Baru Tahu Rupanya Ini Berapa Kerap Urutan Badan Patut Dibuat
Baru Tahu, Rupanya Ini Berapa Kerap Urutan Badan Patut Dibuat
Dari bangun tidur hingga ke waktu malam, badan kita digunakan tanpa henti. Sama ada duduk lama di hadapan komputer, memandu, mengangkat barang atau melakukan kerja rumah, semua ini melibatkan pergerakan yang berulang setiap hari.
Tanpa kita sedari, pergerakan yang sama ini boleh menyebabkan otot menjadi tegang dan badan terasa tidak selesa. Sebab itulah ramai memilih untuk mendapatkan urutan badan bagi membantu tubuh kembali relaks dan lega.
Namun, masih ramai beranggapan urutan badan hanya perlu dilakukan apabila badan sudah sakit atau terlalu lenguh.
Sebenarnya, urutan badan boleh dijadikan rutin untuk menjaga kesihatan. Kali ini, SK kongsikan kekerapan yang disarankan untuk mendapatkan urutan badan, berdasarkan perkongsian portal The Healthy.
Berapa kerap anda perlu mendapatkan urutan badan?
Menurut seorang ahli terapi urutan bertauliah yang berpangkalan di Milwaukee, Angelica Love, jawapan kepada persoalan ini terletak pada keadaan kesihatan seseorang.
Bagi tujuan umum untuk mengekalkan kesihatan, beliau mengesyorkan urutan antara sekali sebulan hingga sekali setiap enam minggu.
Namun begitu, bagi individu yang mengalami masalah kesihatan tertentu, kekerapan urutan badan akan berubah.
“Jika anda mengalami masalah kesihatan selama beberapa bulan atau bertahun-tahun, anda mungkin perlu datang seminggu sekali sehingga mula melihat perubahan,” katanya.
Love menjelaskan bahawa ramai orang menyangka badan mereka tiada masalah. Namun, apabila urutan dilakukan, barulah mereka sedar ada bahagian tubuh yang sebenarnya sakit tanpa disedari.
Difahamkan, hal ini berlaku kerana anda jarang menyentuh atau memberi perhatian kepada bahagian tubuh badan sendiri.
“Urutan setiap dua bulan adalah cara yang baik untuk memeriksa keadaan tubuh dan memperhalusi hubungan antara minda dan badan,” ujar beliau.
Mengapa anda perlu mempertimbangkan urutan secara berkala?
Love menjelaskan bahawa urutan boleh membantu pelbagai masalah kesihatan, antaranya ialah sakit kepala dan migrain.
Selain itu, mengurut badan juga boleh membantu limfedema, masalah tekanan darah, pengurusan stres, ketegangan otot, fibromyalgia, gangguan myofascial dan pemulihan selepas pembedahan.
Beliau turut menyatakan bahawa urutan boleh membantu seseorang pulih daripada selsema dengan lebih cepat melalui peningkatan peredaran darah. Ini sekali gus membantu tubuh menyingkirkan virus dengan lebih berkesan.
Namun, terdapat juga kesan sebaliknya yang perlu diambil kira. Jika urutan dilakukan pada peringkat awal selesema, gejalanya mungkin terasa lebih teruk pada mulanya, tetapi tempoh sakit tersebut biasanya menjadi lebih singkat.
BACA: Kajian Dedah ‘Marah’ ChatGPT Tingkatkan Ketepatan, Tapi Ada Risiko Menanti
Sumber: The Healthy
The post Baru Tahu, Rupanya Ini Berapa Kerap Urutan Badan Patut Dibuat appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/12/18/baru-tahu-rupanya-ini-berapa-kerap-urutan-badan-patut-dibuat/