Bekas Pegawai Khas Tertekan Najib Arah Ke China Selamatkan Hutang 1mdb
Bekas pegawai khas kepada Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau amat tertekan ketika diarahkan untuk pergi ke China bagi menjalankan tugas sulit ‘menyelamatkan’ hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pada Jun 2016.
Datuk Amhari Efendi Nazarudin, 43, berkata beliau mula diarahkan sendiri oleh Najib setelah ketua setiausaha sulit Najib, Datuk Azlin Alias meninggal dunia dan ia bermula dengan arahan untuk pergi ke China bertujuan mengesahkan terdapat persefahaman untuk meningkatkan hubungan dan pelaburan Malaysia-China.
“Datuk Seri Najib sendiri telah meminta saya untuk datang ke kediamannya di Jalan Langgak Duta bagi membincangkan perkara ini dan memberitahu lawatan itu akan diuruskan ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low.Iklan
Loading…
“Saya terpaksa akur walau pada masa itu saya cukup tertekan dan ada terlintas untuk berhenti kerja kerana arahan ini sangat membebankan saya, lebih-lebih lagi semenjak Datuk Azlin tiada. Namun saya terpaksa menurutinya kerana beliau adalah bos saya, apatah lagi beliau adalah Perdana Menteri Malaysia,” katanya dalam keadaan sebak.
Saksi penting pendakwaan itu yang membacakan penyataan saksinya berkata Jho Low dalam masa sama turut menghubunginya bagi menyampaikan arahan mengenai agenda dan program lawatannya ke China.
Saksi pendakwaan kelapan itu berkata demikian pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pada hari keempat perbicaraan Ahli Parlimen Pekan itu yang didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.
Beliau berkata, walaupun menghormati Ahli Parlimen Pekan itu, beliau bimbang sekiranya akan dilibatkan sama dalam percaturan antara Najib dan Jho Low sekiranya tujuan lawatan itu adalah bagi menutup isu kehilangan dana 1MDB, pembayaran hutang International Petroleum Investment Company (IPIC) atau penyediaan dana politik.
Beliau juga yang bimbang akan ancaman dan kesusahan yang akan dihadapinya sekiranya arahan Najib tidak dipatuhi ketika itu.
Membawa kapasiti sebagai wakil diplomatik Najib dalam lawatan sulit ke China pada 27 Jun 2016, saksi itu berkata beliau hanya mengetahui Jho Low akan turut hadir menyertai lawatan perbincangan sama setibanya beliau di negara itu.
“Terma-terma yang hendak dibincangkan juga saya terima daripada Jho Low pada saat-saat akhir dan ia kelihatan seperti sudah ada seseorang yang membincangkan terma-terma berhubung perkara ini (pelaburan Malaysia-China) lebih awal.
“Namun begitu, berdasarkan ‘talking points’ dan ‘action plan’ (nota maklumat dan pelan tindakan) Jho Low kepada saya, perjanjian dan usahasama ini merupakan satu pelaburan yang akan membantu membayar balik hutang 1MDB seperti bayaran hutang 1MDB ke IPIC,” katanya sambil menambah kesemuanya sudah dirancang oleh Najib dan Jho Low untuk menggunakan perjanjian dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) China bagi tujuan ini.
Saksi itu turut mengesahkan lawatannya ke China itu hanya diketahui oleh Najib dan Jho Low sahaja berdasarkan kesimpulan melalui perbincangan bersama syarikat dari China tersebut adalah bagi mendapatkan bantuan untuk membeli syer bagi menebus hutang 1MDB.
“Semasa di sana, saya telah menggunakan input daripada Jho Low untuk courtesy call (kunjungan hormat) bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala ini.
“Dia telah membawa saya untuk berjumpa pegawai kanan dari State-owned Assets Supervision and Administration Commission of the State Council (SASAC) yang merupakan badan pengelola semua GLC bagi China.
“Jho Low memainkan peranan aktif dengan hujahannya bagi membincangkan cadangan projek yang dikenal pasti tetapi saya tidak faham sesetengah perkara kerana dia bercakap dalam bahasa Mandarin, hanya sesekali butiran perbincangan itu diterjemahkan kepada saya,” katanya sambil menambah arahan-arahan sulit dari Najib hanya diterima beliau selepas isu penyelewengan dana 1MDB tersebar luas.
Bagaimanapun, berdasarkan isi kandungan ‘talking points’ yang disediakan Jho Low, saksi itu berkata jelas bahawa antara agenda yang dibawa dalam lawatan ke China itu adalah kehendak Najib untuk membawa pelabur GLC China ke Malaysia dengan cara pengambilalihan hutang-hutang 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.
“Antara ‘talking points’ dalam perbincangan pada 28 Jun 2016 yang membawa mesej daripada Datuk Seri Najib adalah penawaran syarikat State owned Enterprise (SOE) untuk terlibat sama dalam projek infrastruktur dan sekali gus menyelesaikan masalah hutang yang dihadapi 1MDB dan SRC, selain akan menyokong dan mempromosikan kerjasama ekonomi yang lebih rapat dengan China.
“Ayat ‘while simultaneously completely resolving 1MDB and SRC debts’ jelas membawa maksud Datuk Seri Najib ingin menyampaikan mesej bahawa hubungan ini akan turut membantu 1MDB dan SRC melalui ‘bailout’ hutang-hutang 1MDB.
“Selain itu, ia turut menyatakan bahawa Malaysia berhajat untuk berbincang dengan SOE dalam tiga projek yang sedang dikaji kerajaan iaitu pembangunan Pulau Labuan sebagai pusat perbankan luar pesisir dan pusat pelancongan, pembangunan saluran paip petroleum dari Port Klang ke Kuala Kedah serta kajian dan pembangunan kereta api laju dari Kuala Lumpur ke Bangkok,” katanya.
Tambahnya lagi, ‘talking points’ yang disediakan Jho Low ini bagi mengesahkan bahawa Najib sendiri meluluskan kerjasama ini dan akan diterjemahkan ke dalam bahasa Mandarin oleh Jho Low kepada pihak China.
“Nota yang diberikan Jho Low turut mengandungi satu ayat yang berbunyi “I will now handover to Mr Liu to provide a detailed explanation of the economic program” (Saya kini akan menyerahkan kepada Encik Liu untuk memberikan butiran penjelasan mengenai program ekonomi itu) yang perlu dibaca oleh saya. “Mr Liu” itu merujuk kepada Jho Low yang mana sebutan “Liu” adalah sebutan dalam bahasa Mandarin,” kata saksi itu.
Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah. – Bernama
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.malaysianupdate.my/2019/09/bekas-pegawai-khas-tertekan-najib-arah-ke-china-selamatkan-hutang-1mdb/