOALAN:
Ada seseorang yang saya kenali mempunyai beberapa sumber rezeki, tetapi salah satunya ialah daripada hasil riba. Orang tersebut amat pemurah dan suka memberi bantuan berupa barang dan makanan kepada orang miskin. Soalan saya apakah hukum menerima dan menggunakan pemberian barang atau makanan daripada orang tersebut?
JAWAPAN:
Hadith daripada Abu Abdullah al-Nu'man bin Basyir R.A bahawasanya beliau telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
إن الحلال بيّن وإن الحرام بيّن، وبينهما أمور مشتبهات لا يعلمهن كثير من الناس، فمن اتقى الشبهات فقد استبرأ لدينه وعرضه، ومن وقع في الشبهات وقع في الحرام، كالراعي يرعى حول الحمى يوشك أن يرتع فيه، ألا وإن لكل ملك حمى ألا وإن حمى الله محارمه. ألا وإن في الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله. وإذا فسدت فسد الجسد كله: ألا وهي القلب»
“Sesungguhnya perkara yang halal itu jelas, dan sesungguhnya perkara yang haram itu juga jelas, dan di antara kedua perkara tersebut ada perkara-perkara samar (syubhat) yang kebanyakan orang tidak mengetahuinya. Sesiapa yang menjaga (menjauhi) perkara syubhah (kesamaran), maka dia telah menyelamatkan agama dan maruahnya. Dan sesiapa yang terjatuh di dalam (melakukan) perkara syubhah, sama seperti dia terjatuh di dalam (melakukan) perkara yang haram, umpama seorang pengembala yang mengembala di sekeliling kawasan larangan, dibimbangi dia akan menceroboh masuk ke dalamnya. Ketahuilah bahawa setiap raja ada sempadan dan sesungguhnya sempadan Allah itu ialah perkara-perkara yang diharamkan-Nya. Ketahuilah bahawa dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati.” [Riwayat al-Bukhari (3842)]
Pada asalnya harta yang diperolehi daripada sumber yang diharamkan oleh syarak, seperti daripada transaksi riba, perniagaan judi dan arak adalah tidak boleh digunakan. Jika hasil pendapatan tersebut semata-mata daripada sumber rezeki yang haram, maka jadilah harta tersebut haram, manakala jika ia bercampur antara sumber rezeki halal dan haram, maka jadilah harta itu harta syubhah. (Rujuk: Al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie,3/67 oleh Muhammad al-Zuhaili)
Berbalik kepada persoalan di atas, isu yang ditimbulkan ialah mengambil sedekah daripada harta yang haram atau syubhah. Justeru, hukum menerima sedekah atau hadiah daripada harta haram atau syubhah adalah diharuskan di sisi syarak. Ini adalah pandangan daripada salah satu riwayat Ibnu Sirin seperti yang dinyatakan oleh Imam Ibnu Rejab Al-Hanbali dan pandangan daripada Ibn Taimiyah. (Rujuk: Al-Qawaid al-Fiqhiyyah, hlm 201-202 dan Tafsir Ayat Ushkilat ‘ala Kathirin Min al-Ulama, hlm 596)
Perkara dasar yang amat penting untuk kita fahami dalam urusan muamalat ialah kita perlu jelas tentang harta atau barang yang kita terima atas dasar apa. Seandainya seseorang itu menerima wang daripada hasil jualan arak atau atas kemenangan judi atau atas transaksi riba yang dia sendiri lakukan maka hukumnya adalah haram. Tetapi seandainya seseorang itu menerima wang atas dasar jual beli, bayaran hutang, sedekah atau hadiah yang dia tidak terlibat dengan kegiatan haram maka ia pada asalnya adalah halal.
Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:
وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا
“Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh setiap orang itu melainkan orang itu sahaja yang akan menanggung dosanya.” (Surah Al-An’am: 164)
Imam Ibnu Kathir mentafsirkan ayat ini: “Bahawa setiap jiwa itu akan diberi ganjaran berdasarkan setiap amalannya. Jika baik amalannya, maka baiklah pembalasannya. Dan jika buruk amalannya, maka buruklah pembalasannya. Ini kerana, setiap jiwa (manusia) itu tidak akan memikul kesalahan (dosa) orang lain. Hal ini membuktikan akan keadilan Allah SWT.” (Rujuk: Tafsir Ibn Kathir, 3/383-384)
Berdasarkan dalil di atas, seseorang tidak akan menanggung dosa seseorang yang lain. Dalam konteks bermuamalat dengan harta yang haram, dosa si pelaku perbuatan haram adalah ditanggung olehnya sahaja dan tidak ditanggung oleh pihak lain yang bermuamalat dengannya.
Ibnu Mas’ud ketika ditanya tentang hukum menerima jemputan dan hadiah daripada jiran yang merupakan pengamal riba, mereka membenarkan untuk menerima jemputan tersebut dengan alasan dosa akan ditanggung oleh pelaku riba.
