Dua Parti Cina Benci Tapi Rindu
Isu pendidikan tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) kembali hangat. Kali ini ia berupa pertelingkahan sesama etnik Cina melalui dua parti politik mereka. Ia ekoran kenyataan satu parti yang menuduh satu parti lain.
Sehubungan itu, parti yang didakwa bukan sahaja tidak membantah, tetapi ikut menyokong sukatan pelajaran asal sebanyak enam halaman dan yang bersifat wajib, diselar yang satu lagi sebagai sanggup meletakkan SJKC dalam keadaan berbahaya.
Sebagai tindak balas kepada langkah yang akan membahayakan SJKC, parti yang menyelar mengakui telah menggerakkan etnik Cina untuk menentang bentuk pendidikan tulisan Jawi yang asal. Ia dengan bangganya mendabik dada bahawa kerananyalah pendidikan wajib yang asal berubah menjadi hanya pilihan dan dikurangkan menjadi separuh.
Parti yang menyelar terus mengecam parti yang diselar sebagai tidak berhati perut untuk bukan sahaja membebankan tetapi memaksa anak kecil mempelajari bahasa baharu, iaitu bahasa Jawi yang ditegaskan tidak ada kaitan dan berbeza dengan bahasa Melayu. Oleh itu, pendidikan yang mahu dilaksanakan itu tidak akan membantu anak Cina untuk lebih mengetahui dan menguasai bahasa Melayu.
Salah satu perkara penting tentang isu tulisan Jawi dalam wacana etnik Cina ialah istilah bahasa Jawi digunakan, baik oleh pemimpinnya mahupun kalangan etnik Cina. Ia bukan sahaja salah, ia telah mencetuskan kebimbangan yang langsung tidak berasas pada semua etnik Cina. Sehubungan itu, istilah salah ini bukan sahaja tidak diperbetul, ia terus diguna pakai termasuk oleh media berbahasa Cina.
Natijahnya di sini, bagaimanakah pemimpin dua parti politik ini tidak dapat membezakan konsep yang begitu asas, iaitu Jawi adalah sistem tulisan sahaja untuk menzahirkan bahasa Melayu? Dengan kata lain, Jawi adalah pengungkapan grafik kepada bahasa Melayu di samping tulisan Rumi. Ini bermakna bahasa Melayu dapat ikut dizahirkan melaluinya, sama ada dalam bentuk tulisan tangan, kaligrafi, percetakan dan lain-lain kini yang menggunakan teknologi semasa.
Ia bukan sesekali bahasa lain, iaitu sistem komunikasi berbeza daripada bahasa Melayu dengan pelbagai sisi tidak sama pada struktur dan kegunaannya, Oleh sebab Jawi disalahfahamkan sebagai bahasa baharu oleh pemimpin Cina kepada masyarakat mereka, sama ada secara sengaja atau sebaliknya kerana kejahilan mereka, ia telah meletuskan emosi sangat marah dan amat bimbang kepada satu dasar yang didakwa parti yang menyelar sebagai tidak adil, lalu menzalimi etnik Cina.
KECINAAN
Tidak dapat disangkal, tindakan parti yang menyelar berjaya menggemblengkan etnik Cina untuk membantah keras. Ini diakuinya secara terbuka bahawa melalui dorongannya, etnik Cina bangkit menentang sehingga perancangan asal terpaksa diubah. Ia dilakukan atas dasar mempertahan kepentingan Cina kerana pendidikan tulisan Jawi dipercayai akan menghakiskan kecinaan pada identiti SJKC khasnya dan kehidupan mereka amnya.
Dengan ini, parti yang menyelar ditanggap etnik Cina sebagai protagonis pembela kerana berjaya menggagalkan satu dasar pendidikan tidak baik kepada etnik Cina.
Walaupun berjaya mengubahnya menjadi hanya tiga halaman dan bersifat pilihan pula, ia masih mahu cuba ditukar lagi dengan mencadangkannya ditangguh pelaksanaannya.
Parti yang diselar pula ditanggap etnik Cina sebagai antagonis pengkhianat kerana menyokong pendidikan tulisan Jawi dalam bentuk asalnya, iaitu wajib dan dalam bentuk penuh sebanyak enam halaman.
Sebenarnya kedua-dua parti politik Cina ini bukan sahaja saling melengkapi antara satu sama lain, mereka juga bergerak seiring untuk membela dan melindungi kepentingan etnik Cina. Ini kerana untuk isu pendidikan tulisan Jawi ini, strategi parti yang menyelar adalah untuk dipandang baik oleh etnik Cina, justeru akan menyokongnya. Dalam pada itu, parti yang diselar akan dipandang baik oleh etnik Melayu kerana memperjuang entiti Melayu, lantas tidak dimusuhi lagi.
Dalam hal tanggapan positif etnik Cina dan Melayu kepada dua parti Cina yang kononnya berseteru sakan ini, ia sebenarnya bersifat komplementari, iaitu kedua-duanya saling menyaling untuk menjadi kuat dengan tapak sokongan lebih luas kepada kekuasaan politik Cina walaupun imej yang ditampilkan mereka sebagai bertentangan.
Sehubungan itu, dua parti ini yang kelihatan benci antara satu sama lain, sebenarnya rindu sesama mereka.
Semua pertelingkahan berkenaan tulisan Jawi ini boleh berupa satu komplot, yakni perancangan sulit untuk mencapai matlamat jelik melalui politik seiringan oleh dua parti ini bagi terus mengelirukan masyarakat Malaysia melalui beberapa strategi. Antaranya penggunaan istilah bahasa Jawi, perubahan tanggapan etnik Melayu kepada parti yang selama ini dilabel cauvinis serta rasis dan sokongan semula etnik Cina kepada parti yang kini hidup segan mati tidak mahu.
Sehubungan pertelingkahan tentang pendidikan tulisan Jawi antara dua parti politik Cina ini, kita seharusnya perlu sangat-sangat berwaspada kepada keinginan mutlak etnik Cina yang selain mahu memastikan kelangsungan politik mereka untuk bukan sahaja mantap kini dan lestari selama-lamanya, malah usaha mati-matian untuk mengekalkan bahasa dan budaya mereka setotok-totoknya di negara ini.
Oleh: Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://tungkaranhati.blogspot.com/2021/05/dua-parti-cina-benci-tapi-rindu.html