Guru Tampil Nafi Kanak Kanak 6 Tahun Acah Anjing Liar Alami Luka Dalam Kesan Gigitan Teruk
Minggu lepas tular dengan sebuah video yang memaparkan seorang murid lelaki berusia 6 tahun dikejar dan digigit oleh beberapa ekor anjing liar di sebuah sekolah yang terletak di Port Dickson.
Timbul pelbagai spekulasi berkaitan insiden tersebut sehingga mendapat perhatian salah seorang guru di sekolah terbabit.
Norzuliana Zakaria yang juga guru di Sekolah Agama Rakyat Haji Awaluddin, Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan tampil menjelaskan situasi sebenar menimpa Mohd Adib Asyraf atau Adib.
Adib tak acah-acah anjing liar
Menurut guru berusia 35 tahun itu, dakwaan bahawa Mohd Adib mengacah-acah anjing tersebut sebelum dia digigit tidak benar sama sekali.
“Saya geram bila ramai kata budak tu dok acah-acah anjing tu. Dia tak buat. bagi saya komen itu tak adik, sebab tu saya post video rakaman CCTV sekolah kami.
“Budak enam tahun nak acah apa…lagipun waktu tu dia sorang-sorang. Kalau tengok video tu Adib tu duduk elok je, anjing tu yang kejar dia,” lapor sebuah akbar.
Adib sampai sekolah awal dan pintu kelas masih berkunci
Jelas Norjuliana lagi, sewaktu kejadian Adib tiba awal di sekolah tetapi kelas berkunci.
“Kalau tengok CCTV dia sampai dalam pukul 2.10 petang. Dia tunggu depan kelas dan waktu tu memang semua kelas berkunci sebenarnya. Jadi dia memang tak masuk dalam kelas.
“Pintu bilik kelas berkunci sebab tak nak anjing-anjing liar itu masuk. Laluan seperti dalam video tu memang laluan haiwan tu. Kadang tu tengah mengajar nampaklah anjing-anjing lalu,”katanya.
Hampir diserang anjing liar tapi sempat masuk ke kereta
Malah guru berasal dari Kelantan itu turut mendedahkan dia nyaris diserang anjing liar yang sama dua minggu lalu.
“Saya sendiri pun pernah kena kejar. Waktu tu nak balik sekolah. Nasib baik kunci kereta dah ada di tangan. Huh takut…kalau tak, tak tahulah apa jadi.
“Murid lain pun ada yang pernah kena kejar tapi mereka sempat melarikan diri dan masuk ke dalam kelas. Boleh kata sekolah tu tempat tidur anjing-anjing tu.
“Kalau saya lalu Kawasan sekolah waktu malam, memang penuh anjing. Nampaklah dalam tujuh lapan ekor sebab biasanya waktu malam lampu sekolah akan dipasang,” katanya lagi.
Luka gigitan anjing pada Adib agak dalam
Bercerita lanjut mengenai keadaan Adib, Norzuliana berkata kanak-kanak itu baru selesai menjalani pembedahan malam jumaat dan masih dalam pemantauan doktor.
“Dia mengalami luka yang agak teruk di bahagian tengkuk, telinga, lengan, ketiak dan celah peha. Doktor beritahu kesan gigitan agak dalam.
“Waktu saya melawat dia Jumaat tempoh hari, dia baru lepas X-ray tapi darah masih meleleh. Kesian tengok keadaan dia. Malam tu dalam pukul 10 Adib jalani pembedahan.
“Dia sedar semula sekita jam 9.30 pagi Sabtu dan boleh makan serta ajak sembang. Tapi dia masih lagi dalam pemantauan doktor sebab takut kesan gigitan ada virus,” jelas guru berkenaan.
Malah Norzuliana turut berkongsi momen sedih Adib sewaktu menerima rawatan di Hospital Port Dickson pada Jumaat petang.
“Bila saya sampai hospital, guard cerita gelagat Adib. Guard beritahu waktu sampai bahagian kecemasan Adib menangis. Adib kata kat doktor, “Doktor cepatlah cuci luka saya ni.”
“Tapi sambil dia menangis tu dia berdoa, Dia kata “Ya Allah ampunkan dosa mak ayah aku, ampunkan dosa abang aku”. Dia memang budak baik,” katanya.
Harap pihak PBT ambil tindakan segera
Dalam pada itu, Norzuliana berharap agar pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak berwajib mengambil tindakan segera ke atas anjing-anjing liar itu.
“Saya tak nak insiden sama berlaku dekat orang lain. Memandangkan ini kes pertama, ambil lah tindkan segera. Jangan sampai berlaku kes kedua pula baru nak bertindak,” katanya.
Sumber/gambar: Mstar Online & Norzuliana
The post Guru Tampil Nafi Kanak-kanak 6 Tahun Acah Anjing Liar, Alami Luka Dalam Kesan Gigitan Teruk appeared first on Pa&Ma.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/guru-tampil-nafi-kanak-kanak-6-tahun-acah-anjing-liar-alami-luka-dalam-kesan-gigitan-teruk/