Hari Pertama Perintah Wajib Pakai Pelitup Muka Masyarakat Akur Disiplin Diri
KUALA LUMPUR, 1 Ogos — Masyarakat umumnya akur dengan arahan kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang sesak bagi mengekang penularan wabak COVID-19 berkuat kuasa mulai hari ini.
Pemerhatian Bernama di sekitar ibu kota hari ini mendapati masyarakat sudah mula serius memakai pelitup muka khususnya di kawasan tumpuan dengan memakainya sebaik sahaja keluar dari kenderaan masing-masing.
Jurujual, M. Sri Mathavan, 18, berkata keluarganya yang agak besar dan mempunyai adik kecil di rumah merupakan faktor yang mendorong beliau untuk sentiasa beringat memakai pelitup muka semasa bekerja.
“Saya ada tujuh adik-beradik dan adik bongsu saya masih bayi, saya bimbang akan bawa COVID-19 ke rumah, jadi saya ikut semua saranan yang ditetapkan kerajaan seperti cuci tangan dan mandi sebelum berkumpul bersama mereka.
Gambar: BERNAMA
“Apa yang kerajaan buat ini adalah tepat, semestinya saya akan patuh kerana tidak mampu untuk membayar denda itu. Setiap hari saya akan bawa bersama sekurang-kurangnya tiga pelitup muka,” katanya.
Senada dengan Sri Mathavan, seorang peniaga kedai jam, Ng Nam Fooi, 62, berkata penguatkuasaan pelitup muka adalah bagi menjamin keselamatan orang ramai.
“Setiap hari saya berurusan dengan pelanggan. Ini memerlukan saya untuk memakai pelitup muka. Sebelum penguatkuasaan ini dilakukan lagi, saya telah memakainya setiap hari ketika bekerja atau berada di tempat awam.
“Ketika ini, bekalan pelitup muka untuk keluarga mencukupi iaitu kami mempunyai 50 keping pelitup muka. Jika bekalan ini berkurangan, saya akan segera menambahnya mengikut keperluan. Setakat ini, harga pelitup muka yang saya beli adalah berpatutan dan penjual tidak mengaut keuntungan yang berlebihan,” katanya.
Puteri Nur Anisa Megat Ismail, 29, pula berkata kebersihan dan kesihatan menjadi keutamaan kepada diri serta keluarganya pada ketika ini.
“Masing-masing kena ingat dan kawalan kendiri itu penting kerana wabak ini musuh paling bahaya dan digeruni. Saya sendiri mengambil langkah berjaga-jaga apabila mengenangkan yang tinggal sebumbung dengan saya adalah ibu yang berusia 65 tahun. Anak saudara saya berusia empat tahun juga sering ke rumah,” katanya.
Bagi mengambil langkah kebersihan dan keselamatan, beliau sentiasa menyediakan bekalan lebihan pelitup muka di dalam kenderaan dan membawa cecair pembasmi kuman bersama serta mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada di tempat awam.
Gambar: BERNAMA
Sementara itu, di George Town, PULAU PINANG, orang ramai didapati mematuhi arahan memakai pelitup muka serta mengamalkan penjarakan fizikal di kawasan tumpuan seperti pasar awam dan kedai-kedai makanan.
Seorang pengunjung Pasar Awam Jelutong, Tan Lean Yee, 54, berkata beliau berasa lebih selamat dengan semua pengunjung memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal.
“Sebelum ini, saya agak risau bila berkunjung ke tempat orang ramai kerana ada yang tidak memakai pelitup muka namun hari ini, saya dapati selain tempat makanan, semua orang telah mula memakai pelitup muka,” katanya.
Pada 23 Julai lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan sesak tumpuan umum susulan kes jangkitan pandemik COVID-19 yang kembali mencatat peningkatan di peringkat global, termasuk di Malaysia.
Ismail Sabri dilaporkan berkata orang ramai boleh didenda RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sekiranya gagal mematuhi peraturan itu.
Di BUTTERWORTH, polis mengenakan kompaun ke atas 20 individu awal pagi tadi di Bagan Ajam kerana tidak memakai pelitup muka di tempat awam dan tidak patuh penjarakan fizikal.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor dalam satu kenyataan berkata ke semua individu yang berumur dalam lingkungan 20-an itu ditahan di Hentian Rehat dan Rawat Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) Bagan Ajam pada 1.50 pagi.
Sumber: BERNAMA
The post Hari Pertama Perintah Wajib Pakai Pelitup Muka: Masyarakat Akur, Disiplin Diri appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2020/08/01/hari-pertama-perintah-wajib-pakai-pelitup-muka-masyarakat-akur-disiplin-diri/