Bersatu Selangor Sokong Muhyiddin Pangku Jawatan Pengerusi
Bersatu Selangor sokong Muhyiddin pangku jawatan pengerusi
Bersatu Selangor menyuarakan sokongan kepada Muhyiddin Yassin sebagai pemangku presiden Bersatu bagi menggantikan Dr Mahathir Mohamad.
Pengerusi Bersatu Selangor Abdul Rashid Asari, berkata sokongan kepada perdana menteri itu adalah selaras dengan perlembagaan parti susulan kenyataan Mahathir bahawa beliau meletakkan jawatan sebagai pengerusi.
"Berdasarkan kepada peruntukan-peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Bersatu maka Bersatu Selangor secara sebulat suara menyokong pelantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri dan pemangku pengerusi Bersatu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Rashid berkata, susulan tindakan Mahathir itu, peruntukan Artikel 16(9) perlembagaan parti itu terpakai.
"Bersatu Selangor juga menyanjung tinggi dan menghormati serta mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Tun Dr Mahathir," katanya lagi.
Artikel itu antara lain menyatakan jika pengerusi berhenti atau diberhentikan, presiden parti perlu memangku jawatan itu sehingga pemilihan untuk pengerusi baru diadakan.
Susulan langkah Muhyiddin mengumumkan keluarnya Bersatu daripada PH, Mahathir pada 24 Februari lalu mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pengerusi.
Bagaimanapun pada 27 Februari, setiausaha agung parti Marzuki Yahya berkata Mahathir telah menerima kembali jawatan itu.
Dua hari kemudian, Muhyiddin mengumumkan beliau memangku jawatan itu, yang bercanggah dengan kenyataan Marzuki.
Ia merupakan antara perkembangan awal perpecahan Bersatu, iaitu pihak yang menyokong Mahathir dan pihak yang menyokong Muhyiddin.
Jawatan Marzuki sendiri kini dalam pertikaian, apabila Muhyiddin memecat Marzuki daripada jawatan itu pada 18 Mac, dan melantik Hamzah Zainuddin sebagai penggantinya.
Mahathir bagaimanapun berkata tindakan itu tidak mengikut peraturan parti, maka ia terbatal dan tidak sah.
Untuk rekod, mengikut perlembagaan Bersatu, jawatan pengerusi mempunyai kuasa muktamad mengatasi jawatan presiden.
Berhubung jawatan pengerusi pula, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu, Syed Hamid Albar pada sebelum ini berkata hanya Mahathir yang menghantar borang pencalonan bagi jawatan pengerusi, dan justeru menang tanpa bertanding.
Pemilihan Bersatu akan diadakan tidak lama lagi. Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir, antara segelintir pemimpin yang berpihak kepada Mahathir, akan mencabar Muhyiddin bagi jawatan presiden.
Dalam pada itu, Abdul Rashid turut membayangkan keanggotaan Mukhriz alam parti itu telah terlucut, kerana "menongkah arus dan tidak sehaluan" dengan Muhyiddin.
"Tindakan beliau yang telah menongkah arus dan tidak sehaluan dengan presiden Bersatu seperti menubuhkan kerajaan Kedah bersama-sama dengan parti pembangkang.
"Mengambil keputusan untuk duduk di sebelah parti pembangkang di dalam persidangan Parlimen pada 18 Mei 2020 maka peruntukan di bawah Artikel 10(2) Perlembagaan Bersatu adalah terpakai," katanya.
Artikel sama pernah dibangkitkan ketua penerangan Radzi Jidin sebelum ini berkaitan Mukhriz, tetapi Marzuki berkata ia tidak terpakai memandangkan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) tidak pernah membuat keputusan untuk meninggalkan PH.
"Segala tindak tanduk dan arah parti adalah tertakluk kepada keputusan Dr Mahathir selaku pengerusi selain selaras Fasal 16.2," kata Marzuki.
-- Malaysiakini
rePublish Berita Terkini MalaysiaBersatu Selangor sokong Muhyiddin pangku jawatan pengerusi Medium perkongsian sosial berbentuk media. Artikel adalah percuma untuk diulang siar atau dikongsi di jaringan sosial. Credit dan penghargaan adalah hakmilik Unknown yang merupakan sumber asalnya. Trimas and Much more respect from Malaysiaisme
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://malaysiaismalaysia.blogspot.com/2020/05/bersatu-selangor-sokong-muhyiddin.html