Najib Punyai Kepentingan Langsung Terhadap 1mdb Sejak Tia Hakim
Najib Punyai Kepentingan Langsung Terhadap 1MDB Sejak TIA – Hakim
PUTRAJAYA, 26 Dis (Bernama) — Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai kepentingan langsung dalam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sejak awal penubuhannya, ketika 1MDB masih dikenali sebagai Terengganu Investment Authority (TIA).
TIA telah diperbadankan pada Februari 2009 sebagai cabang pelaburan negeri Terengganu, sebelum diambil alih Kementerian Kewangan pada Julai 2009. Ia kemudiannya dinamakan semula sebagai 1MDB pada 25 Sept 2009.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan berkata bahawa menjelang akhir tahun 2008, bekas pembantu Najib Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, memberi keterangan bahawa beliau menerima mesej BBM daripada ahli perniagaan yang kini menjadi buruan Low Taek Jho atau Jho Low, yang menyatakan bahawa beliau (Jho Low) telah memperoleh kelulusan untuk menyertai satu mesyuarat berkaitan TIA.
“Ini menunjukkan dengan jelas kepentingan tertuduh terhadap organisasi berkenaan berkaitan pertuduhan pertama, sedangkan beliau memberi keterangan bahawa dirinya hanyalah seorang penjawat awam yang telah diperdaya oleh orang bawahannya.
“Beliau juga mendakwa pertuduhan terhadapnya bermotifkan politik, serta menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai kepentingan peribadi dalam usaha niaga 1MDB, yang menjadi teras pembelaan tertuduh bahawa beliau percaya dana yang dimasukkan ke dalam akaunnya merupakan sumbangan daripada pihak Arab,” katanya.
Pertuduhan pertama terhadap Najib adalah bahawa beliau, sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, didakwa telah menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM60,629,839.43 dengan melakukan empat perbuatan antara 24 Feb 2011 hingga 14 Jun 2011 di cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, di sini.
BACA: Najib Didapati Bersalah Atas Semua 25 Pertuduhan Membabitkan Dana 1MDB RM2.3 Bilion
Pertuduhan tersebut menyatakan bahawa pada 1 April 2009 di Bilik Mesyuarat Jemaah Menteri, Aras 4, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya, melalui satu memorandum daripada Menteri Kewangan, Najib telah memperoleh kelulusan Jemaah Menteri untuk kerajaan Malaysia menjadi penjamin kepada Terengganu Investment Authority Berhad (TIA) bagi mendapatkan pinjaman sehingga RM5 bilion daripada pasaran domestik dan antarabangsa melalui Program Nota Jangka Sederhana Islam.
Bagi pertuduhan kedua, hakim memutuskan bahawa tandatangan Najib adalah penting dan menjadi faktor utama dalam penerbitan bon bernilai AS$1.75 bilion yang dikumpulkan oleh 1MDB, walaupun Najib memberi keterangan bahawa beliau tidak meletakkan tandatangannya pada dokumen kelulusan bon tersebut.
“Najib cuba bergantung kepada keterangan pakar oleh pakar tulisan tangan Tay Eue Kam, bagi mengukuhkan pendiriannya. Namun demikian, boleh dikatakan bahawa pihak pembelaan tidak pernah cuba mempertikaikan ketulenan dokumen-dokumen berkenaan.
“Ia hanya dipertikaikan kemudian pada peringkat pembelaan, yang boleh ditafsirkan sebagai satu yang difikirkan kemudian. Pemeriksaan perbandingan juga memberikan pendapat yang tidak konklusif. Ia tidak membantu sama sekali untuk menyokong dakwaan tertuduh bahawa beliau tidak menandatangani dokumen tersebut,” kata hakim.
Bagi pertuduhan kedua, bekas perdana menteri itu didakwa telah menggunakan kedudukannya antara 31 Okt 2012 hingga 29 Nov 2012 untuk memperoleh suapan berjumlah RM90,899,927.28 dengan melakukan dua perbuatan, ketika memegang jawatan yang sama dan di lokasi yang sama.
