Dpmm Fokus Ekonomi Anggap Krisis Kepemimpinan Selesai
KUANTAN - Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) mahu memberi fokus terhadap agenda dan usaha menggerakkan ekonomi rakyat terutama ahlinya dengan menganggap krisis barisan kepemimpinan yang berlaku dalam pertubuhan berkenaan sejak hujung tahun lalu sudah selesai.
Presiden DPMM, Rizal Faris Mohideen Abdul Kader berkata, isu melibatkan tindakan 18 bekas ahlinya termasuk timbalan presiden yang didakwa menggunakan nama DPMM secara tidak sah jika berterusan hanya membantutkan usaha merangka strategi berdepan dengan cabaran ekonomi baharu.
Sebab itu, katanya, barisan kepemimpinan pertubuhan berkenaan diketuainya yang menerima sokongan daripada semua perwakilan pada mesyuarat agung tahunan (AGM) Sabtu lalu mahu memandang ke hadapan dengan memberi tumpuan termasuk mengenal pasti masalah ekonomi yang timbul dan langkah-langkah menanganinya bagi membantu rakyat.
“Dalam berdepan cabaran ekonomi semasa, DPMM melihat antara langkah yang boleh diambil ialah semua pihak termasuk ahli politik dan pakar ekonomi bergabung seterusnya mengusahakan inisiatif yang boleh membantu rakyat di peringkat akar umbi.
“Maksudnya, usaha menggerakkan ekonomi dibuat menerusi platform tersebut dengan melihat peranan yang boleh masing-masing mainkan untuk membantu mencapai matlamat Kemakmuran Bersama yang disebut oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad,” katanya ketika ditemui pada Majlis Mesra Aidilfitri DPMM negeri di Serambi Teruntum di sini hari ini.
Yang hadir sama Yang Dipertua DPMM negeri, Wan Alhamdulillah Wan Abd. Rahman.
Sebelum ini, Rizal Faris dilaporkan berkata, terdapat 18 ahli yang terlucut jawatannya secara automatik termasuk jawatan timbalan presiden DPMM sejak November tahun lalu.
Pada Khamis lepas, beliau dalam satu sidang akhbar menyifatkan tindakan 18 bekas ahlinya yang mengadakan AGM DPMM secara tidak sah di sisi undang-undang pertubuhan Malaysia dan perlembagaan DPMM sebagai melakukan penipuan besar serta menyebarkan berita palsu.
Sabtu lalu, semua 83 perwakilan DPMM yang menghadiri AGM dilaporkan sebulat suara bersetuju untuk mengekalkan Rizal Faris sebagai Presiden mereka.
Menurut Rizal Faris, isu melibatkan 18 bekas ahli itu dianggap sudah selesai namun akan melihat tindakan yang boleh diambil dari segi perundangan kerana berpandangan kumpulan tersebut melakukan jenayah dengan menipu dan menyebarkan berita palsu.
Berhubung cawangan DPMM di Perlis, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Terengganu dan Putrajaya, beliau berkata, pihaknya akan melantik barisan pengurusan baharu dalam tempoh sebulan bagi membolehkan pertubuhan itu terus berfungsi serta menjalankan tugasnya seperti biasa. #sumberhttp://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://pahangdaily.blogspot.com/2019/07/dpmm-fokus-ekonomi-anggap-krisis.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+blogspot%2FLWFdy+%28Pahang+Daily+Online%29