Cabaran Keperlembagaan Terhadap Sekolah Vernakular Dan Penggunaan Bahasa Pengantar Selain Bahasa Kebangsaan
Mohamed Haniff Khatri Abdulla
Harap dapat diselesaikan di peringkat lanjut medan mahkamah
1. PADA 16.12.2019 firma guaman Amelda Fuad Abi & Adil telah memfailkan satu tindakan guaman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi pihak dua pertubuhan NGO, iaitu Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) yang memohan untuk penganugerahan PENGISYTIHARAN / PERINTAH antara lain bahawa :
(a) kewujudan sekolah-sekolah vernakular yang menggunakan bahasa pengantar Cina dan Tamil sebagai melanggar Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, yang sepatutnya menjadi bahasa pengantar di kesemua sekolah,
(b) peruntukan Seksyen 2, 18 dan 27 di bawah Akta Pendidikan 1996 yang kononnya membolehkan penubuhan sekolah vernakular, sebagai satu peruntukan Akta yang tidak sah di sisi Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan, dan
(c) Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Malaysia wajib mengambil langkah-langkah perlu untuk memastikan sekolah vernakular mematuhi Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh enam tahun dari tarikh keputusan Mahkamah.
2. Tindakan guaman ini telah digabungkan dengan satu lagi tindakan guaman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang sama, yang juga memohon pengisytiharan/perintah yang sama, yang telah difailkan oleh firma guaman Raja, Reza & Associates, bagi pihak Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).
3. Pada 09.02.2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memberikan perintah bahawa tiga belas (13) pihak lain, yang kini tinggal baki dua belas (12), dibenarkan mencelah dan menjadi Pencelah dan dinamakan juga sebagai defendan, masing-masing dan menjadi pihak dalam tindakan guaman ini, iaitu:
(i) Parti Gerakan;
(ii) Parti MCA;
(iii) Parti MIC;
(iv) Majlis Bahasa Cina Malaysia;
(v) Persatuan Tamil Neri;
(vi) Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil;
(vii) Jiao Zong;
(viii) Dong Zong;
(ix) Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa Kuala Lumpur; (x) Gabungan Penulis Nasional;
(x) Persatuan Thamizar Malaysia;
(xi) Persatuan Tamilar Thirunal Perak; dan
(xii) Persatuan Gabungan Kebajikan Guru-Guru Bersara Sekolah Tamil Malaysia.
4. Pada 22.10.2021 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat perintah di bawah Aturan 14A Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, iaitu satu proses bicara dengan cara penampilan Keterangan Afidavit dan Hujahan kesemua pihak, tanpa keperluan panggilan Saksi.
5. BICARA di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di bawah Aturan 14A Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 telah dijalankan untuk dua hari, pada 23.11.2021 dan 24.11.2021, dengan kesemua pihak menyampaikan Hujahan Lisan di atas Hujahan Bertulis masing-masing, serta Hujahan Balasan Lisan maka Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menangguhkan kes untuk pemberian keputusan pada 29.12.2021.
6. Pada hari ini, Rabu 29.12.2021 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan untuk menolak kedua-dua TINDAKAN GUAMAN yang digabungkan itu, maka dengan itu juga telah memutuskan bahawa kewujudan Sekolah Vernakular dan sistem pengajaran di sana yang menggunakan bahasa lain selain Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar, adalah kedua-duanya SAH di sisi Perkara 152 PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN, dengan alasan ringkas lisan yang diberikan mahkamah adalah antara lain disentuh dalam Laporan MALAYSIAKINI 29.12.2021 bertajuk “Sekolah Cina, Tamil sah di sisi undang-undang” (Link : https://www.malaysiakini.com/news/604913) dan Kenyataan Media di perkarangan Kompleks Mahkamah seperti yang terkandung dalam Video dari ‘facebook’ Saudara Hj Aminuddin Yahaya (salah satu pihak Plaintif) yang dimuat naik di ruang bawah.
7. Pihak Peguamcara kesemua Plaintif telah mendapat arahan lisan yang akan disusuli dengan arahan bertulis daripada Anakguam/Plaintif untuk memfailkan RAYUAN terhadap KEPUTUSAN itu ke MAHKAMAH RAYUAN, yang akan dilakukan sesegera mungkin dalam tempoh 30 hari dari tarikh hari ini.
8. Ianya adalah diharapkan isu KEPERLEMBAGAAN berkaitan sekolah vernakular ini dapat diselesaikan di peringkat lanjut medan mahkamah dengan baik dan secara sihat, supaya perkara yang menjadi antara sebab yang mewujudkan kemelut perpaduan negara ini dapat diselesaikan melalui keputusan mahkamah secara muktamad dan sekali gus kelak.
(Sila lihat Siri : 1794, 1901, 1907, 1921, 1950, 1974, 2204, 2304, 2412, 2497, 2527, 2605, 2945, 2964, 3022, 2023, 3026, 3031, 3040, 3041 & 3096) – Cabaran terhadap Sekolah Vernakular ISMA WEB
https://www.facebook.com/hjaminuddinyahaya/videos/962338664382019/
(*) Mohamed Haniff Khatri Abdulla
Peguam
Artikel asal disiarkan terlebih dahulu di Facebook penulis
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://dialograkyat.blogspot.com/2022/01/cabaran-keperlembagaan-terhadap-sekolah.html