Bertembung Dengan Maal Hijrah 2 Konsert Artis Luar Negara Diawalkan
MALAYSIAKINI
Dua konsert artis luar negara yang bakal berlangsung Sabtu ini diawalkan bagi menghormati bacaan doa sempena Maal Hijrah pada petang hari tersebut.
Salah satunya oleh penyanyi India SP Balasubrahmanyam di Plenary Hall KLCC yang akan bermula pada pukul 3 petang - awal beberapa jam daripada waktu asal iaitu 7 malam.
Perkara itu diumumkan penganjur Raaghav Production di laman Facebooknya semalam.
"Hanya baru-baru ini kami dimaklumkan tidak boleh ada sebarang persembahan selepas 7.30 malam pada 31 Ogos kerana ia bertembung dengan sambutan Awal Muharam.
"Puspal (Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara) dan Jakim menyatakan (kebimbangan) bahawa penganjuran konsert selepas 7.30 petang akan mencetuskan rasa kurang senang di kalangan orang Islam yang boleh menyebabkan kontroversi kaum," katanya.
Semua artis yang ingin membuat persembahan di Malaysia perlu mendapat kebenaran Puspal, sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Raaghav Production berkata pihaknya kini sedang cuba menghubungi pembeli tiket untuk memaklumkan perubahan waktu itu.
"Kami di Raaghav Production telah melakukan semua usaha dan mencuba yang terbaik untuk menjelaskan kepada pihak berkuasa bahawa persembahan SP Balasubrahmanyam adalah acara tertutup dan bukan tidak hormat kepada sambutan Awal Muharam atau mencetuskan apa-apa isu, tetapi rayuan kami tidak diterima," kata syarikat itu.
Ketika dihubungi, jurucakap Raaghav Productions berkata syarikat itu hanya akan memberikan maklumat lanjut ketika sidang media malam ini di Petaling Jaya.
SP Balasubrahmanyam, atau lebih dikenali sebagai SPB, ialah penyanyi, pengarah muzik dan komposer terkenal dari india. Dia kini berusia 73 tahun.
Satu lagi konsert ialah oleh penyanyi Taiwan Bobby Chen di Stadium Melawati Shah Alam. Persembahannya diawalkan ke pukul 12 tengah hari dari jadual asal 7.30 malam.
Penganjur Soul9s Production berkata keputusan itu bagi memberi laluan kepada acara Maal Hijrah oleh kerajaan negeri.
Syarikat itu memohon maaf atas perubahan itu dan berkata sesiapa yang mahu menebus tiket mereka boleh berbuat demikian sebelum 29 Ogos ini.
Exco Selangor Ng Sze Han berkata ia adalah "keputusan menang-menang" kerana konsert itu akan tamat sebelum hadirin mula berkumpul di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz - yang terletak berdekatan stadium - untuk bacaan doa.
Katanya, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah juga akan hadir ke acara itu.
"Sebaik saja konsert tamat (pada pukul tiga petang), hadirin konsert akan beredar tanpa kesesakan trafik," katanya seperti dipetik Sinchew Daily.
Katanya, tiada pihak yang "ditekan" kerana konsert itu masih berlangsung.
Setakat ini Soul9s Production belum memberi maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas perkara itu.
Chen, 60, telah mengeluarkan 25 album. Dia juga diharamkan di China.
Setiausaha MCA Selangor Ng Chok Sin berkata perubahan waktu konsert Chen adalah bukti Islamisasi oleh kerajaan Selangor.
"Adakah ini akan menjadi duluan kepada acara bukan Islam yang lain? Dasar seumpama ini bertentangan dengan dakwaan Selangor sebagai negeri maju," katanya lagi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/08/bertembung-dengan-maal-hijrah-2-konsert.html