وجاء رجل إلى ابن مسعود فقال: "إن لي جاراً يأكل الربا وإنه لا يزال يدعوني"، فقال: "مهنؤه لك وإثمه عليه
Telah datang seorang lelaki kepada Ibn Mas`ud dan bertanya kepadanya: “Sesungguhnya aku berjiran dengan seorang pengamal riba dan dia selalu menjemputku untuk menjamu hidangannya.” Lalu Ibn Mas`ud menjawab: “Hidangan itu harus untuk kamu dan dosanya ditanggung oleh dia (jiran tersebut).” (Rujuk: Musannaf Abdul Razzaq, No 14675, 8/150)
Kaedah Fiqhiyyah ada menyebutkan:
تبدل سبب الملك قائم مقام تبدل الذات
“Perpindahan yang disebabkan oleh pemilikan akan mengakibatkan perubahan pada ain.” (Rujuk: Durar al Hukkam Syarh Majallah al-Ahkam, 1/98)
Menurut kaedah asal, perubahan hukum berlaku disebabkan oleh perubahan pemilikan iaitu telah bepindah hak milik sekalipun ainnya tidak berubah. Contohnya dalam kes jamuan Barirah bekas hamba Aisyah yang menghidangkan daging kepada Rasulullah. Apabila daging itu dihidangkan kepada Nabi SAW, lalu baginda diberitahu bahawa daging tersebut adalah sedekah kepada Barirah. Baginda menjawab:
“Untuk dia sedekah, untuk kita hadiah.” [Riwayat al-Bukhari (2438) dan Muslim (1786)]
Maksudnya, daging itu disedekahkan kepada Barirah, kemudian Barirah menghadiahkannya kepada Nabi SAW. Jika ia sedekah kepada Nabi SAW, maka baginda tidak boleh makan. Walaupun pada asalnya sedekah, tetapi baginda menerima daripada Barirah atas dasar hadiah, maka ianya halal untuk baginda.
Dalam hal ini, kaedah di atas membawa maksud bahawa, sekalipun ain (harta) itu sama, tetapi ia tetap berubah menjadi halal disebabkan oleh pertukaran tangan. Maka dihujahkan bahawa walaupun harta diperolehi secara haram oleh seorang pekerja tetapi harta tersebut menjadi halal sekiranya diserahkan kepada seseorang yang lain melalui transaksi atau akad samada sedekah atau jual beli dan sebagainya.
Berkata Dr Yusuf Al-Qardhawi: “Sebenarnya harta tersebut adalah keji (haram) jika dinisbahkan kepada orang yang mendapatkannya dengan cara tidak halal, tetapi ia baik (halal) untuk fakir miskin dan badan-badan kebajikan. Justeru penyelesaiannya harta tersebut hendaklah disalurkan kepada badan kebajikan iaitu fakir miskin, anak-anak yatim, orang yang terputus perjalanan, institusi kebajikan Islam, dakwah dan kemasyarakatan. Ini kerana, harta tersebut tidak haram dari segi zatnya (haram lizatihi) akan tetapi ianya haram kerana sebab yang tertentu (haram lighairihi).” (Rujuk: Al-Fatawa al-Mu’asarah, 2/411).
Imam Al-Ghazali menyatakan di dalam kitab Ihya’ Ulumuddin ketika menjawab pendapat yang mengatakan: “Kita tidak sepatutnya redha untuk diberikan kepada orang lain sesuatu yang kita tidak redha untuk kita. Memang benar sebegitu, namun dalam isu harta yang haram dimiliki, ia haram ke atas diri kita (pemilik) untuk menggunakannya, namun ia bagi fakir miskin adalah halal, kerana telah ada dalil syarak yang menghalalkannya dan ketika wujud kebaikan dari pemberian tersebut (kepada penerima), maka wajiblah diberikan.”
Imam An-Nawawi menyatakan didalam kitab Al-Majmu’ dengan menukilkan kata-kata Imam Al-Ghazali: “Sekiranya harta haram itu diberikan kepada fakir miskin, ia tidaklah haram ke atas mereka, bahkan ianya halal lagi baik untuk mereka.” (Rujuk: Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 9/381)
Kesimpulan
Setelah meneliti perbahasan di atas, kami simpulkan isu ini kepada bebepara perkara:
Orang yang menggunakan harta daripada sumber rezeki yang haram seperti penjualan arak, judi, riba atau pelacuran yang dia terlibat dengannya maka hukumnya adalah haram.Menginfaqkan harta daripada sumber rezeki yang haram menjadi kewajipan pemilik harta tersebut untuk memisahkan dirinya daripada harta tersebut dan bukannya bertujuan untuk meraih pahala daripada serahan itu. Tetapi dengan syarat hendaklah bertaubat dan tidak mahu mengulangi perbuatan maksiat itu lagi. (Rujuk: Ahsan al-Kalam fi al-Fatawa wa al-Ahkam oleh Syeikh ‘Atiyyah Saqar, 2/65)Orang yang menerima harta yang haram atau syubhah atas dasar jual beli, bayaran hutang, sedekah atau hadiah yang dia tidak terlibat dengan urusan kegiatan haram, maka mereka halal menerimanya dan tidak perlu mengembalikannya. Dengan syarat mereka tidak terlibat secara langsung dalam mempromosikan aktiviti haram seperti riba, perjudian dan arak kerana hal tersebut menunjukkan sikap redha kepada maksiat.
Wallahua’lam.
Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media
Oh! Youtube
Sumber: Oh! Media
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2019/12/hukum-menerima-sedekah-dari-harta-riba.html