Cara Bingbing Melaka Gamit Pelawat
Satu komentar dalam sebuah laman web pada Jun lalu mengingatkan kerajaan Melaka risiko yang diambilnya dengan melantik seorang artis antarabangsa kelahiran China, Fan Bingbing, selaku duta bagi Tahun Melawat Melaka 2024 disebabkan kontroversi yang melingkarinya.
Tidak mahu ketinggalan dalam menghangatkan lagi isu itu, PAS Melaka yang membantah tindakan berkenaan yang didakwanya tidak sesuai dan tidak menggambarkan imej ‘orang Melaka’, berasakan pelantikan individu dari luar negara mempromosikan program rasmi memperkenalkan Melaka kepada dunia luar sebagai sesuatu yang janggal dan pelik.
Tambahan pula komentar itu mendakwa mewakili pandangan ramai yang khuatir dengan reputasi Bingbing yang terbabit dengan skandal mengelakkan cukai pada 2018 — dia kemudian diarah membayar tunggakan cukai dan denda berjumlah kira-kira RM573.6 juta — hingga mengakibatkannya larangan berlakon atau menerbitkan filem di China.
Gara-garanya juga, pelakon berusia 42 tahun itu hilang dari pandangan khalayak selama beberapa bulan pada 2018 sebelum akhirnya tampil semula dengan memohon maaf secara terbuka atas kesalahannya.
Pengkritik tempatan pula mempertikaikan kenapa perlunya memilih seorang selebriti asing yang sudah tercemar reputasinya berbanding ramai lagi artis tempatan termasuk yang berasal dari Melaka yang turut layak dipertimbangkan untuk peranan itu.
Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh bagaimanapun memilih untuk menurutkan kata hati sendiri. Ia bukannya tanpa alasan kukuh dan rujukan secukupnya. Bukannya beliau tidak tahu risiko yang diambilnya tapi keyakinannya kuat ketika itu bahawa Bingbing akan menjadi ‘pelaburan’ menguntungkan dalam menarik pelancong China ke Melaka.
Bingbing yang mempunyai 63 juta pengikut di Weibo (platform media sosial di China mirip X) dan 4.1 juta pengikut Instagram lazimnya ditonjolkan sebagai wajah kebudayaan China di peringkat global.
Selain filem China, beliau juga pernah membintangi filem adiwira Hollywood, ‘X-Men: Days of Future Past’ selain filem Perancis dan Korea Selatan dan turut dinamakan sebagai aktres yang mendapat bayaran tertinggi dalam senarai selebriti China oleh Forbes.
Pada 2017, Bingbing menghiasi kulit majalah Time dan turut dinamakan sebagai antara 100 Orang Paling Berpengaruh — sesuatu yang dilihat Rauf menepati kriterianya dalam menarik satu juta pelancong ke Melaka.
Sepanjang 2023, Malaysia menerima kedatangan kira-kira 20 juta pelancong, dengan hampir 1.5 juta orang dari China. Daripada 8.63 juta pengunjung ke Melaka sepanjang tahun berkenaan pula, cuma 204,818 orang adalah dari China — kebanyakan mereka pula adalah pelawat harian yang tidak bermalam di bandaraya bersejarah itu.
“Saya telah mengikuti dengan teliti cadangan warga maya dan yakin Fan Bingbing dapat membantu menarik pelancong (China) ke Melaka.
Lagipun kerajaan negeri tidak perlu mengeluarkan biaya besar tapi hanya menguruskan logistik. Sebuah syarikat tempatan menaja tiket penerbangannya ke sini, katanya selepas melancarkan Pertunjukan Perahu Naga Melaka 2024 di Banda Hilir pada 8 Jun lalu.
“Saya dimaklumkan Fan Bingbing berminat membantu memajukan pelancongan Melaka. Pengurusnya (Jersey Chong) seorang rakyat Malaysia menawarkan aktres itu untuk membantu mempromosikan negeri ini dalam kunjungannya ke Melaka. Kerajaan negeri berbesar hati menerima tawarannya.
Fan Bingbing seorang selebriti yang sangat berpengaruh, ke mana saja dia pergi peminatnya akan mengikutinya, tambah Rauf.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Abdul Razak Abdul Rahman kemudian memberitahu satu sidang DUN Melaka bahawa kos tajaan melantik Bingbing sebagai duta pelancongan mencecah RM498,347 — hanya RM77,850 atau 16% daripada jumlah keseluruhan kos itu ditanggung kerajaan negeri manakala selebihnya oleh beberapa syarikat swasta.
Satu daripada pulangan yang kita nampak secara tak langsung ialah dari segi carian menerusi media sosialnya, Fan Bingbing ada 26 juta pengikut. Hampir 1.2 bilion carian mengenai Fan Bingbing sepanjang tiga hari beliau berada di Melaka (dari 14-16 Jun) dan carian untuk Melaka sahaja mencecah 445 juta. Ini satu pulangan yang tinggi kepada kerajaan negeri dengan kos yang rendah, katanya.
Daripada kemunculan pertamanya dengan berpakaian kebaya Nyonya dalam program Tahun Melawat Melaka 2024 pada 14 Jun itu, Melaka dilaporkan ‘trending’ di media sosial China. Menurut Chong, Melaka mengundang lebih 320 juta carian pada 14 dan 15 Jun berdasarkan statistik daripada WeChat China.
Pada Sabtu lalu dilaporkan bahawa Melaka mencatat peningkatan jumlah ketibaan pelancong mengatasi sasaran awalnya dengan mencecah hampir 10 juta orang pada penghujung bulan lalu berbanding matlamat 8.7 juta pelancong sepanjang tahun ini.
Kata Rauf, 80% daripada mereka adalah pelancong tempatan sambil negeri itu akan terus mempromosikan produk pelancongannya seiring dengan pemilihannya sebagai tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia pada September 2025.
Channel News Asia (CNA) yang berpangkalan di Singapura pula melaporkan pengaruh besar Bingbing berupaya menarik sejumlah besar pelancong khususnya dari China yang tertarik untuk mengunjungi Melaka selepas melihat foto-foto selebriti itu di media sosial.
Saya melihat foto-foto berkenaan termasuk yang menunjukkan dia mengenakan satu busana Nyonya, kata seorang pelancong China yang hanya dikenali sebagai Yiyi.
Kami langsung tidak menjangkakan tarikan besar (ke Melaka) yang dapat didatangkan oleh Fan Bingbing, kata Annie Lee dari Travel World kepada CNA, merujuk kepada peningkatan 20-30% dalam perniagaan kepada syarikat pelancongan tempatan sejak promosi oleh artis antarabangsa itu.
Dibandingkan bantahan Ketua Penerangan PAS Melaka Wan Zahidi Wan Ismail pada 1 Jun lalu bahawa Melaka bukan pusat hiburan dan perfileman seperti Hollywood dan Hong Kong dan sepatutnya mempertahankan empayar Islam yang menjadi pusat dakwah dan keilmuan Islam suatu waktu dahulu, rasanya Rauf tidak perlu menjawab apa-apa.
Statistik dan laporan mengenai peningkatan kedatangan pelancong sejak Bingbing mempromosikan Melaka, ada untuk untuk tatapan semua. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2024/10/cara-bingbing-melaka-gamit-pelawat.html