Covid 19 Malaysia Sedang Alami Perubahan Ekonomi Total Ini 8 Langkah Persediaan
                                                                        Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari                                                                                                 

                                COVID-19 menjejaskan -kesihatan- ekonomi negara melalui tiga saluran utama. - Foto BERNAMA                            
RAMAI mungkin tidak menjangkakan krisis wabak  COVID-19 telah membawa “bencana” yang lebih besar kepada ekonomi  Malaysia berbanding dengan krisis-krisis lain seperti perang dagangan  China-Amerika Syarikat.
 COVID-19 menjejaskan “kesihatan” ekonomi negara melalui tiga saluran utama.
 Pertama, sektor perlancongan dan sektor-sektor berkaitan terjejas  akibat sekatan kemasukkan pelancong asing dan kawalan pergerakkan yang  menjejaskan aktiviti pelancongan domestik.
 Kedua, sektor-sektor  ekonomi dalam negara terjejas akibat kesan rantaian bekalan global.  Contohnya, pengeluaran sektor pembuatan automobil dan topeng muka  terjejas kerana kekurangan pengeluaran bahan mentah di negara-negara  terjejas akibat COVID-19 seperti China. Sektor pengangkutan udara juga  terjejas kerana syarikat penerbangan terpaksa menghadkan atau  memberhentikan seketika operasi penerbangan segmen luar negara.                                                                                                                    
Ketiga, gunatenaga perniagaan terjejas akibat daripada pekerja-pekerja  yang terkena jangkitan dan juga arahan sementara kawalan pergerakkan  penduduk. Akibatnya, pengeluaran barangan dan perkhidmatan akan  berkurangan.
 Sejauh mana negara berjaya pulih daripada krisis  ekonomi akibat COVID-19 bergantung sebahagian besarnya oleh peranan yang  perlu dimainkan oleh isirumah dan pemain industri.
                                                                                                                      Berikut adalah beberapa peranan proaktif yang boleh dimainkan oleh isi  rumah dan pemain industri di dalam membantu pihak kerajaan menguruskan  ekonomi semasa krisis.
 Pemain industri
  1. Membantu menyalurkan maklumat tepat berkenaan dengan  aktiviti-aktiviti pengeluaran dan perniagaan mereka. Contohnya semasa  tempoh PKP, pengeluaran bekalan makanan bukan sahaja perlu mengcukupi  malah tiada manipulasi harga berlaku di pasaran. Untuk memastikan  perkara ini terjamin, syarikat-syarikat atau pertubuhan perniagaan perlu  melaporkan data-data dan permasalahan yang tepat supaya tindakan segera  boleh diambil.
 2. Hindarkan mengambil kesempatan perniagaan ke  atas kelemahan sistem perlaksanaan pakej rangsangan. Dana bantuan  kerajaan adalah terhad. Jika syarikat-syarikat masih boleh bertahan dan  mempunyai aliran tunai yang kukuh, maka berilah peluang kepada  syarikat-syarikat lain yang lebih memerlukan. Contoh lain adalah  pemilik-pemilik rumah sewa, kedai sewa dan tanah sewa perlulah  menangguhkan bayaran sewaan (atau berikan kadar diskaun) seperti mana  manfaat moratorium yang mereka perolehi.
 3. Menyusun semula  strategi perniagaan. Syarikat-syarikat perlu mengambil peluang untuk  menilai dan menyusun semula strategi pemasaran mereka. Contohnya,  pemasaran perniagaan makanan yang berasaskan ejen jualan dijangka akan  terjejas di dalam tempoh PKP. Dalam situasi krisis ini, kaedah pemasaran  “tradisional” iaitu pemasaran di pasararaya dan kedai mungkin lebih  menjamin kelangsungan perniagaan.
 4. Membantu reformasi  perniagaan dan ekonomi. Ini adalah masa terbaik untuk melaksanakan  reformasi perniagaan dan ekonomi. Contoh mudah seperti berikut. Salah  satu permasalahan di sektor pertanian adalah peranan orang tengah yang  didapati mengekploitasi pasaran. Harga yang dikenakan kepada pasaran  lebih mahal berbanding dengan harga yang dibayar kepada petani atau  pengusaha.
Dengan teknologi digital yang sedia ada, petani atau  pengusaha boleh mengubah rantaian bekalan ini dengan terus memasarkan  barangan mereka kepada isi rumah (menjalankan penghantaran terus ke  rumah melalui aplikasi digital).
 5. Penilaian kepada sistem  pekerjaan yang lebih bersifat fleksible. Di negara-negara maju, amalan  sistem pekerjaan yang fleksible telah dilaksanakan. Contohnya, pekerja  boleh bekerja beberapa jam sehari, beberapa hari seminggu dan amalan  bekerja daripada rumah. Semasa krisis Covid-19 dan tempoh PKP adalah  masa terbaik untuk sektor perniagaan menilai sejauh mana sistem  pekerjaan fleksible ini boleh membantu mengurangkan kos dan dalam masa  yang sama dapat mengekalkan keuntungan.
 Isi rumah
 1. Penilaian semula gelagat perbelanjaan bulanan isirumah. Dalam tempoh  PKP ini, isirumah tertumpu kepada perbelanjaan berbentuk keperluan  sahaja selain komitmen pembayaran hutang bulanan. Kemungkinan bebanan  kewangan isirumah sebelum ini dipengaruhi sebahagian besarnya oleh  perbelanjaan kepada bukan keperluan yang terarah kepada gaya hidup.  Sepatutnya tempoh pasca PKP akan lebih mendidik isirumah lebih rasional  di dalam berbelanja.
 2. Mengoptimumkan kelebihan teknologi  digital. Dalam tempoh PKP dan krisis Covid-19, isirumah boleh  mengoptimumkan teknologi digital di dalam mempelbagai sumber pendapatan.  Krisis ini memberi pengajaran bahawa kebergantungan kepada hanya satu  jenis sumber pendapatan mungkin tidak kukuh. Membantu isirumah lain  untuk mendapatkan barangan secara digital adalah antara aktiviti  perniagaan yang boleh dilakukan.
 3. Jangan lakukan pembelian  panik. Lakukan perbelanjaan seperti kebiasaan dan kurang berbelanja  kepada barang bukan bersifat keperluan. Pembelian panik boleh  menyebabkan herotan pasaran yang akan memberi impak negatif kepada  ekonomi. Bekalan barangan akan kekurangan yang menyebabkan harga  cenderung untuk meningkat.  
 * Prof. Madya.  Dr. Mohd Yusof Saari adalah pemegang ijazah PhD daripada University of  Groningen, the Netherlands. Beliau merupakan pensyarah di Sekolah  Perniagaan dan Ekonomi, UPM.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/03/covid-19-malaysia-sedang-alami.html