Cuba Gulingkan Jong Un Jeneral Didakwa Jadi Santapan Ikan Piranha Sebagai Hukuman
Kim Jong Un dikenali sebagai seorang diktator yang sangat kejam dan akan melakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa. Dia juga pernah membunuh bapa saudaranya sendiri kerana hal politik.
Bukan itu sahaja, abangnya sendiri, Kim Jong Nam juga dibunuh demi survival politik diktatornya kerana mengesyaki abangnya menyalurkan maklumat kepada badan perisikan Amerika.
Media antarabangsa telah melaporkan pembunuhan seorang jeneral yang dihukum dengan cara dijadikan santapan kepada piranha peliharaan Jong Un. Cara ini dikatakan berinspirasikan filem James Bond diterbitkan pada tahun 1977.
Mangsa yang dituduh berkomplot untuk menggulingkan Jong Un dipotong pada bahagian torso sebelum dicampak ke dalam akuarium dipenuhi piranha yang dibawa dari Brazil.
Sementara itu baru-baru ini, seorang pelajar Australia di Universiti Kim Il Sung, Alek Sigley, 29 dilaporkan hilang setelah memberi like kepada komen gurauan rakannya yang mengatakan Alek berkawan dengan ahli CIA.
Kredit: Metro.co.uk
Pelajar Sarjana Sastera Korea sejak April 2018 itu disyaki ditahan dua minggu selepas menyukai komen berkenaan. Dia gagal dihubungi keluarga dan rakan-rakan sejak Selasa lalu, menimbulkan kekhuatiran orang sekelilingnya.
Alek dikatakan turut memberi komen tentang program nuklear Korea Utara dan berkongsi poster yang mengandungi propaganda. Walaubagaimanapun, keberadaannya masih belum dipastikan samada dia ditahan di DPRK ataupun tidak.
Alek dikatakan mempunyai syarikat pelancongan bagi pelajar-pelajar antarabangsa di samping menulis blog tentang kehidupannya di negara itu. Dalam blog tersebut, dia menulis “Disebabkan negara tempat saya belajar dan bekerja ini, saya secara umumnya akan mengelakkan topik-topik sensitif politik di dalam blog ini.”
Kehilangan Alek menimbulkan kegusaran andai dia bakal berdepan hukuman yang sama seperti Otto Warmbier, pelajar Amerika yang ditahan di Korea Utara pada 2017. Otto, 22 ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pyongyang kerana disyaki melanggar peraturan negara berkenaan ketika ingin pulang ke negaranya.
Kredit: Metro.co.uk
Ketika sesi pendakwaan yang ditayangkan di televisyen negara itu, Otto mengaku mencuri poster propaganda ketika menginap di salah sebuah hotel di sana. Akibatnya, dia dihukum untuk melakukan kerja berat selama 15 tahun. Namun, 17 bulan kemudian dia dihantar pulang ke Amerika Syarikat dalam keadaan koma.
Pegawai Korea Utara berkata Otto mengalami botulisme tidak lama selepas dimasukkan ke penjara. Walaubagaimanapun, ujian perubatan dijalankan ke atas Otto tidak menemui sebarang tanda botulisme mahupun penderaan fizikal.
Otto meninggal enam hari selepas tiba di AS setelah ibubapanya meminta pihak hospital membuang tiub makanannya.
Jong Un terkenal dengan kekejamannya menghukum ‘pesalah’ dengan cara yang tidak masuk akal. Dia juga dikatakan pernah membunuh pesalah dengan meletakkan mereka ke kandang harimau, pancung, membakar hidup-hidup dan meletupkan mereka dengan peluru anti-kereta kebal.
Sumber: Metro.co.uk
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2019/06/29/cuba-gulingkan-jong-un-jeneral-didakwa-jadi-santapan-ikan-piranha-sebagai-hukuman/