Tuntut Ismail Sabri Tunai Janji Dulu Ketika Pembangkang Pernah Gesa Haramkan Dong Zong
 Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
 		 			Ada pemimpin yang 'bermuka-muka', depan konon bela bangsa Melayu, tapi bila berkuasa terus berubah		  			 			
BANGI – Hampir dua tahun rakyat berdepan pandemik COVID-19 sehingga terpaksa  ‘berkurung’, hilang pekerjaan dan lebih malang perlu menghadap krisis  politik pemimpin berebut kuasa. 
Namun, selepas wabak beransur pulih, rakyat  disajikan pula dengan laporan sekolah persendirian Cina diberi peruntukan sebanyak RM15 juta oleh Kementerian Kewangan.
Walhal,  rakyat khususnya pribumi Melayu sedang mengalami kesengsaraan akibat  dasar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan begitu lama,  kata Naib Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Ustaz  Masridzi Sat.
Beliau kesal ramai usahawan Bumiputera bankrap, maahad tahfiz, sekolah pondok, sekolah agama pula  ditutup kerana tidak mampu beroperasi akibat PKP dan prosedur operasi standard (SOP).
“Tiba-tiba sekolah persendirian bangsa Cina yang dapat dulu peruntukan RM15 juta.
“Sepatutnya  tumpuan bantuan didahulukan kepada sektor ekonomi Bumiputera, terutama  peniaga kecil dan sederhana yang banyak menanggung kerugian, institusi  kebajikan dan agama, maahad tahfiz, sekolah pondok, madrasah, masjid,  surau, institusi rawatan pemulihan akhlak, warga emas, anak yatim dan  sebagainya.
“Mereka  yang sepatutnya diberikan peruntukan oleh kerajaan, namun sedihnya  sekolah lain pula yang diberikan bantuan,” katanya ketika dihubungi  Ismaweb.net, hari ini.
Terdahulu,  Presiden Dong Zong, Tan Tai Kim berkata, Kementerian Kewangan telah  meluluskan peruntukan berjumlah RM15 juta untuk 63 sekolah persendirian  Cina di seluruh negara.
Tan  berkata, Presiden MCA, Wee Ka Siong yang juga Menteri Pengangkutan  menulis surat kepada Kementerian Kewangan untuk memohon dana khas untuk  sekolah persendirian Cina pada 29 Januari 2021.
Pada 19 April, Kementerian Kewangan membalas surat tersebut untuk memberitahu bahawa dana khas itu telah diluluskan.
Kesal  dengan sikap berat sebelah itu, Ustaz Masridzi berkata, pihaknya sudah  banyak kali menggesa pengharaman pertubuhan Dong Zong yang rasis, bahkan  hingga ke peringkat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
“Kita dah  bantah bukan setakat lapor polis tapi hingga desak RoS haramkan Dong  Zong. Namun sikap pemimpin kita banyak bermuka-muka. Di depan orang  Melayu kata nak bela bangsa Melayu, tapi bila berkuasa cepat sahaja  berubah bagi muka kepada bangsa lain.
“Perangai  ini sejak PM terdahulu lagi. NGO Melayu termasuk PEMBELA nak jumpa pun  begitu susah nak dilayan tapi untuk NGO Cina, termasuk Hua Zong terus  bagi keistimewaan berjumpa.
“Perangai begini nampaknya bersambung lagi sehingga ke hari ini,” katanya.
Beliau  berkata, rakyat sudah jemu dan bosan dengan permainan orang politik  begini, sedangkan peluang telah diberi, kuasa juga sudah di tangan,  namun keluhan demi keluhan rakyat pribumi yang susah di bawah  seolah-olah tidak dilayan.
“Janganlah  sampai rakyat pribumi yang susah tidak dibantu akan terus menyumpah dan  menuntut janji hingga ke akhirat nanti. Janganlah sampai sumpah janji  dengan nama Allah waktu lantikan jawatan akan dipersoalkan di hadapan  Allah SWT nanti. Tunaikanlah janji.
“Berlaku  jujurlah dan jagalah prinsip serta integriti dalam perjuangan. Kuasa  yang ada hanya sementara. Jangan ulangi kesilapan dan kezaliman  pemimpin-pemimpin yang terdahulu. 
“Bak kata pepatah Melayu, menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya,” katanya.
Dua tahun  lalu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ketika ini  sudah menjawat jawatan Perdana Menteri -‘ pernah memberi peringatan  kepada Dong Zong bahawa mereka perlu ingat dan sedar di mana mereka  berpijak dan langit mana yang mereka sedang dijunjung..
Beliau di Dewan Rakyat menegaskan, negara ini adalah Tanah Melayu dan majoritinya masih Melayu Islam.
Ismail  juga amat bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr  Mahathir Mohamad bahawa Dong Zong ini merupakan satu pertubuhan yang  rasis dan justeru itu beliau mencabar kerajaan supaya mengharamkan Dong  Zong.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/10/tuntut-ismail-sabri-tunai-janji-dulu.html