Bekas Menteri Pendidikan Tolak Langkah Kaji Wujudkan Smjk Tamil
  Adam Abu Bakar

Bekas  menteri pendidikan Mahdzir Khalid berkata, Dasar Pendidikan Negara  memperuntukkan SRJK Cina dan Tamil di peringkat rendah, kemudian pergi  ke SMK di peringkat menengah. (Gambar Bernama) PETALING JAYA: Bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid menolak  keputusan Putrajaya menubuhkan sebuah jawatankuasa mengkaji keperluan  menubuhkan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tamil.
 Mahdzir berkata berdasarkan pengalamannya, SMJK Tamil bukanlah satu  keperluan kerana kebanyakan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil  dikategorikan sebagai sekolah kurang murid.
 “Ia hanya akan menggalakkan pelajar dari kaum tertentu, untuk pergi  ke sekolah berasaskan kaum tertentu sahaja. Jadi bagaimana integrasi  pelajar antara pelbagai kaum akan berlaku?
 “Lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Bagaimana pula  dengan usaha membentuk perpaduan masyarakat di Malaysia? Tidak  sesuailah, pergi ke sekolah yang sedia ada sahajalah,” katanya kepada  FMT.
Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching sebelum ini berkata,  kementeriannya sedang mengkaji keperluan untuk menubuhkan SMJK Tamil  bagi meningkatkan tahap pendidikan masyarakat India.
 Teo berkata, kementerian ketika ini sudah menubuhkan sebuah  Jawatankuasa Penasihat Pendidikan Masyarakat India bagi meneliti lanjut  pelaksanaan perkara itu secara lebih terperinci dan holistik.
 Teo berkata demikian ketika menjawab soalan Senator T Mohan yang  meminta penjelasan mengenai status pembinaan SMJK Tamil pertama di  Malaysia dan dibiayai kerajaan persekutuan seperti yang terkandung dalam  janji ke-5, iltizam khusus Pakatan Harapan (PH) untuk masyarakat India.
 Mahdzir berkata, penubuhan SRJK Cina dan Tamil sememangnya termaktub  dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia sudah memadai untuk pelajar bangsa  Cina dan Tamil mempelajari bahasa Ibunda mereka.
 “Dalam Dasar Pendidikan Negara menyebut SRJK Cina dan Tamil di  peringkat sekolah rendah, kemudian pergi ke sekolah menengah  kebangsaan,” katanya.
 Pada Ogos tahun lalu, Teo berkata sebanyak 3,015 sekolah  kurang murid dicatatkan sehingga 31 Mei 2018, antaranya ialah 2,034  sekolah kebangsaan, 360 SRJK Tamil dan 601 SRJK Cina.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/07/bekas-menteri-pendidikan-tolak-langkah.html