Fahaman Ekstrem Tak Boleh Dilawan Hujah Ekstrem
MALAYSIAKINI
Sesuatu kenyataan yang menggunakan hujah ekstrem tidak akan membantu DAP untuk lebih diterima masyarakat, kata salah seorang pemimpin muda parti itu hari ini.
Setiausaha Publisiti DAP Johor Sheikh Omar Ali berkata ketika parti itu terus diserang dengan pelbagai tohmahan - termasuk sebagai cauvinis Cina - kenyataan yang tidak cermat hanya akan memburukkan lagi keadaan.
Pada masa sama katanya pemimpin DAP perlu sedar bahawa parti itu bukan mewakili masyarakat Cina semata-mata, sebaliknya turut bersuara untuk semua rakyat tanpa mengira sempadan bangsa dan agama.
"Kita harus sedar bahawa dengan hujah-hujah ekstrem tidak akan membawa DAP ke mana-mana, sebaliknya bakal meletakkan parti pada kedudukan paling sukar untuk mengubati imej yang dimomokkan selama ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sheikh Omar membuat kenyataan itu dipercayai sebagai teguran kepada Timbalan Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming beberapa hari lalu.
Dalam laporan media Nga mendakwa hubungan kerjasama rasmi di antara PAS dan Umno boleh membawa Malaysia menjadi seperti Afghanistan yang diperintah Taliban.
Jika keadaan itu berlaku katanya rakyat Malaysia akan menderita.
Sheikh Omar berkata sebagai pemimpin parti - tambahan pula selepas menjadi kerajaan - seseorang itu mesti berhati-hati membuat ulasan isu-isu semasa, sama ada melibatkan perkembangan politik kepartian atau urusan rakyat dan kerajaan.
Baca 'Label kerjasama Umno-PAS sebagai Taliban berniat jahat'
"Sebagai sebuah parti yang menjunjung semangat perlembagaan dan menjadikan demokrasi sebagai asas perjuangan, DAP harus mengambil pendekatan lebih sederhana dalam setiap pandangan
"DAP tidak menyokong mana-mana aliran mahu pun pandangan yang ekstrem sungguhpun sesetengah sikap parti politik itu sememangnya ekstrem.
"Dengan kata lain, ekstrem tidak boleh dilawan dengan hujah ekstrem. Dan kita sebagai pemimpin rakyat Malaysia harus menolak dari bersikap sedemikian," katanya.
Mengulas mengenai kerjasama rasmi di antara Umno dan PAS, Sheikh Omar berkata ia harus ditanggap secara waras.
Lebih penting katanya DAP tidak boleh terjebak dengan sikap yang sama dibawa kedua-dua parti tersebut, iaitu menyemai benih kebencian dan prasangka antara kaum.
"Dalam sistem di negara kita, konsep kerjasama Umno dan PAS tidak menyalahi demokrasi, dan kita tidak wajar sewenang-wenangnya menyamakan ia dengan politik Taliban," katanya.
Sheikh Omar yang juga exco Johor berkata keinginan Umno dan PAS mengadakan kerjasama politik merupakan hak mereka.
"Kita sebagai kerajaan harus menumpukan perhatian sepenuhnya untuk melaksanakan agenda pembaharuan kepada rakyat," katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/03/fahaman-ekstrem-tak-boleh-dilawan-hujah.html