Covid 19 Batasi Sidang Parlimen 18 Mei
 		 			Siti Hafidah
220 Ahli Parlimen boleh hadir persidangan Dewan Rakyat esok									  	 	   

		 			 			KUALA LUMPUR – Seramai 220 daripada 222 Ahli Parlimen disahkan negatif COVID-19  sekali gus membolehkan mereka menghadiri persidangan Dewan Rakyat esok ( Isnin ).
Dua lagi ahli Parlimen tidak menjalani  ujian saringan itu kerana sedang menjalani kuarantin disebabkan dikesan  sebagai kontak rapat dengan kes positif COVID-19.
Seramai 950 orang terdiri daripada Ahli  Parlimen, Senator, warga kerja Parlimen serta petugas media yang  dijadual berada di bangunan Parlimen ketika persidangan sehari penggal  ketiga Parlimen ke-14 menjalani ujian saringan COVID-19 secara  berperingkat mulai 13 Mei bagi memastikan mereka yang hadir bebas wabak  itu.
Persidangan Parlimen kali ini yang  berlangsung di tengah-tengah negara berjuang memerangi wabak yang  membawa maut itu, diadakan dengan peraturan keselamatan kesihatan yang  ketat sebagai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.
Bagi memastikan persekitaran bangunan  Parlimen bersih daripada COVID-19, Jabatan Bomba dan Penyelamat  menjalankan proses nyahkuman di kawasan bangunan utama Parlimen hari ini  dan selepas persidangan selesai.
Pertemuan 222 Ahli Parlimen bagi  Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen ke-14 pada asalnya dijadual  pada 9 Mac sehingga 16 April lepas, namun ditangguhkan kepada  persidangan sehari pada 18 Mei berikutan penularan wabak COVID-19 yang  menyebabkan kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan.
Persidangan sehari Dewan Rakyat itu  selari dengan Perkara 55 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan  bahawa dewan hendaklah bersidang tidak lebih dari enam bulan selepas  sidang terakhirnya.
Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen  ke-14 ditangguh pada 5 Disember tahun lepas selepas 36 hari bersidang  sejak 7 Oktober 2019.
Urusan mesyuarat Dewan Rakyat itu juga  dipinda dengan hanya bagi urusan Titah Diraja Istiadat Pembukaan Penggal  Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin  Al-Mustafa Billah Shah disebabkan penularan wabak COVID-19 dalam negara  yang belum reda sepenuhnya.
“Upacara istiadat pembukaan kali ini  sedikit ringkas berbanding sebelum ini kerana mengambil kira prosedur  operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan mengenai COVID-19… namun  adat istiadatnya masih kekal,“ kata Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad  Ariff Md Yusof.
Berdasarkan takwim persidangan Dewan  Rakyat, Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga yang akan berlangsung selama 25  hari bermula 13 Julai hingga 27 Ogos ini bakal melibatkan Usul  Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja, rang undang-undang dan  urusan kerajaan yang lain serta Pembentangan Rancangan Malaysia Kedua  Belas (RMK-12).
Sementara itu Ketua Whip PKR, Datuk  Johari Abdul berkata, semua Ahli Parlimen PKR telah menjalani ujian  saringan COVID-19 pada 14 dan 15 Mei di kawasan masing-masing dan mereka  yang berada di Lembah Klang melakukan ujian itu di Bangunan Parlimen.
Johari berkata, sebelum ini pihak  Parlimen telah memaklumkan kepada semua Ahli Parlimen mengenai kepatuhan  kepada SOP termasuk diwajibkan mengimbas suhu badan sebelum memasuki  bangunan Parlimen.
Menteri Pembangunan Usahawan dan  Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar pula berkata, beliau  melalui proses pemeriksaan yang ketat di lapangan terbang sebelum  menaiki pesawat dari Kuching ke Kuala Lumpur serta mengamalkan  penjarakan sosial di dalam pesawat.
“Saya juga telah melakukan tiga kali  ujian saringan COVID-19…ujian saringan pertama kali dilakukan di pejabat  Perdana Menteri, kedua di Kementerian Pembangunan Usahawan dan  Kooperasi dan ketiga di Parlimen. Ini semua untuk langkah berjaga-jaga,”  katanya. – Bernama 			 		
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/05/covid-19-batasi-sidang-parlimen-18-mei.html