Chini Masa Terbaik Pru 15 Guna Lambang Bn
 ' Belang Bertempat' 	 

SOAL “goodwill” dari Covid-19 sudah habis dah.
Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai Barisan Nasional (UMNO, MCA  dan MIC), PAS, Bersatu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta beberapa lagi  parti tak boleh tunggu lama lagi.
Mereka mesti berkejar untuk supaya disegerakan pilihan raya umum  mengejut (snap election). Pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) inilah masa  terbaiknya – selepas UMNO `sapu bersih’ kedua-dua lawannya dari calon  bebas di Chini hari ini.
Seluruh dunia sudah teruk akibat Covid-19. Takkanlah Malaysia boleh  terlepas dari bahana pasca pandemik ini – kesan ekonomi, inflasinya,  pengangguran dan tentu sekali `suhu panas’ rakyat.
Kemenangan besar BN dalam pilihan raya kecil (PRK) Chini bukan kecil  impaknya. Lambang BN masih diterima oleh pengundi. Lebih dikenali  berbanding lambang atau logo `baharu’ calon-calon bebas.
Majoriti lebih 12,500 undi diraih calonnya, Mohd Sharim Md Zain sudah  terang lagi bersuluh inilah lambang yang seharusnya digunakan oleh PN  untuk merencanakan pemilikan mandat rakyat dalam PRU-15 nanti.
Bak kata Tok Mat Hasan dari UMNO: “Kita kena ikut pepatan orang putih  you must strike while the iron is hot. Walaupun kita tahu kerajaan PN  terutama YAB PM Tan Sri Muhyiddin popularitinya tinggi. Tapi populariti  tidak kekal lama.
“Orang (Pakatan Harapan) tengah kelam kabut ni. Inilah masanya untuk  kita mendapat mandat daripada rakyat. Jangan tunggu musuh sudah kuat.
“Masa musuh tengah lemah itulah masanya mengambil kesempatan. Besok  dia dah kuat. Masalah kita. Tun Mahathir dan Anwar dah cium-cium mulut  susah kita. Jangan tunggu dia cium mulut.”
Isu penggunaan lambang/logo parti mana yang harus digunakan oleh PN untuk berdepan cabaran PH penting.
Di Sarawak, GPS sendiri masih teraba-raba dalam memperkenalkan  identiti mereka. Logo GPS berlambangkan Burung Kenyalang siapa yang  kenal berbanding BN Sarawak?
Dikatakan, lambang Kenyalang tak berapa laku digunakan Parti Pesaka  Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti  Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) dalam  menghadapi pilihan raya negeri ke-12 yang akan berlangsung sebelum Mei  2021.
Dalil lima pilihan raya kecil (PRK) terakhir yang dimenangi oleh MN  (UMNO-PAS) di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai dan  Kimanis sudah terbukti BN tidak sahaja mengatasi lawannya, tetapi lebih  dari itu, menang bergaya.
Kemenangan BN di PRK Tanjung Piai pada 16 November 2019 contohnya  digambarkan bukan sahaja mencerrminkan kekuatan MN semata-mata, tetapi  bukti MN telah terlajak laris diterima oleh masyarakat semua kaum.
Calon BN dari MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng menang besar dengan  majoriti 15,086 undi berbanding kekalahannya berjumlah 524 undi dalam  PRU-14.
Walaupun Muhyiddin ada approval rating sekitar 78 peratus dari  keupayaan membendung penularan Covid-19, penyokongnya atau ahli Bersatu  tak boleh `berkepak’.
Pengiktirafan buat presiden Bersatu itu untuk dirinya (Muhyiddin)  sahaja. Tetapi bukan untuk keseluruhan Bersatu. Tidak ada apa yang  menakjubkan untuk parti.
Pertengahan tahun 2021 mahu tak mahu kita harus akui semua negara  termasuk Malaysia akan berhadapan cabaran ekonomi yang kian memburuk.
Semasa UMNO-PAS menaruh keyakinan tinggi untuk mengembalikan mandat  rakyat inilah PN harus menggunakan peluang untuk mencipta kemenangan  dalam PRU-15.
Kajian empirikal menunjukkan jumlah undi gabungan UMNO-Pas yang bakal  diperoleh. Persaingan di kerusi Parlimen Pokok Sena kawasan Datuk  Mahfuz Omar misalnya, berdasarkan keputusan semasa PRU-14, cantuman undi  diraih calon UMNO dan PAS mencapai 41,791 undi berbanding PH, 28,959  undi.
Di Titiwangsa, cantuman undi UMNO-Pas memperoleh 26,546 undi berbanding PH, 23,840. Majoriti undi diraih MN adalah 2,706.
Senario hari ini juga sudah berubah. Dulu orang UMNO ada yang tidak  keluar mengundi. Jangan dilupakan pengundi 21 tahun ke atas yang pertama  kali mengundi. Kohort 1.75 juta setiap tahun. Hari ini terdapat 3.5  juta pengundi baharu – 21 tahun ke atas.
Dengan pakej Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN)  berjumlah RM250 bilion yang memberi manfaat kepada semua, Belang yakin  pengundi muda 21 tahun ke atas yang dikatakan anti establisment kini  lebih selesa dengan kerajaan.
PN tidak ada masa lagi. PRU-15 mesti dilakukan sebelum November ini.
Ya, ketika masih ada kesegaran rakyat terhadap kerajaan mesra rakyat ketika ini.-SM
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/07/chini-masa-terbaik-pru-15-guna-lambang.html