Dulu Desak Haramkan Dong Zong Kini Ismail Sumbang Rm15 Juta
malaysiamerdeka.com
October 1, 2021 1:40 pm
Presiden Dong Zong, Tan Tai Kim berkata, Kementerian Kewangan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM15 juta untuk 63 sekolah persendirian Cina di seluruh negara.
Perkara ini disahkan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Mah Hang Soon.
Tan memberitahu Malaysiakini bahawa sekolah-sekolah swasta Cina baru-baru ini telah mula mendapat dana daripada kerajaan.
“Pada 23 September, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa peruntukan RM15 juta akan disediakan untuk 63 sekolah persendirian Cina,” kata Tan.
Dia menjangkakan peruntukan itu tepat pada masanya kerana sekolah-sekolah persendirian mengalami ketidakstabilan keadaan kewangan akibat pandemik Covid-19.
Dia juga mengucapkan terima kasih kepada Presiden MCA Wee Ka Siong dan Mah, yang juga timbalan presiden MCA, atas bantuan mereka dalam memperjuangkan peruntukan tersebut.
Wee adalah menteri pengangkutan di bawah pentadbiran kerajaan terkini, yang dipimpin oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Tan berkata, Wee menulis surat kepada Kementerian Kewangan untuk memohon dana khas untuk sekolah persendirian Cina pada 29 Januari 2021.
“Pada 19 April, Kementerian Kewangan membalas surat tersebut untuk memberitahu bahawa dana khas itu telah diluluskan.
“Pada 15 September, Wee dan Mah mengadakan pertemuan dengan Dong Zong untuk memberitahu kami bahawa dana tersebut akan disalurkan kepada sekolah-sekolah tersebut secepat mungkin,” kata Tan.
25 peratus belum membayar yuran pengajian
Tan menambah bahawa Dong Zong telah menyerahkan memorandum kepada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan, yang menjelaskan keadaan kewangan dan kesukaran pelajar semasa pandemik Covid-19.
“Sejak setahun lalu, sekolah-sekolah persendirian Cina berdepan dengan situasi yang mencabar akibat wabak tersebut. Sesetengah ibu bapa mereka kehilangan pekerjaan dan lebih daripada 25 peratus pelajar belum membayar yuran pengajian mereka.
“Sekolah-sekolah itu terpaksa mengumpul dana untuk membantu pelajar-pelajar, bahkan ada yang menggunakan wang simpanan mereka untuk bantu pelajar yang terjejas,” katanya.
Oleh itu, Tan berharap kerajaan akan terus memperuntukkan dana untuk sekolah persendirian Cina dalam Belanjawan 2022 yang akan dibentangkan di Parlimen November.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung DAP Nga Kor Ming berkata DAP dan Pakatan Harapan yang memperjuangkan peruntukan untuk sekolah-sekolah persendirian Cina.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, Nga berkata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan PH telah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk melibatkan kerajaan agar peruntukan itu dapat disalurkan.
“Setelah pelbagai usaha, Kementerian Kewangan akhirnya bersetuju untuk meluluskan peruntukan tersebut. Peruntukan RM15 juta itu akan disalurkan dengan segera,” kata Ahli Parlimen Teluk Intan itu.
Dia menambah PH akan terus meyakinkan kerajaan untuk menyalurkan peruntukan lain untuk sekolah rendah dan menengah Cina dan peruntukan RM6 juta untuk kolej swasta dalam Belanjawan 2022 yang akan datang.
Peruntukan disusun oleh Perikatan Nasional
Ketika dihubungi, Pejabat Menteri Kewangan meminta Malaysiakini mendapatkan penjelasan daripada Wee; sementara pejabat Lim pula enggan memberikan sebarang komen.
Malaysiakini kini sedang menunggu ulasan daripada Wee.
Malaysiakini juga melihat surat rasmi dari Kementerian Kewangan ke sekolah persendirian Cina, yang menyatakan bahawa kementerian telah meluluskan dana untuk sekolah berkenaan.
Tahun lalu, kerajaan Perikatan Nasional telah menghentikan dana untuk sekolah persendirian Cina dan tiga kolej swasta, iaitu Southern University College, New Era University College dan Han Chiang University College of Communication.
Di bawah pentadbiran PH, untuk pertama kalinya kerajaan persekutuan memperuntukkan RM12 juta untuk sekolah persendirian Cina dalam Belanjawan 2019, dan jumlahnya meningkat kepada RM15 juta pada tahun 2020. Ketiga-tiga kolej universiti swasta itu juga masing-masing menerima RM2 juta untuk dua tahun berturut-turut
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2021/10/dulu-desak-haramkan-dong-zong-kini.html