Calon Warisan Akui Punya Masalah Dengan Media Sosial
Nizam Zain
Calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Karim Bujang bercakap kepada media selepas sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.176 Kimanis di Kampung Kelatuan, Kimanis, Sabah. foto FAREEZ FADZIL
KIMANIS – Calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang mengakui mempunyai masalah dengan media sosial yang sering mensensasikan isu tidak relevan khususnya melibatkan dirinya sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.
Terbaru katanya, rakaman video menunjukkan beliau dimarahi oleh penyokong Warisan sebenarnya diputarbelitkan pengamal media sosial sedangkan Karim dalam perjalanan untuk menemui ibunya.
“Media sosial ini saya ada masalah sedikit pasal mereka asyik mensensasikan isu-isu yang kadang-kala tidak berapa relevan, macam diambil video seolah-olah saya dimarahi.
“Orang yang marah itu kebetulan saya berada di situ, tapi diputar belit mengatakan calon Warisan dimarahi oleh penyokong.
“Kejadian itu tidak berlaku sedemikian, kita mahu melawat rumah ibu kepada orang yang marah itu, rupanya kemarahan dipendam selama ini kerana dia disuruh kerja, tapi gaji tidak dibayar,” katanya pada sidang media dalam lawatannya ke PDM Batu Enam, di sini, hari ini.
Semalam, ketika kejadian, Karim sedang berkempen dan melawat salah seorang kenalannya yang sedang sakit di kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandar Membakut.
Sementara itu, Karim melahirkan rasa kesal apabila beliau dituduh memiliki sijil palsu dan perkara itu telah disebarkan di media sosial hingga menimbulkan persepsi negatif kepada dirinya.
“Ada media massa mengaitkan saya miliki sijil palsu, mana ada sijil palsu. Saya belajar ke United Kingdom atas tajaan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SETCO).
“Saya diberi cuti belajar dengan gaji penuh pada 1977 hingga 1978, saya belajar di situ sepenuh masa, memang ada salinan sijil itu.
“Saya minta janganlah kita bergaduh dengan perkara-perkara tidak betul contohnya menuduh saya memalsukan sijil,” tegasnya.
Katanya, apabila perkara itu ditularkan, anak-anak Karim segera memperbetulkan tuduhan tidak berasas itu dan membuktikan bahawa beliau bukan seorang penipu dan memalsukan diploma.
“Mereka berkomunikasi dengan universiti itu dengan menghantarkan salinan sijil saya itu
“Tapi kata universiti atau kolej tempat saya belajar itu, katanya mereka hanya ada rekod secara hardcopy sampai 1994, jadi tahun awal sebelum itu ia sudah direkodkan dalam bentuk salinan digital (Softcopy).
“Tapi saya tak peduli itu, bagi saya itu bukan isu besar, patut mereka tanya di mana sebenarnya berlaku pembelian pemalsuan sijil-sijil di negara ini,” katanya.
Karim juga tidak pernah merahsiakan latar belakang akademiknya kepada umum, apatah lagi kepada pengundi-pengundi dalam Parlimen Kimanis.
“Sistem di United Kingdom itu pada 40 tahun lepas, saya tak tahu sehingga ke hari ini, ada yang dipanggil Ordinary National Diploma (OND).
“Saya ada Tingkatan 6 membolehkan saya untuk mengambil HND. Saya hanya diberi 2 tahun cuti belajar, kalau nak ambil ijazah, saya memerlukan sekurang-kurangnya 3 tahun setengah.
“Saya kalau tak diberi cuti itu memang tak mampu untuk belajar ke luar negara kerana ibu bapa saya memang orang susah dan mereka perlu bantuan daripada saya sebagai anak pada ketika itu,” katanya. – MalaysiaGazette
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/01/calon-warisan-akui-punya-masalah-dengan.html