Perbuatan pertama ialah pada 9 Feb 2012 di Pejabat 1MDB, sebagai Menteri Kewangan, apabila beliau meluluskan 1MDB, yang beliau mempunyai kepentingan langsung melalui 1MDB Energy Sdn Bhd, iaitu anak syarikat 1MDB, untuk mengemukakan bidaan bagi tujuan mengambil alih Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd pada harga bidaan RM10.6 bilion.
Keduanya, pada 10 Ogos 2012, di tempat yang sama dan dalam kapasiti yang sama, Najib meluluskan pengambilalihan ekuiti Syarikat Mastika Lagenda Sdn Bhd pada harga pembelian agregat sehingga RM2.75 bilion, serta seterusnya meluluskan 1MDB untuk menerbitkan Nota Pinjaman Berstruktur 10 Tahun bernilai USD1.75 bilion.
Sementara itu, berhubung pertuduhan ketiga, Hakim Sequerah memutuskan bahawa terdapat bukti yang nyata, langsung dan berwibawa yang menunjukkan hubungan serta kaitan sebab dan akibat antara kelulusan tertuduh terhadap usaha sama dengan Aabar Investment PJS atau Surat Sokongan kepada satu surat jaminan, dengan suapan yang diterima dalam akaun AmIslamic Bank miliknya.
Bagi pertuduhan ketiga, bekas perdana menteri itu didakwa telah menggunakan kedudukannya antara 22 Mac 2013 hingga 10 April 2013, untuk memperoleh suapan bagi dirinya berjumlah RM2,081,476,926 melalui dua perbuatan.
BACA JUGA: Kronologi Kes 1MDB Dihadapi Najib Razak
Perbuatan pertama, pada 25 Feb 2013 di Pejabat 1MDB, sebagai Menteri Kewangan, meluluskan 1MDB, yang beliau mempunyai kepentingan, untuk memeterai perjanjian usaha sama dengan Aabar Investment PJS.
Begitu juga pada 14 Mac 2013, Najib didakwa telah meluluskan Surat Sokongan kepada 1MDB Global Investment Limited bagi tujuan menyokong penerbitan bon berjumlah keseluruhan USD3 bilion bagi pihak 1MDB, yang beliau mempunyai kepentingan langsung.
Bagi pertuduhan keempat berkaitan salah guna kuasa, Hakim Sequerah memutuskan bahawa apabila dinilai secara keseluruhan, bukti menunjukkan Najib telah menggunakan kedudukannya untuk meluluskan kemudahan pinjaman yang memerlukan kelulusan di bawah Perkara 117 Memorandum dan Artikel Penubuhan (M&A) 1MDB. Namun demikian, dana berkenaan akhirnya dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.
Bagi pertuduhan keempat, Najib selaku Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, telah menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM49,930,985.70 dengan melakukan tindakan berikut dalam kapasiti beliau sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB, beliau telah mengarahkan Lembaga Pengarah 1MDB untuk meluluskan 1MDB Energy Holdings Limited membuat pinjaman melalui Kemudahan Pinjaman Berjangka sehingga AS$975,000,000 daripada Deutsche Bank AG bagi tujuan penerbitan tawaran awam permulaan (IPO) Kumpulan 1MDB Energy, yang beliau mempunyai kepentingan langsung.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, hakim membuat kesimpulan bahawa Najib bersalah atas kesemua pertuduhan tersebut kerana gagal mengesahkan sumber asal sejumlah besar wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.
“Pembelaan yang dikemukakan oleh tertuduh bahawa walaupun beliau mengakui bahawa dana tersebut masuk ke dalam akaunnya melalui kemudahan overdraf atau sebagai sumbangan, ia tidak dapat diterima berikutan bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan dan tidak menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan,” kata hakim.
Mahkamah kini sedang mendengar hujahan pengurangan hukuman daripada pihak pendakwaan dan pembelaan, susulan keputusan Hakim Sequerah bahawa Najib didapati bersalah hari ini atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.
Najib, 72, didakwa empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB melalui cawangan AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014.
Beliau didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Bagi 21 pertuduhan tambahan pengubahan wang haram, beliau didakwa melakukan kesalahan tersebut di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sumber: BERNAMA
The post Najib Punyai Kepentingan Langsung Terhadap 1MDB Sejak TIA – Hakim appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/12/26/najib-punyai-kepentingan-langsung-terhadap-1mdb-sejak-tia-hakim/