Umno Pas Bincang Agihan Kerusi Lebih Awal
(Sinar Harian) – UMNO dan Pas tidak menolak kemungkinan membincangkan pembahagian kerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lebih awal bagi mengelak konflik pada saat akhir.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia penting bagi mewujudkan keserasian mahupun persefahaman agar sebarang pertikaian dapat diselesaikan lebih awal.
Menurutnya, bagaimanapun kedua-dua parti belum menetapkan masa sesuai untuk mengadakan perbincangan itu.
“Secara rasmi belum bincang, setakat ini mungkin peringkat negeri sekadar meninjau kerusi berpotensi ditandingi, agihan sama ada untuk UMNO atau Pas belum lagi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Muafakat Nasional Parlimen Jerlun bersama Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin di Wisma UMNO Jerlun hari ini.
Ismail Sabri berkata, buat masa ini persediaan awal itu hanya melibatkan peringkat parti masing-masing.
“Saya percaya UMNO dan Pas akan duduk bincang lebih awal, tak kan bincang bila sudah bubar Parlimen, ketika itu sudah terlambat. Kalau boleh kita selesaikan semua isu berkaitan kerusi lebih awal sebelum Parlimen bubar,” katanya.
Menurutnya, sekiranya terlalu lewat diadakan pembahagian kerusi dibimbangi sebarang pertikaian tidak dapat diselesaikan menjelang PRU15.
“Kita tak mahu sudah bubar Parlimen, baru nak buat ‘matching’ kalau ada masalah tak sempat selesaikan. Kalau ikutkan masih lambat pada 2023, namun bukan bermakna kita tak buat persediaan,” katanya.
Sementara itu, Hashim mengesahkan Pas sudah mula adakan perbincangan tidak rasmi di peringkat negeri antara kedua-dua parti.
“Masing-masing ada cadangan cuma belum capai keputusan muktamad. Pertembungan kerusi yang gagal diselesaikan di negeri akan dirujuk kepada Pusat, yang akan buat keputusan muktamad. Nak bagi puas semua pihak memang sukar,” katanya.
Beliau turut membangkitkan kebimbangan wujud penghasut yang akan menjadikan isu terbabit untuk memecahbelahkan Muafakat Nasional.
“Bimbang kita bergaduh di saat akhir sebab kemungkinan ada penghasut mahu lagakan kita pun ramai, jadi perlu buat persediaan,” katanya.
Hashim turut mengingatkan agar ahli Pas dan UMNO wala (taat) kepada keputusan pemimpin kelak berhubung perkara itu.
“Kepimpinan pula harus buat keputusan mengikut hukum ALLAH SWT dan Rasulullah SAW, seeloknya itulah tempat kita bergantung, selain jawatankuasa Pusat masing-masing,” katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.malaysia-today.net/2020/02/01/umno-pas-bincang-agihan-kerusi-lebih-awal/