Bubar Parlimen Halang Dap Dapat Lebih Kerusi Isma
Mohd Zaini Samsu Hadi                                                                                                                                                                                                                                                                                          

Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya
KUALA LUMPUR – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) berpandangan,  langkah terbaik untuk menghalang DAP daripada mendapat lebih kerusi di  Dewan Rakyat adalah dengan membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan  raya umum (PRU) segera.
 Presidennya, Aminuddin Yahaya mendakwa, meskipun umum mengetahui  Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan berbuat demikian  ekoran merasai risiko terhadap kedudukan diri beliau dan partinya tetapi  penyelesaian paling praktikal buat masa ini adalah menubuhkan kerajaan  yang dibina menerusi gabungan antara Pas, Barisan Nasional (BN), Parti  Gabungan Sarawak (GPS) serta ahli-ahli Parlimen yang pro kepada beliau.
 “Ini akan mengekang segala perancangan dan pencaturan DAP  terutamanya usaha mengubah sistem pilihan raya perwakilan berkadar itu,”  katanya menerusi kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.
 Aminuddin mengulas laporan kenyataan Felo Penyelidik Majlis Profesor  Negara (MPN), Dr. Muhammad Asri Mohd. Ali yang mengatakan pelaksanaan  sistem pilihan raya sedia ada iaitu First Past The Post (FPTP) kepada  sistem perwakilan berkadar (PR) akan membolehkan DAP memenangi lebih 60  kerusi Parlimen pada masa akan datang.
 Menurut Muhammad Asri, langkah itu akan membolehkan DAP menuntut  jawatan Perdana Menteri kerana memiliki blok kerusi terbanyak di  Parlimen.
 Beliau berkata, para pengundi Melayu pula terpaksa terus membuat  pilihan ke atas parti-parti Melayu yang banyak semasa pilihan raya umum  (PRU).
 Mengulas lanjut Aminuddin berkata, alternatifnya menyingkirkan DAP  daripada kerajaan pastinya akan mendapat tentangan daripada gerombolan  politikus Melayu dalam Pakatan Harapan (PH) yang tidak bersetuju kerana  terlalu sayangkan DAP.
Ujarnya, semua itu terserah pada pemimpin-pemimpin parti politik Melayu  sama ada mereka sanggup berjiwa besar demi kepentingan umat atau hanya  akan menurut ego masing-masing.
 “Kita hanya mampu menasihati dan mendesak sahaja tetapi rakyat sedang menilai.” tambahnya. – MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/02/bubar-parlimen-halang-dap-dapat-lebih.html