Sistem Pr Dap Boleh Menang Lebih 60 Kerusi Parlimen
Mohammad Arif Nizam                                                                                                                                                                                                                                                                                          

Pensyarah  Jabatan Pegawai Pentadbiran dan Politik, Dr. Muhammad Asri Mohd Ali  bercakap pada Perbincangan Meja Bulat mengenai Isu Sistem Pilihan Raya  di Malaysia di Pejabat Sekretariat MPN, Kajang, Selangor. foto SYAFIQ  AMBAK 
KAJANG – Pelaksanaan sistem pilihan raya sedia ada iaitu  First Past The Post (FPTP) kepada sistem perwakilan berkadar (PR) akan  membolehkan DAP memenangi lebih 60 kerusi Parlimen pada masa akan  datang.
 Felo Penyelidik Majlis Profesor Negara (MPN), Dr. Muhammad Asri Mohd.  Ali berkata, ia akan membolehkan parti itu menuntut jawatan Perdana  Menteri kerana memiliki blok kerusi terbanyak di Parlimen.
 Beliau berkata, para pengundi Melayu pula terpaksa terus  membuat pilihan ke atas parti-parti Melayu yang banyak semasa pilihan  raya umum (PRU).
 “Dalam kajian saya ini, ada dua parti iaitu DAP dan Pas akan menonjol  dalam sistem PR ini. UMNO masih ada tetapi tidak tinggi pencapaiannya.
 “Kajian juga mendapati parti harga siling iaitu DAP yang boleh secara  maksimum menang 42 kerusi Parlimen selama ini namun menerusi sistem ini  melonjak lebih 60 kerusi kerana pengundi mereka ramai di kawasan bandar  di Johor, Kuala Lumpur, Selangor dan Perak.
 “Pola pengundian pada PRU lalu mereka diundi oleh satu kumpulan  sahaja. Jadi DAP akan dapat kerusi banyak di Parlimen dan pengundi  Melayu berasa sedih kerana parti-parti Melayu diwakili banyak parti.
 “Saya melihat sistem PR ini tidak stabil kerana DAP akan berkata  kepada dunia kerana mereka mendapati peratusan undi yang tinggi, mereka  patut mendapat jawatan Perdana Menteri,” katanya.
 Beliau berkata demikian mengenai hasil kajiannya selepas perbincangan meja bulat tentang sistem PR anjuran PMN di sini hari ini.
 Turut hadir Pengerusi MPN, Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri  Baharuddin dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Prof.  Datuk Dr. Raduan Che Rose
 Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (ERC) Tan  Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dilaporkan berkata, jawatankuasa itu akan  mengusulkan kepada kerajaan untuk menggantikan sistem pilihan raya sedia  ada iaitu FPTP kepada PR.
 Dr. Muhammad Asri yang juga Pensyarah Jabatan Pengurusan Pentadbiran  dan Politik di Universiti Malaysia menambah, isu dan permasalahan sistem  PR apabila ia tidak menggalakkan parti melakukan kerjasama sebelum PRU  tetapi bergabung selepas itu.
 Jelas beliau, pertukaran kerajaan dan PRU awal akan berlaku apabila parti komponen menarik diri daripada kerjasama politik.
 “Isu-isu bersifat kenegerian akan semakin sengit dimainkan untuk  melepasi ambang lima peratus iaitu ketegangan kaum dan agama lebih  meruncing daripada PRU sebelum ini.
 “Politik negara akan didominasi oleh isu ‘orang bandar’ yang  menyaksikan jurang luas antara luar bandar,” katanya. – MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/02/sistem-pr-dap-boleh-menang-lebih-60.html